Saturday 28 April 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 16







Dirimu persis bintang terbit dari langit
Bukanlah mimpi-mimpiku
Di sini telah datang sayang paling dalam

Bawaku pulang berteman pelangi
Kamar hatiku hiasi
Biar cantik biar baru
Semuanya keranamu
Oh yang lemah kini gagah
Asal buruk jadi indah
Kerana sentuhan cintamu
Kususun langkah melayarkan hari indah
Bersamamu

            Tangan Dzil laju menguatkan volume radio yang telah terpasang sejak tadi.  Wah, best pula lagu yang sedang berkumandang di corong radio pagi-pagi ni!  Biasalah, Hot FM memang tip top kalau pagi-pagi ni.  Dengan seleksi lagu-lagu yang lunak serta keriuhan DJ-DJ mereka yang memang membuatkan pagi jadi huru-hara.  Tak kering gusi mendengar celoteh mereka, ada-ada sahaja.  Mulutnya terkumat-kamit mengikut alunan lagu Search – Kejoraku Bersatu yang sedang berkumandang.

Lilin diri takkan padam
Seandainya engkau adalah sumbunya
Kaulah puteri kudambakan
Bidadari syurga jelmaan dunia

Akan ku jaga
Seluruh jiwaku
Biarlah karam berdua
Asal kau tak terlepas
Dari genggamanku
Biar kulamar
Sahih darimu
Menjadi ratu
Beradu dalam pelukanku
Kejoraku bersatu


            Fuh!  Memang tepat dan kena je lirik lagu ni dengan jiwa Dzil ketika itu.  Perasaan hati yang terusik dengan kes semalam telah dibuang jauh-jauh.  Kalau hendak membina mahligai, hati kena kental dan jiwa kena sentiasa bersedia menghadapi sebarang dugaan.  Perkara remeh-temeh jangan diperbesar-besarkan.

            “Oi bro, pagi-pagi buta dah memekak.  Orang nak tidurlah,” pekik Mior daripada luar bilik Dzil.  Pintu bilik dikuak kecil.

            “Opss, sorry bro.  Aku ingat semua orang dah bangun.  Ko tak ada kelas ke pagi nih?”  soal Dzil sambil mengangkat tangan kirinya tanda memohon maaf.

            “Ada.  Pukul sepuluh.  Itulah ingat nak buat taik mata lelama sikit, dah ko memekak je pagi-pagi buta ni terencat aku nak tidur,” balas Mior sambil menggosok matanya.  Apalah mamat ni, muka pun belum basuh terus je keluar dari bilik. 

            “Alah, sorry la bro. Aku terlebih happy pagi ni,”

            “Ko kelas pagi ke?”

            “Kelas aku sama juga, pukul sepuluh pagi tapi si Tasya tu mesej aku ajak sarapan dengan dia,”

            “Aku tak fahamlah dengan ko ni bro.  Yang ko layan sangat si Tasya tu kenapa?  Ko tak takut ke Acam cemburu?  Nanti elok-elok dia boleh jatuh hati kat ko, tak pasal-pasal ko melepas.”  Soalan Mior disambut dengan tawa kecil Dzil.

            “Hish ko ni.  Berapa kali aku nak cakap, Tasya tu makwe kawan aku masa aku sekolah dulu.  Tak terlanjur Tasya tu satu kursus dengan kita, dia minta tolong aku tengok-tengokkan awek dia tu.  Heh, tak ada maknanya aku nakkan budak Tasya tu,”

            “Iyalah, kata ko.  Tapi kalau Acam nampak dia tentu akan fikir lain pula.  Hati perempuan bro, mudah sikit tercuit.  Hendak pula ko tengok si Tasya tu, kalau dengan ko bukan main lagi himpitnya.  Ramai juga yang tanya aku pasal korang berdua,” bebel Mior.  Sempat pula dia ke bilik air yang terletak di hadapan bilik Dzil.  Wajah yang serabut dicuci ala kadar.

            “Acam jealous?  Aku suka juga kalau dia jealous dengan aku.  Barulah terasa aku ni jejaka idaman Malaya.  Asyik aku je pendam perasaan dengan dia, barulah aci,”

            “Aci makci, nak cari aci ko pergi la India.  Ko jangan main-main, kalau esok dia lari daripada ko, jangan pula ko kata aku tak cakap.  Tapi kalau dia reject ko, ada harapanlah aku masuk line,”  kata Mior dengan muka tiada perasaannya.  Cebikan di wajah Dzil hampir membuatkan dia ketawa terbahak-bahak.

            “Ko langkah mayat aku dulu.  Aku akan pastikan, hanya ada nama aku sorang je kat hati Acam tu.”  Wah, bukan main semangat lagi Dzil, berkobar-kobar hati ingin menakluki hati gadis itu.  “Dah, aku pergi dulu.  Layan ko sampai tengah hari pun tak habis.  Pergilah mandi bro, bau dah macam belacan kena bakar,” sambung Dzil dengan tawa halusnya.  Langkah semakin laju menuruni anak tangga meninggalkan Mior yang masih tercegat di hujung tangga dengan gelengannya. 

            “Hish, yakin sangat ko bro..”  bisik Mior sendirian.


            Dzil melabuhkan punggung di atas tembok di hadapan Dewan Warisan.  Mulutnya mengukir senyum kepada Tasya yang sedang memerhatikan langkahnya.  Majalah yang dibelek sebentar tadi diletakkan di sebelahnya.  Wajah gadis itu mencuka.  Marah kerana lama menunggu.

