Monday 25 June 2012

Cerpen : Maafkan Aku, Papa...


Salam sayang2 Kak Yus.. sudah lama Kak Yus tak menulis cerpen, rasanya dah berbulan-bulan juga.  Cerpen ini ditulis khas sebagai sumbangan karya Kak Yus untuk Group Urban di fb, moga ada manfaat dan pengajaran yang boleh dikutip di sepanjang pembacaan bicara hati ini.. 

**********************************************



Sekujur tubuh tua yang terbaring lesu di perbaringan beralaskan cadar putih bersih kurenung lama.  Mataku terus liar meratah garis-garis tua yang telah mula memenuhi wajah lelaki itu dan matanya yang terkatup rapat.  Wajah yang suatu waktu dahulu menjadi penawar tangisku, penawar rajukku dan wajah tua itu juga yang menggamit kerinduan aku bertahun lamanya.  Rindu yang kemudiannya memaksa aku menjadi seorang pembenci dan pendendam yang amat hebat.  Entah kenapa, wajah itu tidak mampu mengundang rasa simpati dan kasihku saat itu.  Entah di mana telah lama hilang perasaan itu daripadaku.  Salah akukah?

Jari jemari yang semakin berkedut dimamah usia kelihatan pucat dan lesu.  Kuraih jari jemari itu perlahan, bimbang akan menyakitinya lalu kuusap lembut.  Jari inilah yang sering membelai rambutku, jari inilah yang sering menggeletekku sehingga tawaku tak bisa berhenti dan jari ini juga yang akhirnya memisahkan aku dengan dunia bahagiaku.  Sesekali apabila jari itu kuusap, aku terlihat gerakan halus di dahi tua itu.  Malah, aku juga terasa seperti jari-jemari itu seakan menggengam jari halusku.  Saat itu, dingin udara daripada penghawa dingin tidak mampu mendinginkan perasaanku yang berkecamuk dalam peperangan hati yang tiada kesudahannya.

Iya papa, hari ini anak yang kau pisahkan dari hidupmu datang menziarah untuk pertama kali dan mungkin juga inilah pengakhirnya. Datang bertamu meninggalkan seketika kelukaan yang kau lakarkan dalam separuh perjalanan hidup ini.  Mengheret kaki dan hati yang dalam keterpaksaan demi sebuah tanggungjawab yang tergalas pada nama seorang anak.  Mungkin matamu terpejam hari ini, namun bagi aku papa, matamu telah terpejam lama pada saat kakimu melangkah pergi meninggalkan kami tanpa menoleh sedikit pun.  Namamu terpadam di hati kami pada saat laungan dan tangisan kami tidak kau hiraukan.  Bukan berhari tangisan kami, tetapi bertahun lamanya barulah tangisan itu berjaya kami hentikan dalam hidup kami.  Kami kebumikan rasa dikhianati dan disakiti itu bersama namamu seperti pintamu.  Kejamkah aku papa, jika hanya hadir hari ini setelah sekian lama kau terbaring di situ?

Apabila melihat wajah tuamu papa, aku tidak dapat menangkis ingatan ini kepada wajah tua seorang ibu yang menangis tersedu-sedu pada saat kau lafazkan pemutus bagi sebuah ikatan hati dan kasih sayang demi mengejar sebuah cinta baru yang kau temui di luar sana.  Aku tidak dapat melupakan wajah kecil seorang aku yang memaut kejap di kakimu dalam tangisan dan wajah polos adik yang tidak mengerti apa yang sedang berlaku saat itu.  Berkali-kali aku memohon padamu jangan tinggalkan kami, namun semua rayuan itu bagimu hanya bisikan di angin lalu yang tak perlu kau hiraukan.  Sungguh papa, harusnya kau menoleh seketika melihat wajah seorang wanita yang kautinggalkan terkontang-kanting sendirian bersama zuriatmu yang harus dibesarkan.  Apalah kudratnya yang ada sedangkan selama ini wanita itu hanya tahu berkhidmat untuk dirimu dan anak-anakmu ini.  Sepanjang hidupnya bersamamu, setianya tak pernah berbelah bahagi walau seinci pun. 

Cepat benar kau melupakan pengorbanan yang diberikan oleh mama kepadamu. Pengabdian seorang isteri yang mendambakan kasih sayangmu seumur hidupnya.  Mudah benar kau beralih arah kepada cinta baru sedangkan bukankah bibirmu itu yang telah melafazkan akad yang disaksikan berpuluh-puluh pasang mata untuk menjaga mama, memberi kebahagian kepadanya dunia dan akhirat serta menjalankan amanah yang diberi oleh-Nya menjaga dan mendidik kami.  Di mana hilang semua janji yang pernah kau lafazkan itu papa?   Rapuhnya hatimu serapuh kasih sayangmu!

Papa, pemergiaanmu dari hidup kami menjemput kesengsaraan dan penderitaan yang tak bertepi.  Namun syukur papa, anakmu ini masih kuat menanggung segala penderitaan yang kau lemparkan kepada kami.  Tetapi hati ini tersayat dan robek satu persatu melihat wajah mama yang kepenatan setiap hari mencari sesuap rezeki untuk kami.  Air mata ini tak mampu tertahan melihat telapak tangan mama yang dulunya lembut dan licin bertukar menjadi kasar dan kematu dalam membesarkan kami.  Hati ini terhiris apabila terpisah dengan satu-satunya darah daging yang menjadi peneman saat suka dan duka apabila mama terpaksa menghantar adik ke kampung untuk dijaga oleh nenda demi mencari rezeki.  Jika hati anakmu ini patah, apatah lagi hati seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anaknya.  Di manakah kau saat itu papa?

Pandanganku singgah pada bibir tua yang seakan bergerak-gerak itu.  Bibir itulah yang sering melaungkan namaku di muka pintu setiap petang, suara yang sering kutunggu apabila angka enam tertera di muka jam.  Aku akan berlari mendapatkan papa yang berdiri menantiku dengan senyuman manis serta tangan yang terdepa untuk kuterjah.  Aku masih ingat, tubuhku yang terawangan kala papa melambung aku ke udara dan tawaku akan menghiasi ruang rumah kecil kita.  Tika itu juga akan terlihat segaris senyum bahagia di wajah mama bersama bayi kecil di dukungan.  Aku akan tertawa setiap kali melihat papa mengucup mesra pipi mama.  Bahagia!  Terasa seperti ada sejalur senyuman bermain di bibirku saat ini.  Indahkan papa saat-saat itu.  Ingatkah papa semuanya itu?  Kenapa keindahan itu tidak dapat bertahan lama walau pun dalam kotak ingatan ini.  Setiap kali aku cuba mengingatkan saat-saat indah itu, semuanya akan hancur dilitupi penderitaan dan rasa benci. 

Derita yang kau tinggalkan papa mengumpan nyilu di hati.  Mungkin ketika itu bibirmu sedang mengukir senyum dan tawa bersama isteri baru yang kaucintai, bersama anak-anak barumu.   Pada saat kau menyulam bahagia, aku dan mama hidup dalam air mata.  Pernahkah papa, kau terfikir apa hidangan kami seharian?  Setiap dinihari, seawal jam lima setengah pagi, mama dan aku berjalan menyusuri lorong gelap mengejar waktu untuk mendapatkan bas terawal supaya aku tidak lewat ke sekolah.  Hidangan pagi dan malam kami hanyalah kulit roti yang mama beli daripada kilang roti yang terletak berhampiran lorong itu setiap petang. Mujurlah, pemilik kilang roti itu ada sifat belas terhadap mama lalu sering memberi lebihan roti jualan mereka untuk kami mengalas perut.  Jerihnya mama dalam mencari rezeki dengan hanya menjadi seorang tukang cuci di pejabat sedangkan itu sepatutnya tergalas di bahumu yang bergelar seorang papa.  Malam-malam kami hanya bertemankan api pelita di rumah kayu di kawasan setinggan di dalam bandar ini.  Cahaya malap itulah yang menemani aku mengulangkaji pelajaran dan mama yang mengambil upah menyembat baju kurung untuk menampung perbelanjaan kami. 

Kesengsaaran mama bukan sekadar sebuah perpisahan dan pengkhianatan, tapi juga sebuah dugaan besar yang terpaksa mama harungi seorang diri apabila anak kecilmu yang baru berusia dua tahun itu dimasukkan ke hospital kerana mengidap epilepsi setelah berhari-hari terbaring dek demam panas yang berlarutan. Semua itu berlaku setahun selepas kau tinggalkan kami papa.  Berhari-hari mama di hospital menjaga anak kecilmu itu.  Pada mata aku yang baru berusia tujuh tahun itu, adik bukan sakit apa-apa tetapi sakit merinduimu kerna saban hari namamu yang diserunya.  Soalan di mana papa menjadi sebutannya setiap hari.  Bagaimana bisa aku menenangkan adik kecilku sedangkan hati aku sendiri bernanah luka dengan pemergianmu.  Seketika pun kau tidak pernah menoleh.  Aku meletakkan semua kesalahan ke atas bahumu papa, atas apa yang terjadi kepada adik.  Untuk itu, sedikit demi sedikit aku mula menyemai rasa benci terhadap dirimu.

Wajah tua itu kurenung lagi.  Bibir papa yang pucat, pecah dan merekah itu juga, mengingatkan aku akan kata-kata terakhir yang keluar daripada bibirnya.

“Kalau anak-anak tanya papa, katakan pada mereka papa sudah mati!”  Kata-kata keramat dan pemutus semua hubungan papa dan kami masih segar di ingatan ini.  Kata-kata itulah yang membuatkan aku menerpa berpaut pada kakimu ketika itu.  Tega hati papa menkafankan kami dalam hatimu sedangkan kami masih bernyawa dan membawa namamu di setiap penghujung nama kami.  Pada saat papa pergi tanpa sedikit pun berpaling, saat itulah aku membuangmu jauh daripada hidupku.  Aku hanya punya mama dan adik.  Itulah duniaku, itulah hidupku.

Papa, pada usia sekecil aku yang kau tinggalkan, tidak pernahkah kau ada rasa belas?  Tidak pernahkah kau terfikir saat kau bahagia bersama keluarga barumu, menyambut hari raya bersama, aku dan adik serta mama, sedaya upaya menggembirakan hati kami yang sedia gundah.  Setiap kali melihat mereka menyalami kedua ibu dan ayah mengundang rasa sebak di hati kecilku.  Melihat gembira terlakar di wajah mereka tika mendapat wang raya yang dihulurkan oleh sang ayah sedangkan aku hanya punya memori singkat bersamamu. 

Setiap kali tiba hari raya, wajah mama tidak pernah ceria.  Seawal usia enam tahun, aku mula memahami hati seorang ibu.  Seawal itu, aku mula menggalas tanggungjawab sebagai seorang kakak dan anak, dalam menjaga mama dan adik.  Setiap kali tiba hari raya, aku tidak pernah meminta mama membelikan pakaian baru yang cantik, tapi mama tetap mama.  Seorang ibu yang tidak pernah menghampakan kami.  Walau diri sendiri tidak punya apa-apa, semahu-mahunya dia ingin melihat kami tertawa gembira.  Gembirakah hati ini papa, apabila semua milik kami kau ragut begitu sahaja.  Air mata bukan lagi penawar duka kami, malah air mata ini sudah kering dan tak mampu tertumpah lagi.

Kesengsaraan hati kami tidak berakhir di situ papa, malah ia berterusan sehingga hari ini.  Tak pernah pudar sedikit pun luka pada kesan calar yang kau tinggalkan itu.  Cuma parut yang berbekas itu kami dinginkan dengan cara hidup kami jauh daripadamu.  Pernahkah setika kau terfikir papa, saat kau pergi bertemu guru-guru di sekolah anak-anakmu, aku juga mungkin menanti kehadiranmu?  Pernahkah kau tahu, setiap kali buku rekod pencapaianku diberi oleh guru, akulah yang menjadi dirimu.  Jari kecil aku inilah yang menandatangani setiap ruang yang seharusnya kau tandatangani.  Pernahkah papa, kau rasa bangga dengan diriku, dengan pencapaianku yang cemerlang setiap kali peperiksaan?  Soalan yang aku sendiri sudah tahu jawapannya.  Sudah tentu tidak pernah sekelumitkan ada rasa bangga itu kan, papa, kerana aku bukan sesiapa padamu.  Namun papa, harus aku ucapkan terima kasih kepadamu kerana apa yang kau lakukan kepada kamilah yang menjadi sumber kekuatanku untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.  Semangat aku berkobar-kobar setiap kali mengingatkan langkah pergimu, kerana aku mahu suatu hari nanti kau tertunduk malu apabila sampai masa aku pula menafikan hakmu pada diriku.

Tahukah kau papa, aku korbankan waktu remajaku dengan rela demi untuk membantu mama meringankan bebannya mencari sesuap nasi untuk kami.  Habis waktu persekolahan, aku bekerja di kedai-kedai makan hanya untuk mencari sedikit wang.  Hasil upah itulah aku gunakan untuk pendidikan aku dan adik.  Di manakah kau papa, saat kami memerlukan seorang papa ketika surat tawaran memasuki IPT kami terima?  Di manakah tanggungjawabmu kau tinggalkan untuk kami?

Selama dua puluh tahun aku menyimpan dendam dan benci yang menggunung terhadapmu.  Sekilas namamu disebut sudah memadai untuk menyemarakkan bara benci di hatiku ini.  Aku tak mampu memadamkannya papa, setelah apa yang kau lakukan kepada kami. 

Namun akhirnya aku gagal papa, gagal untuk membencimu terus kerana aku telah disedarkan bahawa menjadi seorang aku yang bernama anak, adalah berdosa untuk aku membenci dirimu.  Walau siapa pun kau, walau apa pun yang telah kau lakukan, aku tidak berhak untuk membencimu.  Kesedaran ini bukan hadir sendiri dalam hatiku tetapi kehadiran insan yang bergelar suami di sisiku hari ini membuka mataku terhadap qada’ dan qadar yang telah Allah tentukan kepada hambaNya.  Mungkin kerana kegagalan papa dan mama menjadi pengajaran buatku dalam memilih teman hidup sehinggalah aku ditemukan dengan suamiku.  Sujud dan syukur aku kepada-Nya.

Terima kasih papa, untuk pengajaran yang kau tinggalkan tanpa kau sedar.  Kau mengajar aku untuk menghargai pasangan hidup dan amanah yang Allah kurniakan kepada kami.  Kau mengajarku erti setia dan jujur.  Kau mengajarku bahawa sebuah perkahwinan itu adalah perkongsian suka dan duka, dan perkahwinan juga mampu menjadi syurga jika jiwa dipenuhi dengan ilmu dunia dan akhirat.  Perkahwinan bagiku adalah akad yang terlafaz sekali dalam seumur hidup.  Tiada dua, tiada tiga dan tiada juga ke-empatnya.  Bukan aku anti-poligami, anti-penceraian dan menolak apa yang dihalalkan, tapi bagi aku, setiap perbuatan ada timbal balasnya.  Setiap yang indah ada yang comotnya dan setiap yang cantik ada yang buruknya.