            Iskhh, kalau Acam yang mencuka lawa juga.  Minah ni nak tarik muncung apa hal? Desis hati Dzil namun dibiarkan sahaja perasaan jengkel itu.

            “Eiii, geramnya.  Lama tau I tunggu, janji kan nak sarapan.  Ni dah pukul berapa, nanti I  kena makan laju-laju,” rengek Tasya.  Minah ni memang menggedik sikit tapi nak buat macam mana kan, dah nama kawan layan sahajalah.

            “Opss.. sorry la ek.  I tersangkut dalam jam tadi,” balas Dzil bersahaja tanpa ada sedikit pun rasa bersalah.

            “So, jom kita pergi kantin.  Nanti you kena makan laju-laju pula,” ajak Dzil sengaja menekankan ayat akhirnya itu.  Kadang-kadang minah ni buat hati lara je.  Langkah disusun menuju ke arah kantin yang terletak hanya berhadapan dengan Dewan Warisan.

            Keadaan kantin agak sibuk pagi itu.  Maklumlah pagi Isnin memang selalu sibuk dengan pelajar yang tak sempat hendak bersarapan di rumah.  Terjah dulu mencari makanan sebelum masuk ke bilik kuliah.  Tasya yang sedari tadi mengekori Dzil masih lagi tertinjau-tinjau meneliti setiap hidangan makanan yang terletak di atas kaunter.  Susah benar gadis itu hendak membuat pilihan.  Hendak memilih mee goreng, takut melihatkan minyak yang berkilau-kilau di balik mee itu.  Hendak makan nasi lemak, kepala asyik mengira berapa banyak kalori yang akan diserapnya.  Susah juga bila dah obses dengan kecantikan dan jaga badan ni.  Asyik nak kena pantau apa yang dimakan, berapa banyak kalori yang diambil, itu boleh dan ini tak boleh.

            Dzil yang sudah pun membayar harga makanannya menatang dulang mencari sudut yang sesuai.  Perlahan dulang diletakkan di atas meja dan matanya mengerling mencari bayang Tasya yang entah ke mana.  Dia menggelengkan kepala apabila ternampak gadis itu yang masih lagi tertinjau-tinjau memilih makanan.  Inilah yang membuatkan dia malas hendak bersarapan dengan gadis itu.  Susah sangat nak cari makanan.  Serba-serbi kena jaga.  Jauh betul perbezaan dengan Acam.  Eh, macam mana dia boleh baca pilihan Acam.  Mestilah, setiap pergerakan Acam memang sering memancing perhatiannya sehinggakan apa makanan kegemaran Acam pun sudah dihafalnya.  Dahsyatlah kau Dzil! Memang dah angau tahap mahaguru, boraknya sendiri.  Dzil tersenyum sendirian.  Matanya bagaikan ternampak-nampak bayangan Acam.  Memang sah dah angau.

            “Walawei, yang you tersenyum sorang-sorang ni kenapa ek?”  soal Tasya yang baru meletakkan dulang di atas meja dan duduk di sebelah Dzil. 

Dzil menoleh ke arah Tasya dengan wajah yang terpinga-pinga.  Eh, bila pula perempuan ni sampai.  Tadi elok je tertinjau-tinjau di kaunter tu.  Dijelingnya sekilas piring yang berada di dalam dulang di hadapannya.  Alahai, dua ketul kuih dan secawan kopi o.  Patutlah badan tak besar-besar.  Susah betul dengan orang perempuan ni.  Taksub dengan kecantikan dan sibuk nak jaga badan hinggakan sanggup menolak nikmat makan.  Tak faham sungguh!  Memanglah kecantikan tu penting tapi kalau hanya bersandar pada cantik semata padahal hati tak baik tak guna juga. 

“Alah, orang cakap dengan dia sempat lagi dia nak mengelamun,” bentak Tasya buat-buat merajuk. 

“Oh, sorry!  I was thinking of something just now.”  Sebaris senyuman dilemparkan kepada gadis itu.  Buat muka innocent, boleh?

“You ni memangkan, saja je tau.  Tadi you tinggal I kat kaunter tu sorang-sorang kenapa?”  soal Tasya manja.  Rasa nak bernanah telinga Dzil mendengar suara ala-ala manja Tasya.  Kadang-kadang malas juga melayan perangai gedik si Tasya ni tapi nak buat macam mana, kata kawan.

“I ingat you dah ambil makanan.  I jalanlah, sedar-sedar pusing belakang tengok you masih kat kaunter tu lagi,”

Mulut Tasya masih tidak berhenti mengomel.  Tadah jelah telinga ko Dzil, bisiknya.  Mulutnya masih menyuap mee goreng yang sudah tinggal separuh.  Pagi-pagi ni lapar pula perut.  Nescafe ais yang tinggal separuh gelas disedup.  Nikmat.  Kasihan orang yang sibuk nak jaga makan, semuanya kena control. 


********************

            Tergesa-gesa Acam mengenakan pakaian.  Hatinya masih sebal kerana lewat membaca mesej yang dikirim oleh rakan sekelasnya.  Rupanya pagi ni ada kelas ganti.  Nasib baik jam di dinding baru menunjukkan angka tujuh setengah.  Hmm.. nampak gayanya pakai tudung barulah hari ni.  Tak sempat dah nak menggosok tudung yang lain lagi pun tudung yang dibeli oleh Qaid semalam itu memang padan sangat dengan baju yang dipakainya hari itu.  Buku-buku yang berteraburan di atas meja dimasukkan ke dalam beg sandang Lacoste putihnya. 