Aku bahagia hari ini papa, walau pun tanpa dirimu.  Bahagia yang dahulunya hanya bagai mimpi untuk kugapai.  Mama dan adik juga telah mengecapi kebahagiaan kami dalam dunia kami sendiri, jua tanpa dirimu.  Wajah mama walau pun telah disinggahi kedut-kedut dan garis tua, hari ini lebih ceria dan bahagia daripada tika mama hidup bersamamu.  Adik yang dulunya sering sakit merinduimu, hari ini tak mampu sekali pun menyebut namamu papa.  Kesakitan yang kau berikan kepadanya mengundang pengakhir bagi sebuah ikatan antara papa dan dia.  Dia juga telah bahagia, bersama isteri dan anak-anaknya.  Aku didik dia papa, agar tidak menuruti jejak langkahmu.  Aku didik dia papa agar menjadi seorang suami yang penuh dengan rasa cinta, penuh kasih sayang dan sentiasa mendahulukan insan-insan yang disayanginya dalam segala apa pun.  Aku didik dia papa, agar tidak menjadi manusia yang tega memusnahkan masa depan dan hidup darah daging sendiri.  Aku didik dia papa, agar nama yang berada di penghujung namanya menjadi sekadar sebuah nama.  Tiada siapa-siapa!

Maafkan aku papa, andai hari ini aku cuma mampu memaafkanmu kerana kau papa dan tanpamu siapalah aku.  Maafkan aku papa, aku cuma bisa memaafkan tapi tak mungkin aku dapat melupakan semua yang kau tinggalkan untuk kami.  Parut luka ini masih terasa baru dan sukar untuk sembuh selamanya.  Maafkan aku papa, tidak dapat lagi menerimamu dalam hidupku. 

Perlahan-lahan aku letakkan kembali tangan papa ke tempat asalnya lalu bangun berdiri di sisi sekujur tubuh tua yang terbaring tanpa sedar itu.  Ada pilu yang menampar hatiku saat itu.  Pilu yang telah aku buang jauh-jauh daripada hidupku dua puluh empat tahun yang lalu.  Kenapa ia bertandang kembali? 

“Selamat Hari Bapa, papa, walau pun hak itu telah lama kau gugurkan daripada dirimu.  Aku tak pernah melupakan ucapan itu walau hatiku membenci.”  Kubisikkan ucapan yang telah lama aku simpan untuk terakhir kalinya ke telinga papa.  Moga papa mendengarnya.  Tanpa lengah, kaki kususun mengatur langkah meninggalkan papa sebelum anak-anak dan isterinya tiba.  Tidak betah aku untuk bertemu dengan mereka yang menyulam bahagia atas kesengsaraanku. 

Setika, aku kembali berpaling ke arah sekujur tubuh papa yang masih terbaring, namun tiada satu pun sisa sayang yang bercambah.

.  Maafkan aku papa, aku tak bisa!

**************************************

Maaf untuk segala kekurangan dan terima kasih untuk komen2 sayang2 yang sangat Kak Yus hargai... lebiu ols as owez..

 ~Lots of Luv.. Kak Yus ~
  

Saturday 23 June 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 23


Di balik tabir jendela kamar Qalisha, Acam perhatikan sudah ramai tetamu yang mula membanjiri halaman rumah.  Tetamu wanita menggunakan pintu di ruang menonton untuk masuk ke dalam rumah manakala tetamu lelaki menggunakan pintu utama ke ruang tamu.  Sekejap lagi bacaan Yassin dah tahlil akan dialunkan.  Cepat-cepat Qalisha membetulkan anak tudung dan saat itu terdengar ketukan perlahan di dada pintu kamar.

            Memandangkan ketika itu hanya dia berseorangan di dalam bilik, Acam segera merapati pintu lalu menguak kecil dedaun lebar pintu kayu yang cantik terukir itu.  Matanya terpaku memandang ke arah Qaid yang lengkap berbaju Melayu dan bersampin.  Walah, hensem pula mamat ni.  Kemain lagi, macam nak pergi bersanding pula lengkap dengan songkok di kepala.  Tak berkelip mata Acam melihat Qaid yang juga turut senada warnanya dengan pakaian Acam malam itu.  Serba biru.  Qaid tersenyum melihat Acam yang mengenakan jubah dan tudung yang dibeli mereka di Ipoh dahulu.  Memang kena sungguh dengan kulit putih merah Acam.  Sebenarnya, memang dia amat berharap Acam akan mengenakan persalinan itu sebab itulah dia sengaja memakai baju melayu yang senada.

“Err.. ko nak apa?”  ujar Acam memecah kesunyian yang tercipta antara mereka.

“Hmm.. aku nak bagi tau je orang dah ramai kat bawah.  Jom turun.” Qaid sengaja membetulkan kolar baju melayu mendengar soalan Acam.  Nak cover line sebenarnya.  Iyalah, dah dok tenung anak dara orang tak hengat.  Tangannya terkial-kial hendak memasang butang baju melayu yang masih tidak terpasang satu pun.

“Ko turun dululah, kejap lagi aku turun dengan Isha.  Tengah mandi adik ko tu,”  balas Acam lembut. 

“Lorhhh, ingatkan dia dah siap.  Nak minta tolong dia sekejap,” keluhnya dengan wajah muram.

“Nak minta tolong apa?”

“Ni ha, aku tak pandai nak masukkan butang-butang ni, selalunya mama yang buat.  Hari ni mama aku dah lupakan akulah, entah mana mama dah hilang.  Sibuk sangat agaknya,” rungut Qaid.  Alah, anak manja rupanya mamat ni.

“Hmm, kalau setakat butang tu, aku pun boleh tolong.  Bak sini butang tu, ko dok diam-diam.  Jangan sibuk nak bergerak sikit pun, tangan jangan nak menggatal eh.” Sinis sahaja bunyi kata-kata Acam.  Namun itu satu kesempatan untuk Qaid.  Butang baju bertukar tangan, perlahan jari jemari Acam menyentuh lembut kolar baju melayu Qaid lalu satu persatu butang dipasang dengan mudah. 

            Jauh di sudut hati Qaid, ada getar yang membara.  Andai dapat waktu itu dihentikan seketika, dia ingin sekali menikmati saat-saat itu lebih lama.  Biarlah ia menjadi detik terindah dalam perhubungan mereka.  Bukan mudah untuk berada sedekat itu dengan Acam, untuk merasa seintim itu bersama gadis pujaannya itu.  Saat-saat seperti itu sudah pasti sukar untuk berulang.

“Okey, done!”  Suara Acam mematikan lamunan seketika Qaid.  Huh, sempat pula berangan ye.

“Err.. terima kasih.”

“Small matter la bro.  Ko turunlah dulu eh, aku tunggu Qalisha jap,” balas Acam bernada selamba.

Qaid menganggukkan kepala lalu berpusing menuju ke bawah.  Satu persatu anak tangga dituruninya dengan hati yang berbunga.  Perlahan langkah diatur untuk turut serta bersama ahli jemaah masjid dan tetamu-tetamu yang sudah pun memenuhi ruang tamu rumah. 


            Pintu bilik dirapatkan kembali perlahan.  Entahlah, nak tersenyum pun ada, nak rasa serba salah pun ada.  Mana tidaknya, melihatkan pakaian Qaid dan bajunya malam itu sudah tentu akan mengundang salah faham keluarga Qaid lebih-lebih lagi Auntie Sahara.  Mesti mereka akan menganggap mereka couple pula, sedangkan Qaid dan dirinya terlebih maklum akan perhubungan mereka bagaimana. 

            Acam melabuhkan punggung di atas katil empuk milik Qalisha.  Matanya memerhatikan keadaan sekeliling bilik itu, cantik!  Bertemakan English style, kamar tidur itu dihiasi dengan bunga-bungaan berkonsep English, dengan warna-warna pastel yang lembut.  Kelihatan frame gambar yang cantik dan tersusun kemas di atas almari buku, tak kurang juga yang bergantungan di dinding kamar.  Di sebelah almari buku, berdiri tegak kabinet tv yang menempatkan televisyen LCD 42 inci.  Di bahagian bawah cabinet pula tersusun kemas cd dan dvd yang sudah tentulah pilihannya K-pop dan English movie.  Hish, bagus sesangatlah tu.  Baik abang mahu pun adik, semuanya kaki K-pop.  Entah-entah Auntie Sahara pun sama juga.  Acam tersengih sendiri melayan fikirannya.

            Jari jemari halus Acam mencapai beberapa keping dvd yang berselerakan di atas katil.  Ini si Qalishalah punya kerja.  Petang tadi, beria-ia dia menarik tangan Acam mengajak Acam naik ke biliknya.  Rupa-rupanya dia nak ajak Acam layan Korean Movie dan seronok pula melihatkan keletah gadis itu apabila bercerita tentang koleksi dvd Koreanya itu.  Walau pun Acam tidaklah berminat sangat, tapi tetap juga dia mendengarnya.  Bukan apa, melihat cara dan gaya Qalisha bercerita dengan sepenuh hati itu pun dah cukup menghiburkan.  Apa yang diceritakan tu lain kiralah.  Senyuman Acam lenyap tiba-tiba apabila pintu bilik air terkuak lebar.  Terpacul wajah Qalisha yang seakan mengendap dan terus mengundang tawa Acam.

“Iskhh, main nyorok-nyorok ke?” sergah Acam sambil menyusun semula dvd yang dikutipnya tadi.

“Hehe.. tadi aku dengar suara Angah.  Risau juga takut dia ada lagi, iyalah, aku tengah seksi ni,” ujar Qalisha lalu melangkah keluar dengan hanya bertuala. 

“Huh, ini bukan seksi lagi minah oi, ini dinamakan seksa tau dak,” usik Acam. 

Bedebuk bunyi kusyen jatuh berhampiran Acam dibaling dek Qalisha.  Terlerai tawa kedua-dua gadis itu.  Biarpun ini merupakan kali kedua sahaja mereka bertemu, namun keserasian antara mereka memang sudah tercipta.  Mudah sungguh hati Acam menerima Qalisha sebagai rakan, begitu juga dengan Qalisha.  Hendak pula gadis manis itu anak manja dan sentiasa mahukan perhatian.  Kepala gila-gila merekalah yang merapatkan hubungan kedua-duanya.

            Acam sebenarnya memerhatikan segenap ruang kamar yang tersusun indah itu sedari tadi lagi.  Di benaknya terfikir, di mana agaknya gadis itu menyimpan segala pakaiannya memandangkan tiada satu pun almari baju kelihatan di bilik itu.  Teka-teki yang bermain di benak Acam sedari tadi akhirnya terjawab apabila pintu kecil yang terdapat di sudut bilik itu dibuka Qalisha.  Apabila lampu terpasang, terbuntang mata Acam memerhatikan betapa besarnya ruang pakaian Qalisha dengan deretan baju-baju yang bergantungan.  Siap ada rak kasut dan kesemua kasut disimpan rapi di dalam kotak yang tersusun kemas.  Wah, kalau macam ini bilik Qalisha, bilik Qaid entah bagaimana ye.  Iskhhh, buat apalah ko nak bayangkan bilik orang Acam oi, gerutu hatinya.

            Acam menolong Qalisha melilitkan selendang panjang di kepalanya.  Cantik juga gadis ini berselendang, manis je rupanya.  Saat itu, sekali lagi pintu kamar diketuk.  Acam yang masih berdiri segera melangkah ke arah pintu lalu melebarkan dedaun pintu untuk membenarkan tetamu yang sedang tersenyum berdiri di muka pintu itu masuk ke dalam. 

“Lorhh mama ni, ingatkan siapalah.  Tadi Angah dah naik ketuk pintu, ni mama pula,” rengek Qalisha yang masih membetulkan oles make up di wajahnya.  Siap bermake up bagai cik adik ni.

“Iyalah, orang dah nak mula kat bawah tu, Adeq kidnap Acam lagi kat atas ni,” bebel Puan Sahara bersahaja.  Sengaja melayan karenah Qalisha yang memang manja tu.
“Taulah orang simpan Acam sekejap je, eleh, itu pun nak kede kan Acam,”

“Kede.. apa benda tu?” soal Puan Sahara.  Berkerut-kerut keningnya memikirkan perkataan itu.  Terlerai tawa dua anak gadis di hadapannya.

“Kede tu kedekutlah mama, itulah orang muda-muda macam kitorang ni suka cakap separuh-separuh je, macam dowh tu singkatan untuk bo”

“Hah, iyalah tu,” sampuk Puan Sahara mematikan kata-kata Qalisha.  “Ada-ada ajelah kamu ni.  Hmm, Acam mari sekejap duduk dekat Auntie ni,” panggil Puan Sahara sambil melabuhkan punggung di atas sofa yang terletak di tepi tingkap.  Bukan sebarang sofa ye, ini double seater sofa Laura Ashley tau.  Bermotifkan bunga-bunga ros kecil ala-ala English style yang harganya dah tentu cecah ribuan ringgit.  Tak caya?  Hmmm.. cubalah jengok-jengok majalah dekorasi dan intai-intailah harga-harga perabut di bawah jenama ni.  Memang telan airliur sahajalah. 

            Acam yang menuruti permintaan Puan Sahara, hanya mendiamkan diri dan menghadiahkan senyuman manis buat Puan Sahara yang menarik lembut tangannya kala dia melabuhkan diri di sebelah wanita itu.  Anggunnya wanita ini, bergaya dengan jubah labuh berona ungu, ditambah pula dengan kerlipan labuci dan manik-manik halus yang menghiasi ruang jubah yang polos.  Dipadankan pula dengan tudung tiga layer bertona yang sama juga dihiasi manik-manik yang bertaburan di atas awning tudung menyerikan lagi wajah wanita itu.  Malah En. Quzair pun mengenakan padanan yang sama.  Acam ternampak kelibat encik ayah yang hebat itu ketika dia berdiri di sebalik langsir memerhatikan halaman yang mula riuh.  Memang hebat pasangan ni.

“Hari tu Auntie bagi kat Acam rantai tangan ni, Acam tak nak terima.  Hari ni Auntie bagi lagi sekali, and make sure you will not reject it.  Auntie memang nak bagi kat Acam tau.”  Rantai tangan yang pernah dipulangkan semula oleh Acam disarungkan kembali ke pergelangan tangan Acam yang kecil itu.  Memang cantik terletak sahaja dan berseri kilauannya.  Acam termangu sendiri melihatkan rantai tangan itu.  Kata-kata seolah tersekat di anak tekak, tidak mampu dizahirkan.  Hendak menolak tidak mungkin lagi kerana Acam amat ingat janjinya dahulu.  Dia pernah berkata, jika Puan Sahaja memberinya ketika dia berkunjung ke rumah mereka, dia sesekali tidak akan menolaknya.

“Err, saya tak tahu nak cakap apa Auntie,”

“Jangan cakap apa-apa, ambil je.” Terus tubuh Acam dirangkul dan dipeluk kejap oleh Puan Sahara.  Saat itu terasa seperti ada linangan kecil yang mengalir dari kolam rasa Acam.  Segera Acam menyekanya, tidak mahu menimbulkan tanda tanya mereka.