            Tidak sampai tiga puluh minit, Acam sudah berada di perkarangan PUO.  Langkahnya dihayun laju menuju ke arah kantin yang terletak bersebelahan dengan Dewan Warisan.  Perutnya sudah berlagu dondang sayang.  Semalam tidak turut serta dengan rakan-rakan serumahnya menghabiskan makanan kiriman rumah pengantin.  Mungkin sebab itulah pagi ini perutnya pandai tunjuk perasaan.

            Suasana kantin sudah mula lengang.  Mungkin sudah ramai yang beredar menuju ke kelas masing-masing.  Acam seperti biasa memang tidak pernah suka memerhatikan orang di sekelilingnya.  Tangannya laju mencapai pinggan kosong yang terletak di atas kaunter lalu menyenduk bihun goreng dan sambal kerang yang kelihatan sungguh enak ke dalam pinggannya.  Setelah membayar harga makanan dan minuman, matanya melilau mencari meja kosong.  Mujurlah ada meja kosong yang berhampiran.  Hish, ramai sungguh couple pagi-pagi ni, desis hatinya.

            Suapan bihun goreng terhenti apabila matanya tertangkap sesusuk tubuh yang memang amat dikenalinya.  Wajah itu diamati dan wajah gadis di sebelahnya juga direnung lama.  Seleranya mati tiba-tiba.  Perut yang lapar terasa penuh walau pun baru tiga sudu bihun yang masuk ke mulutnya.  Bihun yang tadinya terasa enak kini mula tawar.  Hatinya retak menanti belah.  Ini kali kedua dia melihat lelaki itu berdua-duaan dengan gadis berbaju biru yang pernah dilihatnya dulu.  Hatinya sebak. 

            Mengapa, satu saat kau berikan aku harapan.  Satu saat kau bagaikan memberi aku hatimu tapi dalam satu saat yang lain kau hancurkan semuanya begitu mudah.  Kenapa?  Hati Acam bermain teka-teki sendiri.  Matanya sudah mula berkaca-kaca.  Segera beg sandang yang diletakkan di sebelahnya dicapai.  Acam bangun dan melangkah pergi dengan rasa hancur di hati gadisnya.  Terluka.  Sakit bagaikan tertoreh sembilu.  Beginikah akhirnya?  Atau adakah hanya aku yang berperasaan begini sedangkan dia hanya ingin mempermainkan hati kecilku ini?  Acam masih berperang dengan perasaannya sendiri.  Kalau boleh, dia ingin berlari pergi meninggalkan mereka.  Dia ingin pergi jauh, sejauh-jauhnya membawa hatinya yang robek. 

            Ketika itu juga, mata Dzil terpaku apabila melihat Acam yang sedang merenungnya.  Mereka dipisahkan oleh hanya dua meja kosong.  Ada garis luka pada wajah gadis kesayangannya itu.  Ada genangan di mata gadis itu.  Ya Allah, mungkinkah gadis itu telah tersalah sangka padanya?  Dia tidak menyalahkan Acam jika gadis itu berprasangka apabila melihat mereka berdua.  Mana tidaknya, dengan perangai gedik Tasya yang asyik hendak menempel dengannya itu, memang semua akan salah sangka.  Bahunya ditolak-tolak oleh Tasya apabila gadis itu merasakan yang dirinya tidak diendahkan.  Saat itu Dzil seperti mahu mengejar Acam dan menerangkan segalanya kepada gadis itu.  Namun hasratnya itu dibatalkan apabila bebelan Tasya menyerabutkan lagi fikirannya.

            Air mata yang ditahan akhirnya gugur juga mengalir deras di pipinya.  Langkah Acam semakin laju.  Akhirnya, dia berhenti dan melabuhkan diri di perkarangan ruang solat wanita Masjid Sultan Azlan Shah.  Air mata dibiarkan bebas.  Mujurlah tiada sesiapa di situ.  Telefon bimbit dikeluarkan daripada beg sandangnya.

            Aida, aku tak masuk kelas ye pagi ni.  Tak sihatlah, nanti tolong bagi tau lecturer ~ Acam.

            Butang hantar ditekan.  Hatinya yang hiba meruntun di situ.  Tak sanggup hendak bersemuka dengan sesiapa pun.  Teringat pesan ibunya, jika hati gundah gulana, solatlah.  Hanya Allah sahaja tempat mengadu yang terbaik.  Dengan linangan air mata yang masih tidak henti, Acam mengerling jam di tangannya.  Masih sempat untuk menunaikan solat Dhuha.  Segera dia membuka tudung di kepala lalu mengambil wuduk.  Telekung sembahyang yang terlipat elok diambil lalu disarung ke kepalanya.  Lama dia berteleku di atas sejadah.  Sendunya sudah berkurangan namun sakit di hati masih berbekas.  Hanya kepada Allah tempat dia mengadu.  Usai melipat telekung milik masjid yang diwakafkan itu, Acam masih bersimpuh di perkarangan ruang solat wanita menenangkan hatinya.  Sedikit tenang setelah mendirikan solat sunat.  Bunyi bip mesej masuk di telefon bimbitnya memecah kesunyian ketika itu.  Perlahan tangannya mencapai telefon lalu dibeleknya.

            Awak dekat mana ni?  Saya cari awak kat kelas, Shuhaida kata awak sakit ~ Dzil.

            Buat apa nak cari saya, tak ada kepentingan pun ~ Acam.

            Please, dengarlah penjelasan saya dulu.  Awak kat mana? ~ Dzil.

            Tak payah sibuk nak cari.  Layanlah kawan awak tu, saya ok ~ Acam.

            Nanti saya datang rumah, kita bincang ~ Dzil.