“Olorhh, dah la tu peluk-peluk.  I jeles tau,” usik Qalisha yang menjadi pemerhati semenjak tadi.  Sekali lagi terlerai tawa mereka anak beranak di situ.

“Terima kasih Auntie, saya akan jaga pemberian Auntie ni baik-baik,” ucap Acam.  Sebuah kucupan dihadiahkan di pipi wanita itu. 

            Adegan lima minit itu terganggu dek deringan telefon bimbit Puan Sahara yang disimpan di dalam kocek jubahnya.  Segera panggilan dijawab apabila nama yang tertera di skrin telefon bimbit dibaca.

“Iya saya abang, nak turun dah ni.  Datang jemput anak dara abang ni hah, dikidnapnya si Acam ni dari tadi tak bagi keluar,” jawab Puan Sahara.  Entah apa yang dibebelkan oleh Encik Quzair agaknya.  Talian dimatikan dan segera Puan Sahara mengajak kedua-dua gadis itu mengikutnya turun ke tingkat bawah.

“Hamboi, advance gitu.  Dalam rumah pun main calling-calling ye mama.” Sempat Qalisha mengusik mamanya.  Bertambah merah pipi Puan Sahara diusik anak gadisnya di hadapan Acam pula tu.

            Wuduk yang diambil ketika mandi tadi masih belum terbatal, lalu Acam juga turut serta bersama-sama qariah yang hadir membaca Yassin dan tahlil.  Sudah lama rasanya dia tidak turut serta dalam majlis begitu.  Bukan ibu dan ayah tidak pernah mengadakan majlis tahlil dan Yassin, tetapi selalunya dia tidak berkesempatan untuk turut serta.  Iyalah, kan dia jauh di perantauan.  Iskh, perantauanlah sangat!!

            Memang tidak dinafikan ramai sungguh tetamu yang hadir di rumah Qaid.  Kata Qaid tadi hanya jiran-jiran terdekat, saudara mara dan ahli jemaah masjid sahaja, tapi rasanya yang hadir tu macam dah satu kampung rupanya.  Malah ada juga beberapa orang ahli politik yang turut menunjukkan wajah sambil bermesra dengan penduduk sekitar.  Puan Sahara juga semakin sibuk melayan tetamu-tetamu VIPnya yang turut serta mengiringi suami masing-masing.  

           Acam mengambil kesempatan itu menurut langkah Qalisha beredar ke bahagian dapur dan menyertai kumpulan ibu-ibu saudara Qalisha yang sedang sibuk mengisi perut dan bergossip.  Wah, seronok sungguh macam ni!  Semua kisah keluar, pasal Fasha Sandha kahwinlah, pasal artis gaduh dengan artislah, pasal artis ni kahwin dengan suami oranglah, sampaikan pasal artis barat pun terjebak sama.  Hehe, dah macam mamarazzi pulak makcik-makcik ni.  Kadang-kadang sakit tulang rahang Acam dek asyik bergelak sakan mendengar lawak mereka. 

            Dalam asyik ketawa melayan gossip hangat makcik-makcik Qalisha itu, tiba-tiba Acam terasa bahunya dipeluk seseorang.  Wangian 24 Faubourg daripada Jenama Hermes yang terkenal tu menusuk ke segenap deria bau Acam.  Dia memalingkan wajah dengan senyuman paling manis buat pemilik wangian itu.  Puan Sahara ni memang kelas, wangian sahaja pun dah beratus harganya.  Tapi memang berbaloi pun berhabis untuk wangian sehebat ini, harumannya sahaja mampu menenangkan hati.  Haruman bunga-bungaan segar dan mengasyikkan.

“Acam dah makan?  Kalau belum jom kita makan.”  Puan Sahara menarik lembut tangan Acam dan diajak untuk duduk bersamanya di meja makan yang boleh memuatkan dua belas orang itu.

“Err sorry ye mama, Angah rasa bab makan tu Acam lagi akan berselera kalau makan dengan Angah.  Lagi pun tetamu VIP mama kat luar tu tak ada orang nak entertain lah mama.”  Entah daripada mana tiba-tiba muncul sahaja mamat ni memotong kata-kata mamanya.  Wajah Qaid berseri-seri apabila mamanya mengangguk setuju.

“Okeylah kalau macam tu.  Make sure she eat before you send her back,” ujar Puan Sahara mengingatkan Qaid. “And as for you my dear, jumpa Auntie dulu sebelum balik nanti ye,” sambungnya lagi sebelum mengangkat punggung berlalu meninggalkan mereka berdua di situ. 

“Dah, jom makan.  Dari tadi lagi kan ko belum makan,” ajak Qaid dan terus sahaja menuju ke arah pintu sisi yang menghala terus ke kawasan kanopi yang tersergam di halaman.  Acam hanya menuruti setiap langkah tanpa sepatah bicara.  Iyalah pun, memang perut dah nak berdondang sayang pun.  Walau pun tadi di bilik Qalisha dah dijamu dengan berbagai jenis makanan ringan tapi kalau dah jenis perut melayu tu perut melayulah juga, mesti nak cari nasi walau bagaimana pun.

            Acam meninjau lauk-pauk dan makanan yang terhidang berderet di atas meja hidangan.  Berkonsepkan ala buffet, lebih mudah untuk tetamu memilih makanan pilihan mereka.  Wah, bukan main sedap-sedap lagi makanan yang terhidang!  Nasi briyani ada, nasi arab ada, nasi putih ada, rendang daging, kerutuk ayam, ayam masak merah, dalca, pajeri nanas, sambal goreng tempe, sambal tahun kulit lembu dan bermacam-macam jenis lagi makanan termasuk pencuci mulut dan buah-buahan.  Istimewanya, mereka menghidangkan makanan ala jawa di sini.  Acam terhenti di tengah-tengah meja buffet apabila menyedari tingkahnya diperhatikan oleh Qaid.

“Kenapa ko tengok aku macam tu?” Dengan muka selamba Acam menyoal tindakan Qaid yang masih berdiri dan tersenyum ke arahnya. 

Senyuman Qaid masih bersisa, “Sukalah aku nak tengok ko macam mana pun.  Heh, tak tau nak pilih apa ye?  Tak pe, aku ada idea.  Ko ambik nasi dan pergi duduk dulu, sekejap lagi aku datang,” balasnya lalu laju melangkah meninggalkan Acam.

            Lekas-lekas Acam menyenduk nasi ke dalam dua biji pinggan.  Lantaklah, isi ajelah nasi apa pun, mesti si Qaid tu makan punya, getus hatinya.  Iyalah, tadi tak sempat nak bertanya pun Qaid tu nak makan nasi apa, tahu-tahu laju sahaja langkah lelaki itu meninggalkannya dengan ideanya yang konon-konon brilliant tu.  Entah apalah idea yang brilliant sangat tu.

            Sepuluh minit menunggu, Qaid hadir bersama sedulang mangkuk kecil yang telah terisi berbagai jenis lauk pauk yang ditinjaunya sebentar tadi.  Hmm.. memang cemerlanglah idea mamat ni.  Semua lauk dapat merasa macam ni.  Seketika kemudian kelihatan seorang lelaki beruniform serba putih berdiri di hadapan meja mereka dengan sedulang lagi mangkuk kecil berisi pencuci mulut dan buah-buahan.  Wallah, ini sudah lebih daripada diva, vavavoom gitu!  Layanan first class macam ni mana nak dapat.

“Hamboi, banyaknya lauk siapa yang nak perabiskan nanti?” Berkerut dahi Acam melihat lincah tangan Qaid menyusun mangkuk-mangkuk kecil itu di atas meja.

“Kitalah makan, kalau tak habis aku tak hantar ko balik,” jawabnya bersahaja.

“Kalau macam ni, bukan setakat sekilo aku boleh naik ni, mahu lima kilogram naik nanti.  Takut mak, nyah oii,” gurau Acam namun tangan sudah pun mencapai sudu sambal goreng yang kelihatan menggiurkan itu.

“Eleh, takut sangat naik badan dia.  Kalau ko besar berpuluh-puluh kilo pun pada aku okey je, yang penting hati,”

            Malas hendak melayan omelan Qaid, lincah je jemari Acam menyuap nasi briyani ke mulutnya.  Satu persatu lauk yang ada di hadapannya disudu ke dalam pinggan.  Qaid pun tidak kurang, macam-macam ditambahnya ke dalam pinggan Acam sehingga menimbun.  Memang seronok makan dengan mamat ni.  Yang penting, bila berada bersama Qaid, Acam tidak perlu berpura-pura menjadi orang lain, dia hanya perlu menjadi Acam yang biasa.  Perasaan yang sama apabila bersama Dzil, tidak perlu berpura-pura kerana mereka amat arif siapa dirinya yang sebenar.

            Antara sedar dengan tidak, hatinya telah mula diketuk rasa bersalah.  Bersalah kerana menyedari betapa kini dia sedang membiarkan dua perasaan berperang dalam merebut tempat di hatinya.  Entah, sehingga saat ini jawapan itu terlalu jauh untuk dia gapai sehinggakan terasa begitu sukar untuk memastikan tempat siapakah di sudut hati gadisnya itu.  Biarlah masa yang menentukannya.  Jauh di sudut hati, dia rindu pada suara lelaki yang bernama Dzil, rindu pada gurau senda dan kata-kata yang sering menenangkan perasaannya.  Harap-harap adalah berita daripada jejaka itu nanti.



*****************************************

N3 kali ini masih lagi bersiaran di rumah Qaid ye.. tak sempatlah nak taip panjang-panjang.  Minggu yang amat sibuk buat Kak Yus.  Harap n3 ini dapat mengubat rindu sayang-sayang Kak Yus pada Acam.  Dzil masih lagi dicutikan seketika..insyaAllah, n3 berikutnya akan ada Dzil semula.. harap rindu-rinduanlah dulu ye.  Maaf untuk typo error cos Kak Yus memang tak sempat nak proofread, bimbang klu nak tunggu 2nd round proofreading, mesti lambat pula Kak Yus post n3 ni.  TQ for those sayang2 yang sudi drop komen.. I luv it all.. 

I lebiu ols.. Kak Yus.
(nah.. pink rosses utk sayang2 semua...)


  

Monday 18 June 2012

Segmen Ilmu ~ Kata Sendi Nama 'di' & 'ke'


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia untuk sayang2 Kak Yus...

Segment ilmu Kak Yus hari ni akan membincangkan mengenai Tatabahasa -- Kata Sendi Nama yang lebih terperinci kepada penggunaan perkataan 'di' dan 'ke'.

Wah, jadi cikgu BM Kak Yus hari ni ye! ~ okey..ini juga satu daripada cabang tatabahasa ye, sila lihat kepada penggunaan penanda seru pada kata seru ni.. (sempat juga Kak Yus corner kat lain ye..hehe).  Okey sayang2 Kak Yus, kita tak payahlah detail sangat pasal Kata Sendi Nama ni ye, nanti jadi formal sangat macam dalam kelas bahasa la pula.  Kenapa Kak Yus pilih topik ini hari ni?  Ini kerana sebagai penulis kita kena peka dengan penggunaan tatabahasa yang betul dan selalunya masalah di/ke ini banyak dihadapi oleh kita.  Rata-rata agak keliru dengan penggunaannya.

Berkenalan dulu dengan Kata Sendi Nama :- perkataan yang terletak di hadapan frasa nama (rujukan Kamus Tatabahasa Dewan - Edisi Baharu).


Kata Sendi Nama 'di'

Ada dua fungsi kata sendi nama 'di' yang perlu kita perhatikan iaitu:

~ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.  Ia ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.

Contoh ayat:

1.  Ibu bekerja di sekolah itu.
2.  Semua peserta telah berada di dalam dewan tersebut.
3.  Beg bimbit Emeer tertinggal di atas meja.
4.  Ayesha masih termanggu-manggu di stesen bas itu.
5.  Perlawanan bola di antara pasukan German dan Sepanyol berlangsung dengan lancar.

~ digunakan di hadapan kata kerja (sebenarnya 'di' di dalam konteks ini tidak dipanggil kata sendi nama tetapi dipanggil 'imbuhan').  Ia dirapatkan dengan kata kerja yang mengikutinya.

Contoh ayat:

1.  Bakul itu diletakkan di bawah pokok untuk sementara waktu.
2.  Buah-buahan itu telah dimakan oleh mereka sekeluarga.
3.  Segmen ilmu ini ditulis oleh Kak Yus.
4.  Masalah tatabahasa telah dibincangkan oleh kumpulan mereka.
5.  Hati Acam bagaikan dirobek-robek apabila melihat adegan singkat itu.

Errr.. rasa-rasanya boleh faham ke apa yang Kak Yus tulis?  Harap-harap clear lah ye.  Okey, yang ini sangat PENTING.. JANGAN GUNAKAN 'di' di hadapan kata nama / frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.  Contoh:

1.  Dia terdiam di saat itu.  (Salah)
     Dia terdiam pada saat itu.  (Betul)

2.  Di ketika itu, dia berasa lelah yang amat. (Salah)
     Pada ketika itu, dia berasa lelah yang amat. (Betul)


Kata Sendi Nama 'ke'

Juga mempunyai dua fungsi utama.

~  digunakan di hadapan kata nama/frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju.  Ia ditulis secara terpisah dengan kata nama/frasa nama yang mengikutinya.

Contoh:

1.  Burung-burung itu terbang ke arah selatan.
2.  Oleh kerana berkecil hati dengan sikap Dzil, Acam melarikan diri ke rumah Mak Langnya.
3.  Mereka akan ke Kuantan esok.


~ digunakan di hadapan kata nama/frasa nama yang menunjukkan waktu dan masa.  Ia juga ditulis secara terpisah.

Contoh:

1.  Aku akan setia berada di sisimu sehingga ke saat terakhir.
2.  Dia sanggup menunggu buah hatinya hingga ke petang.
3.  Tradisi itu masih kekal hingga ke zaman sekarang.


PENTING!!!!  Kata sendi nama 'ke' TIDAK BOLEH digunakan di hadapan kata nama/frasa nama yang merujuk kepada manusia atau binatang.  Contoh:

1.  Berita itu hanya sampai ke pihak polis. (Salah)
     Berita itu hanya sampai kepada pihak polis.  (Betul)

2.  Sila serahkan buku ini ke Husna.  (Salah)
     Sila serahkan buku ini kepada Husna.  (Betul)


Wah.. lenguh juga tangan Kak Yus menaip pasal ni.  Kak Yus harap, n3 Kak Yus ni dapat membantu sayang2 Kak Yus dalam berkarya mahu pun yang masih belajar di sekolah untuk dijadikan panduan.  Kadang-kadang kita terlepas pandang benda-benda kecil begini tetapi ia membawa makna yang sangat besar dalam sesuatu penulisan.