            Malas! ~ Acam.

            Telefon bimbit Acam berdering.  Melihat nombor yang tertera di skrin, segera Acam mematikan telefon bimbitnya.  Malas nak layan.  Ada hati nak pujuk orang, dahlah sakit hati dibuatnya.  Kalau tak suka tak payahlah nak terhegeh-hegeh mengayat orang.  Ni tak, bagi orang harapan dalam masa yang sama ada hubungan dengan orang lain.  Bebel Acam tidak puas hati.  Iskh, hati baru sahaja nak sejuk setelah solat sunat tadi, kini dah panas semula.

            Dzil mengeluh perlahan.  Berat nafas yang dilepaskan.  Puas menekan nombor Acam, namun jawapan yang diterima, tidak aktif.  Risau juga melihatkan riak Acam tadi.  Namun, segaris senyuman menghiasi bibirnya mengingatkan mesej yang dibalas Acam tadi.  Cemburu! Acam sudah pandai cemburu.  Adakah itu bermakna namanya sudah bertahta di hati gadis itu?  Acam, maaf kerana membuat hatimu terguris.  Tapi sungguh, aku tak bermaksud begitu.  Hanya kau sahaja yang ada di hati ini, hanya Kau!  Andai kau boleh melihat hati ini, tiada seinci pun ruang yang tidak tertulis dengan namamu, Puteri Darlina.  Hanya kamu, saat ini, hari ini dan selamanya. 

            Ya Allah, Kau peliharalah Acamku walau di mana sahaja dia berada.  Jangan pernah kau sakiti gadisku itu walau sekelumit pun di luar sana.  Andai harus Kau berikan dugaan, biarlah aku yang menerimanya.  Kau selamatkanlah cinta hatiku!


......Cinta kau dan aku
tak perlu kata apa-apa .....


***************************************
Salam sayang2 kak yus..maaf sangat2 ye, n3 ni lambat sangat.  Kak Yus mmg sibuk tahap mahaguru lately, assignment tak siap2..bla..bla..bla.. hope sayang2 kak yus enjoy dengan entry kali ni.. pendek sikit kot.. Maaf ye untuk segala kekurangan.  Sudi2lah drop komen utk kak yus.. 

Lots of luv, Kak Yus
1.08 a.m. ~ 29/4/12


Saturday 21 April 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 15





            Malam yang semakin lewat membataskan masa bagi keluarga Qaid mengenali Acam lebih rapat.  Mudah benar keluarga itu bermesra dengan Acam walau pun hanya baru sekali bersua.  Lebih-lebih lagi adik Qaid yang hanya setahun lebih muda daripada Acam.  Iyalah, umur pun sudah hampir sebaya, kepala pun sama gila-gila.  Memang boleh masuk sesangat.  Kalau duduk berbual berdua, asyik riuh ketawa sahaja.  Eishh, tak ada dah nak control ayu pun.  Kadang-kadang sampai tersenyum Puan Sahara melihatnya.  Hati wanita itu amat menyenangi Acam.  Walau baru pertama kali berjumpa tapi jauh di sudut hati tuanya, sudah dapat merasakan kemesraan itu.  Andai itulah jodoh Qaid, memang tak akan ada satu alasan pun untuk dibantah.  Berkenan benar di matanya.  Bahkan, sempat juga Puan Sahara berbisik di telinga suaminya tadi dan reaksi yang sama juga diberikan oleh si papa. 

            “Aunty,  saya minta diri dulu ye.  Dah malam ni,” ucap Acam sambil menghulurkan tangan menyalami Puan Sahara.

            “Alah, sekejap je dapat berborak-borak dengan Acam. Tidurlah sini, esok tak ada kuliah kan.”  Puan Sahara melepaskan rasa tidak puasnya dengan hasrat Acam yang ingin pulang.

            “Esok memang tak ada kelas Aunty, tapi esok saya ada projek sikit nak kena buat dengan kumpulan saya.  Pagi pula tu, nanti bising pula mereka kalau saya tak ada,” ujar Acam memberi alasan. 

            “Laa, iya ke.  Kalau macam tu nanti balik Batu Pahat, datang rumah Aunty ye.  Nanti bagi tahu Qaid bila balik, Aunty suruh Qaid pergi ambil.  Boleh Aunty masak sedap-sedap untuk Acam.  Aunty suka dapat borak-borak dengan Acam tau,”  pesan Puan Sahara.  Ada nada sedikit sedih dalam suara itu.  Tubuh Acam diraih lalu dipeluknya erat.  Hendak menangis pun ada Acam rasa saat itu.

            “Alaa.. ko dah nak balik ke Acam.  Tak ada kawan la aku nak borak.  Angah ni bukan boleh buat kawan pun,” sampuk Qalisha, adik bongsu Qaid yang baru menjengahkan diri dari dapur.  Acam mengganggukkan kepala.

            “Hish, anak dara ni.  Kan Acam tu tua setahun dari adeq, mana boleh ko aku ko aku je, panggil kakaklah,” tukas Encik Quzair yang sedang duduk di sofa sambil memerhatikan isterinya yang agak sebak.

            “Betul tu papa.. apalah anak mama ni,”

            “Eleh, tak mainlah kakak mak kak ni, kitorang brutal la mama, papa.. kan Acam kan,”  balas Qalisha lalu merapati Acam.

            “Alah, tidurlah kat sini.  Esok pagi-pagi suruh Angah hantar.  Boleh la.. aku tak ada memberlah.  Nak harapkan Angah tu, huh, hampeh..” pujuk Qalisha.  Beria-ia memek mukanya merayu Acam.  Terseringai senyuman di bibir Acam.  Aloh.. comellah pula wajah anak dara ni bila dibuat begitu.

            “Bukan tak nak, tapi esok memang serius ada project discussion.  Nanti diorang tu kata aku mengelat pula.”  Bukan tidak kasihan pada Qalisha tapi hati Acam masih menidakkan usul untuk bermalam di situ. 

            Wajah cemberut Qalisha diusap lembut oleh Acam.  Rasa sayang terhadap gadis di hadapannya sudah menular ke hati.  Mudah sungguh mesra dengan gadis itu.  Walau pun hanya berbeza setahun, tapi sifat manja dan gila-gilanya memang serasi bersama.  Maaflah, terpaksa menipu tapi tak betah rasanya untuk bermalam di situ.  Kasih sayang yang dihulurkan membuatkan Acam rasa serba salah.  Dia tidak mahu hatinya tersalah membuat pilihan.  Dia tidak mahu kerana rasa terharu dengan kasih yang dihulur dia akan membuat pilihan yang salah dan terpaksa menerimanya sepanjang hidup.  Dia mahu setiap satu yang dipilih berdasarkan rasa yang terbit di hatinya, bukan rasa terharu atau serba salah. 

            Seorang demi seolah ahli keluarga Qaid disalaminya.  Sebelum dia beredar, Puan Sahara sempat menarik tangannya lalu diletakkan sesuatu di atas tapak tangan Acam.  Terbuntang mata Acam melihat pemberian itu.

            “Aunty, apa ni.  Saya tak boleh terima ni,”  ujar Acam menolak pemberian Puan Sahara.  Seutas gelang tangan emas yang ada di tapak tangannya dihulurkan kembali kepada Puan Sahara.

            “Aunty nak bagi ni pada Acam.  Tanda kenangan Aunty, janganlah tolak,” balas Puan Sahara.  Diambil gelang tangan emas itu lalu dipakaikan ke pergelangan tangan Acam.  Memang cantik tapi hati Acam sudah mula berdesah. 

            “Aunty,..”

            “Dah, jangan nak tolak.  Ni niat Aunty nak bagi, ambil je,”  ujar Puan Sahara memintas penolakan Acam.  Tubuh Acam yang kecil itu sekali lagi dipeluknya.  Terasa seperti memeluk anak sendiri.

            Ya Allah, jika ini jodoh untuk anak aku, aku terima sepenuh hati, bisik hati Puan Sahara.  Ada genangan di tubir mata wanita itu.  Hatinya senang melihat Acam, senang jika benar Acam menjadi pilihan Qaid.

            Acam yang tidak betah lagi berlelama di situ, segera mengucapkan salam dan beredar menuruti Qaid yang telah dulu melangkah ke keretanya.  Hati Qaid juga dipalu resah melihatkan harapan mamanya yang terlalu tinggi.  Mama, andai mama tahu betapa sukarnya Angah hendak mendapatkan sedikit ruang di hati gadis ini, tentu mama akan sedih.  Angah berjanji mama, selagi Angah mampu, Angah akan cuba menawan hati gadis ini.  Pertama kali dalam hidup Angah, hati ini dijentik rasa kasih melihat dia.  Qaid melayan rasa hatinya sendiri.  Suasana menjadi sayu dan hening menghantar pemergian Acam. 

            “Qaid, boleh tak ko tolong aku.”  Qaid hanya merenung wajah Acam.  Tak usah kata nak tolong sekali, sepuluh kali pun sanggup Acam oi.

            “Ni, ko tolong pulang balik kat Aunty ye,” kata Acam sambil membuka gelang emas yang tersarung cantik di tangannya.  Dia perasan wajah Qaid yang telah mula berkerut.

            “Janganlah nak kerut dahi bagai.  Bukan aku tak suka, bukan aku tak sudi tapi tolong cakap kat Aunty, aku rasa aku tak layak terima ni daripada Aunty.  Kasih sayang yang dihulurkan pada aku pun dah cukup memadai,”

            “Tapi nanti mama mesti kecil hati bila aku pulangkan ni semula,” balas Qaid.  Ada rasa nada sendu dalam suara lelaki itu.  Dia amat tahu hati mamanya.

            “Ko cakap pada Aunty, bukan aku tak nak tapi nanti kalau aku pergi rumah ko bila cuti semester, baru aku terima.  Ini baru kali pertama, tak layak aku terima hadiah yang mahal macam ni.  Tadi pun anak Aunty Sahara ni dah belikan aku macam-macam.  Aku ni dah jadi macam Maya Karin dalam cerita Pisau Cukur tu pula,” kata Acam memujuk Qaid.

            “Heh, tak ada maknanya ko macam Maya Karin tu,”

            “Tak sama ke?”

         “Mana nak sama, Maya Karin tu cun lebih sikit daripada ko,” usik Qaid.  Cebekan Acam melahirkan tawa Qaid.  Acam juga turut tertawa.  Apalah mamat ni, macam ni ke nak mengorat makwe.

            “Hish, patutlah ko tak ada awek tau.  Nak mengorat pun tak pandai.  Nasib baik aku ni brutal, kalau perempuan lain sorry la, hai hai bye bye,” bebel Acam.  Tawa Qaid masih lagi tidak berkurangan.

            Acam mencapai beg-beg kertas yang mengandungi barangan yang dibelikan Qaid di Ipoh Parade ketika mereka mencari hadiah pagi tadi.  Mengenangkan gelang emas yang dipulangkan semula itu hatinya dipaut rasa gelisah, risau mama Qaid akan terasa hati.  Tapi rasanya, Puan Sahaja pasti dapat menerima alasannya.