Akhir kalam, Kak Yus pohon maaf andai ada perkataan/ayat2 Kak Yus yang kekurangan atau menjentik hati kalian, yang baik itu datangnya daripada-Nya Yang Maha Mengetahui dan yang buruk itu drp diri Kak Yus sendiri.  Sudi-sudi drop komen @ berkongsi ilmu dengan Kak Yus ye..  Terima kasih.



~ Lots of Luv ~ 
Kak Yus





Sunday 17 June 2012

Sengketa Cinta ~ 5



           Deringan telefon di meja mematikan lamunan Azzalea.  Bunga di tangannya letakkan kembali di atas meja.  Laju jari jemari halusnya mengangkat telefon dengan hati yang berbunga.

            “Assalamualaikum,” ujar suara itu di hujung talian.  Azzalea tersenyum.

            “Waalaikumussalam, awak dah kat mana?” balas Azzalea sambil menarik beg tangan daripada laci meja.

            “Dah dekat bawah ni, maaf lambat sikit.”  Suara itu terasa lembut di pendengaran.  Ah, tak kisahlah lambat sedikit, asalkan datang.  Kalau tidak masak duduk seorang kat ofis ni, dahlah orang semua dah balik.  Yang tinggal pun beberapa kerat je lagi budak-budak IT.  Itu pun jauh kat dalam deparment mereka yang tersorok di hujung tingkat.

            “Ok, awak tunggu saya kejap ye.  Nak keluar dah,” balas Azzalea laju melangkah ke pintu utama. 

            Laju langkah Azzalea melangkah ke arah lobi tingkat sembilan itu lalu butang lif ditekan.  Matanya tak henti-henti memerhatikan sekeliling yang sunyi sepi.  Gelap langit kelihatan di sebalik cermin tingkap yang luas.  Apabila lif terbuka, hati Azzalea terasa lega melihatkan beberapa orang staff yang turut berada di dalam lif.  Sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan.  Senyuman dihulurkan walau pun tiada sebarang kata terucap.

            Azzalea sekali lagi melemparkan senyuman ke arah jejaka yang sedang elok bersandar di pintu kereta itu.  Murah betul senyum hari ini. Hmm, wajah yang putih bersih bersama senyuman manis menyambut kehadirannya.  Melihat senyuman itu sahaja sudah cukup membuatkan Azzalea lupa segalanya.  Senyuman itu mampu menggoyah hati gadis itu.  Jantungnya terasa bagaikan hendak terkeluar daripada badan. 

            “Sorry awak, saya lambat tadi.  Mesyuarat lambat habis pula hari ni.  Ada orang lagi ke kat ofis awak tadi?” Soal Fayyad lalu membukakan pintu kereta untuk Azzalea.

            “Semua dah balik tadi, saya tinggal seorang je,” tutur Azzalea perlahan.  Ada riak kesal bertandang di wajah Fayyad.

            “Alah, kesiannya Lea.  Iyad betul-betul minta maaf ye,” ujarnya bersungguh-sungguh.  Jari jemari Azzalea diraih lalu dibawa ke bibirnya. 

Alamak! Dup dap dup dap dada Azzalea bergetar dengan perlakuan Fayyad itu.  Dikucupnya jejari halus itu lembut.  Alahai Fayyad, janganlah romantis sangat, takut nanti tak boleh tidur dibuatnya.  Enjin kereta dihidupkan dan kereta dipandu laju membelah kesibukan kota yang masih tak lena dengan penghuninya.  Sesekali Azzalea menjeling wajah Fayyad yang tenang memandu.  Tangan sasanya kejap memegang stereng.  Hanya lagu-lagu yang diputarkan di corong radio sahaja yang mengisi ruang sepi yang wujud di antara mereka.

            Tiga puluh minit kemudian, kereta yang meluncur laju mula perlahan dan berhenti di hadapan Restoran Taj yang terletak di Medan Tuanku, port selalu mereka habiskan masa bersama sambil menikmati makan malam.  Fayyad memang suka menikmati roti sardine di restoran itu.  Azzalae pula sekadar melayan capati atau sesekali tose hidangan restoran itu sudah memadai.  Suasana restoran yang lengang menjadikan suasana lebih sunyi.  Entah kenapa, setiap kali bersama, mulut seakan terkunci untuk berbicara.  Selalunya Azzalea akan curi-curi merenung wajah Fayyad. 

            “Dah sampai bulan ye,” suara Fayyad mematikan lamunan Azzalea.  Tersengih sahajalah Azzalea ditegur sebegitu rupa.  Nampak pula mamat ni aku mengelamun, getus Azzalea dalam diam.

            “Nak naik dengan apa, roket ke kapal terbang?” balas Azzalea dengan nada seloroh.  Seronok juga melihat wajah mamat yang duduk di hadapannya itu dengan sengihan yang terseringai.  Pandai pula nak perli orang ye, hah, baru kena sebiji.

            “Awak, weekend minggu depan nak ikut tak?”

            “Ikut pergi mana?”

            “Saya dengan dua tiga orang lagi ahli kumpulan nak pergi buat survey kat Cherating untuk program Belia kita tu, awak nak ikut?” Adakah ini satu pelawaan?  Wah, dah lama tak cuti-cuti Malaysia, seronok juga kalau dapat turut serta.

            “Boleh juga, awak ambil saya boleh?” ujar Azzalea gembira.  Macam budak perempuan kecil dapat gula-gula je lagaknya.

            “Saya yang ajak awak, mestilah saya yang jemput awak.  Awakkan amanah saya,” balas Fayyad sambil merenung wajah gadis itu.  Pandangan matanya yang redup itu membuatkan jiwa Azzalea bergetar.  Segera dia menundukkan wajah, bimbang mamat itu akan menebak gelora di hati.
           
            Mereka meninggalakan Restoran Taj sedikit lewat.  Sempat pula menyusuri keindahanan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa tidak pernah sepi dengan penghuninya.  Setiap jalan pasti akan penuh dengan kenderaan walau pun waktu sudah menginjak ke tengah malam. 

***********************


            Awal pagi Fayyad sudah bersandar di pintu kereta yang terletak elok di hadapan pintu pagar rumah Azzalea.  Lima belas minit menanti, masih tidak kelihatan kelibat Azzalea keluar daripada rumah.  Sedang elok Fayyad hendak menekan butang kekunci di telefon bimbitnya kelihatan pintu rumah Azzalea terkuak luas.  Tersembul wajah Dirah yang masih berpijama tidur dengan mata yang susah hendak dicelikkan pun.

            “Err.. ko tunggu Lea ye.  Dia kata kejap, dia baru siap mandi.  Terlewat bangunlah pagi ni, malam tadi tak boleh tidur punya hal.  Si Lea tulah, seronok sangat nak ikut pi Cherating sampai aku pun tak boleh tidur sekali dok layan dia,” bebel Dirah sambil menarik bangku yang terletak di laman.

            Fayyad juga turut melakukan perkara yang sama.  Elok juga duduk di bangku kecil tu daripada berdiri tercegat menanti buah hati yang tidak siap-siap lagi.  Janji pukul tujuh setengah nak bergerak, ni dah dekat pukul lapan tak siap lagi.  Hish, perempuan ni.  Nasib baik geng-geng yang lain dah berangkat dulu, kalau tidak jenuh membebel mereka tu. 

            Azzalea keluar dengan senyuman kelat dan wajah bersalah.  Hish, macam mana boleh terlewat bangun.  Itulah seronok sangat dok membayangkan ombak laut dan melalut-lalut ke cerita lain bersama Dirah malam tadi, sehingga kesiangan.  Subuh pun subuh gajah sudahnya.  Nasib baiklah Fayyad tersenyum kepadanya, kalau buat muka kelat dah tentu Azzalea membatalkan hasrat untuk menyertai mereka.  Tak syoklah kalau sepanjang perjalanan muka macam lemon tak cukup masakkan.