            “Nah, ni untuk awak juga,” tegur Qaid sambil menghulurkan satu lagi beg kertas yang agak besar kepada Acam bersama dua beg plastik yang mengandungi bekalan.  Ketika itu mereka sudah pun berada di luar kereta.  Lampu ruang tamu rumah sewa Acam terang benderang dan nampak sangat bayang-bayang rakan-rakannya yang sedang menyibuk memerhatikan mereka di sebalik langsir sliding door.  Hmm, kejap lagi jenuhlah nak menjawab.

            “Apa lagi ni.  Aku penatlah kalau keluar dengan ko ni.  Macam-macam nak dibelinya untuk aku.  Takutlah, nanti terhutang budi tergadai body tau,” usik Acam namun tangannya tetap menyambut pemberian Qaid.  Kalau ditolak, memang seratus peratus mamat tu akan merajuk.  Dah faham sangat peel Qaid tu.

            “Wei, ko ingat aku jahat sangat ke.  Kalau aku jahat, dah lama dah aku angkut ko bawa pergi Selatan Thailand.  Bukan susah sangat pun, dah tentu sah jadi bini aku.  Hish, mulut ko nih, nasib baik anak dara orang, kalau bini aku dah lama ….”

            “Hah, jangan nak mention yang bukan-bukan tu ye,” sampuk Acam mematikan kata-kata Qaid.  Wajahnya yang mencuka mengundang tawa Qaid.  Hish Acam, janganlah ko buat muka macam tu, comel je aku tengok.  Nanti jenuh aku rindu-rinduan Acam oi.  Penat juga ye bermain dengan perasaan sendiri ni, iyalah, nak diluahkan takut pula rosakkan hubungan persahabatan mereka tu. 

            “Ok lah, aku masuk dulu.  Nanti sampaikan salam sayang aku pada semua kat sana ye.  Ingat pesan aku pasal gelang tu, ko jangan belit-belit cerita pula tau.  And thank you for all these..,” ucap Acam sebelum mengucapkan salam perpisahan. 

            Qaid hanya mengganguk dan menghantar langkah Acam yang laju menapak masuk ke dalam pagar rumah dengan pandangan sayu.  Namun hatinya gembira, dapat juga melepas rindu walau pun sekejap melihat gadis itu. 


***************


            “Amboi, seronok keluar yek.  Tak ingat kawan-kawan langsung,” tegur Yanie yang turut sama bersekongkol dengan rakan-rakannya yang lain yang sama-sama dok skodeng di balik langsir tadi.

            “Hmm.. dah puas ke dok skodeng aku?” perli Acam namun senyuman tetap dilemparkan kepada rakan-rakannya itu.  Dia tahu, mereka faham yang dia hanya bergurau.

            “Err..err.. obvious ke kitorang skodeng?” tanya Rita terpinga-pinga.  Alamak, kantoi sungguh.

            “Iyalah.  Kalau pun nak skodeng, tutuplah lampu.  Ini lampu terang benderang, lepas tu dok skodeng balik langsir, nampak makcik oi dari luar tu.  Member aku tu pun dok sengih je tengok peel korang,” balas Acam.  Tergolek-golek dia mentertawakan rakan-rakan serumahnya tu.

            Masing-masing tak tahan menahan gelak, malu juga sebenarnya apabila nampak sangat kepocinya mereka.  Betul jugalah kan.  Nak mengintai tapi terang benderang. 

            “Hmm.. nah ni ada bekal sikit.  Aunty Sahara bekalkan tadi.”  Acam menghulurkan dua beg plastik besar kepada Yanie.  Dia sendiri pun tidak perasan waktu bila Puan Sahara memasukkan bekalan untuknya.

            “Wah, banyaknya makanan.  Ko sebenarnya daripada mana ni?” tanya Rita yang turut mengendeng di sebelah Yanie.  Diorang ni kalau bab makan, memang tak pernah tolak.

            “Aku temankan kawan aku tu pergi kenduri kahwin sepupu dia kat Persiaran Cempaka tu.  Tu nasi dan lauk kenduri pengantin la tu.  Rugi tak makan, sedap gila,”

            “Uii.. aku dengar ada lauk orang kahwin ye..mana?” sampuk Halina yang baru turun daripada tingkat atas. 

            “Ko kan minah, asal dengar makan je laju ko kan,” bebel Rosma yang sudah menatang dulang dan pinggan-pinggan kosong ke ruang tamu.  Dua kali lima je diorang ni.  Pantang jumpa makanan, yang tengah diet pun sanggup cancel diet.  Postpone esok pun tak apa.

            Bukan main seronok lagi mereka malam itu dijamu dengan nasi beriani dan lauk-pauk pengantin yang mewah.  Bukan selalu dapat peluang begini.  Mulut masing-masing penuh dengan makanan namun masih becok mencungkil cerita daripada Acam.  Yanie menyiku lengan Acam sambil memberikan isyarat mata agar lebih rapat kepadanya.

            “Cam, tadi Dzil dua kali berulang ke sini cari ko.  Aku cakaplah yang ko keluar.  Dia kata dah banyak kali dia telefon ko, tapi tak dapat,” bisik Yanie.  Tidak mahu rakan-rakan yang lain mendengar bicara mereka. 

            Laju tangan Acam menyelongkar handbagnya.  Telefon bimbit diteliti.

            “Patutlah hari ni aku rasa telefon ni tak berbunyi.  Bateri kong,” bebel Acam perlahan.

            “Okeylah, korang makan eh.  Aku naik dulu, nak mandi,”

            Biasalah, rakan-rakan Acam kalau dah dapat mengadap makanan, mana nak dihiraukan lagi hal lain.  Kalau gempa bumi ke, tsunami ke tak tentu lagi mereka tu sedar.  Perlahan Acam meninggalkan rakan-rakannya dengan hati yang sedikit gelisah.  Mesti satu hari Dzil tertanya-tanya ke mana dia.  Entah kenapa, hatinya rasa bersalah.  Eh, kenapa pula nak bersalah ye.  Bukan mereka ada hubungan apa-apa pun.  Tapi alasan itu masih tidak mampu menenangkan hatinya.

            Cepat-cepat telefon bimbit dicas semula.  Jam di dinding sudah menunjukkan angka dua belas.  Rasanya tadi dia sampai baru pukul sebelas malam.  Lama juga duduk di ruang tamu melayan karenah rakan-rakan serumahnya.  Tuala yang bersidai di belakang pintu ditarik perlahan.  Kaki melangkah laju ke bilik air namun terhenti apabila suara merdu Pasha kedengaran daripada telefon bimbitnya. 

            “Hello, assalamualaikum,”

            “Waalaikumussalam.  Amboi, seronok berjalan ye,” kedengaran tone agak berlainan suara di hujung talian itu.

            “Err.. awak tak seronok ke berjalan, ke lagi suka merangkak,” balas Acam cuba untuk tidak menegangkan suasana.

            “Erkkss.. loyar buruk pula.  Awak keluar dengan siapa lama betul.  Dua kali saya datang awak tak ada,”

            “Awak ingat tak kawan tempat praktikal saya yang awak jumpa tu?  Dia datang sini tadi, ajak saya temankan dia ke kenduri kahwin sepupu dia.  So saya temankanlah, lagi pun dah jauh-jauh dia datangkan, takkanlah saya nak tolak,”

            “Oh, patutlah.  Sampai telefon pun tak dapat,” rungut Dzil, ada nada perli di suara itu.

            “Yang itu awak jangan salah faham ye.  Serius saya tak sedar bateri habis.  Sampai rumah tadi baru saya perasan bila Yanie bagi tahu saya awak call saya tak dapat,”

            “Iyalah, nak bandingkan saya dengan mamat tu, siapalah saya ni kan,”

            “Awak, saya dapat bayangkan buruknya rupa awak sekarang ni tau.  Kalau letak cuka kat sebelah, masam lagi muka awak.”  Dzil tersenyum mendengar kata-kata Acam.  Ceh, pandai juga minah ni memujuk.  Hajat hati nak merajuk lama sikit pun kantoi.  Alahai, memang tak pernah dapat nak tunjuk perasaan pun kalau bercakap dengan minah ni.  Cair terus.

            “Baru sampai rumah ke?” soal Dzil.

            “Dah lama dah sampai tapi sangkut kat bawah kena inspection dengan sarjan-sarjan pencen kat bawah tu.  Ni baru naik atas nak mandi,” balas Acam.  Hatinya sedikit senang mendengar suara Dzil yang sudah kembali normal. 

            “Oh, iya ke?  Kalau macam tu awak pergi mandi dulu.  Kejap lagi saya call balik,”

            “Ok, nanti call ye.”  Acam menepuk dahinya sendiri setelah talian dimatikan.  Tidak percaya dia yang berkata-kata begitu.  Nanti call ye, iskhhh.. betul ke aku yang cakap macam tu, desis Acam.  Dengan senyuman meleret dia mengheret kakinya ke bilik air.  Sejuk pun sejuklah, mesti kena mandi sebelum tidur.

            Setelah mengenakan pijama tidurnya, Acam berbaring malas di atas katil.  Matanya masih tidak terasa mengantuk apatah dia sememangnya sedang menantikan panggilan Dzil.  Dikerlingnya jam di dinding.  Wah, hampir jam dua belas setengah.  Mungkin Dzil sudah pun tidur agaknya.  Esokkan ada kuliah, pasti tak bangun awal kalau stay up malam-malam.  Fikirannya melayang mengenangkang keluarga Qaid yang sangat mesra dengannya.  Masih terasa pelukan hangat Puan Sahara yang menerimanya sepenuh hati.  Tak mungkin juga dia lupa pada Qalisha yang semakin rapat dengannya walau hanya seketika sahaja.  Ada sahaja bahan yang hendak dibualkan lebih-lebih lagi bila bercerita tentang novel.  Mereka berkongsi minat yang sama rupanya.  Tak sangka pula yang gadis semuda itu sudah mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan enovel.  Link lama web yang diberikan oleh Qalisha tadi dibeleknya. 

            Tiba-tiba Acam teringat barang-barang yang dibawa bersamanya sebentar tadi.  Diambil beg kertas yang mengandungi tudung dan jubah yang dibelikan oleh Qaid.  Dikeluarkan satu persatu lalu digantung cantik di dalam almari.  Kemudian, tangannya laju mencapai sebuah lagi beg kertas yang lebih besar.  Kotak yang tersembunyi di dalam beg itu dikeluarkan lalu dikoyakkan pembalutnya perlahan-lahan. 

            “MasyaAllah, cantiknya,” puji Acam.

            Lampu tidur berbunga ala Inggeris itu memukau matanya.  Sungguh cantik.  Bukan ini ke yang dibeleknya tadi.  Kalau tak silap harga pun dalam seratus lebih juga ni.  Acam teringat ketika di Lovely Lace tadi, Qaid menyuruhnya memilih hadiah untuk pengantin dan lampu itulah yang mula-mula dipegangnya tadi.  Memang dua tiga kali jugak dia menilik lampu itu tetapi dia tidak mengusulkannya kepada Qaid.  Padanya, lampu itu terlalu romantik, segan pula jika Qaid perasan jiwanya.  Huh, malu dowh!  Tapi tak sangka pula yang mamat tu boleh hadiahkan lampu yang sama untuknya.  Mesti si Qaid tu dok perhatikan dia sahaja tadi.  Ceh, macam mana boleh tak perasan. 

            Esok, Acam berkira akan menitipkan mesej kepada Qaid untuk berterima kasih atas segala yang telah diberikan.  Memang susah bersahabat dengan orang yang pemurah ni.  Kalau silap orang, memang dah lama kering poket si Qaid tu.  Acam bukan jenis orang begitu, dia tidak akan sesekali menggunakan hubungan persahabatan mereka untuk kepentingan diri sendiri. 

            Suara Pasha kumpulan Ungu sekali lagi memenuhi ruang bilik.  Tidak sampai tiga saat, telefon bimbit dicapai.  Memang Acam ternanti-nantikan panggilan itu.

            “Tak tidur lagi?” sapa Dzil setelah memberikan salam.

            “Belum,”

            “Tunggu call saya eh?”

            “Iyalah, tadi kan awak yang janji yang call.  Saya tunggulah, nanti ada pula orang tu merajuk.”  Sengaja Acam menegaskan perkataan akhir tu.  Terdengar ketawa kecil di hujung talian. 

            “Seronok ke pergi kenduri tadi?  Ramai orang?”

            “Makan free seronoklah.  Iskh, dah nama kenduri kahwin kan mestilah ramai orang,” balas Acam.  Dia tergelak sendiri mendengar soalan Dzil itu. 

            “Hai, orang tu seronok dapat jalan-jalan.  Saya je yang dok tertunggu-tunggu.  Maklumlah, saya tak ada kereta, yang ada kaki ni ajelah,”

            “Awak, saya tak pernah pandang pangkat ke darjat ke bila berkawan.  Kalau saya gilakan kereta besar orang lain, tak adanya saya sanggup berjalan kaki keluar pergi makan dengan awaklah,”

            “Hmmmm..”

            “Kalau itu aje yang awak nak cakap, okeylah, saya nak tidur.  Good nite.”  Acam mematikan talian telefon.  Hatinya sedikit terguris namun hanya seketika.  Segaris senyuman mula menghiasi wajahnya.  Apakah Dzil cemburu dengannya?  Orang kata kalau cemburu itu tanda sayang.  Iya ke sayang?  Hish, perasaan aku je kot, bisik Acam.

            Bunyi bip mesej masuk mengganggu lamunan Acam.  Pantas dia mencapai telefon bimbit yang baru sahaja dicampakkannya ke tepi bantal.

            Sorry my girl, didn’t mean tu hurt you.  It just so bad thinking of you with someone else and that someone is better than me and worst, impossible for me to compete.  But whoever it is, I only want the best for you even if it needs me to step down from yourlife.. 
           
            Good night my girl, dream of me .. Always yours, Dzil.

            Setiap kata yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu ditenung berkali-kali.  Hatinya dirundung rasa pilu.  

          Dzil, saya tak tahu apa status kita.  Di mana saya di hati awak.  Di mana awak di hati saya.  Tapi yang nyata, ada sesuatu di hati saya setiap kali mendengar suara awak, setiap kali memandang wajah awak dan setiap kali memikirkan awak.  Tapi rasa itu belum kukuh untuk saya bukakan pintu hati ini sepenuhnya.  Kadang-kadang sikap awak yang mengambil berat itu memberi harapan kepada saya. Tapi kadang-kadang sikap ignorance awak ketika bersama gadis berbaju biru itu membuatkan saya rasa bukan sesiapa pun pada awak.  Berilah saya sedikit waktu lagi untuk mencari jawapan yang sebenarnya.  Saya sendiri keliru dengan hati saya!  

     Kata-kata itu hanya mati di situ.  Hanya bantal dan katil yang menjadi pendengarnya.  Dibiarkan bicara hatinya itu dibawa angin lalu bersama linangan jernih yang gugur satu persatu di wajahnya.  Malam itu, biarlah kesepian menemaninya lagi.



Berlindung disebalik wajah selamba
Bagai tiada apa perasaan diantara kita berdua
Lucunya dalam saling berpura-pura
Semua orang tahu kau dan aku
Masing-masing punya rasa yang serupa


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mulakan dulu


Dilema didalam permainan ini
Masa terasa panjang
Hingga membuat ku tak tahan tertekan
Lakonan ini semakin membebankan
Terasa ingin saja aku terus terang
Tentang perasaanku kepadamu


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mula dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu


Ruangan 4 muka dinding keliling
Makin menghimpit kala menanti panggilan darimu berdering
Mengharap engkau jua sedang begini
Dalam kelu resah
Menantikan perucapan yang ku cinta kepadamu


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mulakan dulu kita
main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mula dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu



*****************************************

Salam sayang2 Kak Yus.. maaf ye lewat entry bab 15 ni.  Harap kerinduan kalian pada Dzil terubat dengan n3 ini.. walau pun seketika tapi penuh bermakna..  Maaf jika banyak kekurangan dan kesilapan dlm bab ni, harap sayang2 kak yus sudi drop a few komen utk kak yus..  Enjoy your reading..

Lots of luv
~ Kak Yus ~

 

Blog Template by YummyLolly.com