            Perjalanan ke Cherating mengambil masa lebih kurang empat jam setengah.  Itu pun singgah sebentar di Stesen Minyak Petronas Bentong yang terletak di Lebuhraya KL – Karak untuk menikmati sarapan pagi di cafĂ© Pertronas itu.  Dapat makan nasi lemak bungkus daun pisang dan Nescafe panas pun sudah memadai untuk mengalas perut. Fayyad pula lebih suka menikmati nasi kerabu dan Milo panas.  Memang tekak melayu mereka berdua ni.  Kalau dihulurkan sausage bun ke, donut ke pagi-pagi ni memang tak pandanglah.

Setelah menikmati sarapan, Fayyad meneruskan pemanduan membelah kesunyian lebuhraya.  Tak ramai yang pulang ke kampung agaknya minggu itu, maklumlah bukan ada cuti umum pun.  Melihatkan peniaga-peniaga kecil yang berniaga di pinggir jalan di sepanjang jalan keluar Lebuhraya Karak untuk memasuki Lebuhraya MTD, Azzalea tiba-tiba teringat pada sata, makanan yang agak glamer di Pantai Timur.  Sudah terbayang kenikmatan sata enak yang dijual Kak Melah di pinggir jalan Kampung Sungai Ular.  Kalau menghala ke Cherating atau pun pulang menziarah sanak-saudara di Kampung Beserah, sudah pasti di gerai kecil Kak Melah itulah tempat persinggahan utama Azzalea.  Memang sata hasil tangan Kak Melah tak dapat ditandingi.  Rasa ikan ditambah dengan kepedasan cili padi yang sebati boleh membuatkan dia terigau-igau.  Heh, kalau cerita bab makan memang tak menahan.

            Deru ombak menyambut kedatangan Azzalea dan Fayyad.  Sebaik sahaja kereta di parkir di hadapan chalet, Azzalea terus berlari ke arah pantai.  Telah terlalu lama dia tidak bertamu di daerah itu.  Seingatnya, kali terakhir dia ke Cherating sewaktu dia dan  rakan-rakan sekolahnya mengadakan lawatan sambil belajar ke Terengganu.  Sempatlah singgah sebentar di pantai itu.  Ombak laut membadai memecah lembut di gigian pantai.  Kelihatan pengunjung-pengunjung sedang menikmati keindahan laut.  Ada yang sedang bermain air dan ada pula yang sedang berjalan-jalan menyusuri pantai.  Indah sungguh ciptaan Tuhan yang tiada tandingannya.  Wahai pantai, aku datang lagi bertamu di dadamu, datang lagi menghirup nyaman udaramu, mendengar cerita ombak yang kurindu, bisik Azzalea perlahan.  Jemari halusnya menguis-nguis pasir pantai yang putih bersih.  Sesekali ombak kecil menghempas di kedua kakinya yang masih bermain di gig pantai.

            Seketika, tangan Azzalea diraih daripada belakang.  Haruman perfume Fayyad menyapa deria baunya.  Memang sejak dulu lagi Azzalea gemar dengan haruman yang sering dipakai Fayyad.  Maskulin dan menyegarkan.  Dia membiarkan jari jemarinya dibelai lembut.  Ada rasa yang bergetar di dada.  Mungkin, perasaan kasih dan cinta ini telah mekar untuk lelaki itu.

            “Awak …..”  Wajah Fayyad ditoleh apabila mendengar sapaannya.  Azzalea merenung wajah redup itu.  Damai.  Sedamai bayu laut yang menghembus petang itu.  Namun kata-kata lelaki itu mati di situ, wajah Azzalea kembali ditatapnya lama.

            “Awak nak cakap apa dengan saya?” Azzalea memberanikan diri bertanya.

            “Hmm.. tak ada apa-apalah.  Jom kita balik resort dulu, saya dah check-in untuk awak tadi.  Tapi awak duduk seoranglah ye,” balasnya lembut. 

            “Iyalah kot, takkan saya nak duduk dengan awak, eiii..,” sempat Azzalea menembak kata ke arah Fayyad yang tersengih mendengarnya.  Minah ni kalau nak tembak orang, ada je akalnya, desis Fayyad.  Namun kerenah itu juga yang membuatkan dia tersangkut hati.

            Azzalea dapat merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadanya.  Namun dia turuti langkah Fayyad yang teratur kemas menuju ke chalet penginapan mereka.  Sesudah meninjau-ninjau kawasan berhampiran chalet, mereka berpisah ke arah chalet yang hanya terletak bersebelahan.  Bukanlah jauh sangat pun, masih berlaga pintu kerana mereka ditempatkan di dalam chalet berkembar.  Sebuah chalet tetapi terdapat dua pintu.  Kata Fayyad, demi keselamatan Azzalea.  Iyalah sangat tu, sebenarnya mudah untuk mereka berbual hingga lewat kerana terdapat kerusi rehat di beranda chalet mereka.  

Petang itu mereka berjalan-jalan di sekitar Perkampungan Cherating, melakukan tugas yang sepatutnya bermula dengan mencari penginapan bagi program anjuran persatuan dan caterer yang boleh menyediakan makan minum peserta program selama beberapa hari mereka di sana kelak.  Selesai tugas di situ, mereka berempat mengambil peluang membeli belah di Kemaman.  Pekan kecil yang terkenal dengan keropoknya. 

            “Jom pergi sana,” ajak Fayyad selepas menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek yang terletak di situ. 

            “Kedai kek, awak nak beli kek ke?” soal Azzalea namun langkah disusun juga menuruti langkah Fayyad.  Fayyad tersenyum membalas persoalan Azzalea.  Memang seronok melihat wajah tertanya-tanya gadis itu.

            Walau pun kedai kek di bandar itu tidaklah sebesar mana, namun dekorasi di dalamnya sungguh indah dengan penataan cahaya lampu dan wallpaper yang menarik memang gabungan mantap.  Pandai pemilik kedai kek ini.  Fayyad meminta Azzalea memilih kek yang tersusun cantik di dalam rak kaca itu.  Rambang mata dibuatnya apatah lagi semua kek yang terpamer memang cantik-cantik dan kelihatan sedap semuanya.  Akhirnya Azzalea memilih Red Velvet Cake, kek yang teringin sangat dirasainya apabila sering mendengar cerita Dirah mengenai kek itu.  Sahabat lama Dirah, Cik Oyie mempunyai sebuah bakery yang sedang meningkat maju.  Malah, bukan sahaja nama Cik Oyie, nama bakers Cik Oyie si jejaka tampan bernama Loy itu pun sering didengarinya.  Si Dirah tu memang berkenan sangat dengan mamat tu. 
           
            Setelah harga kek dibayar, mereka kembali meredah malam di Chukai.  Rakan-rakan yang lain telah pulang ke resort, hanya tinggal Fayyad dan Azzalea menikmati makan malam di Bandar Chukai itu.

            “Awak, saya nak celebrate birthday awak kat sini,” kata Fayyad ketika kami sedang menanti pelayan kedai makan menghantar hidangan yang ditempah.

            “Awak ni biar betul, birthday saya lambat lagilah.” Terkejut dengan kata-kata Fayyad.  Biar betul dia ni, kalau nak sambut birthday awal sehari dua oklah, ini berbulan-bulan lagi birthday aku, bebel Azzalea dalam hati.  Nak tergelak pun ada, tapi ditahankan sahaja.  Tak pasal-pasal nanti merajuk pula mamat ni.

            “Tak apa, saya nak juga sambut malam ni,” bersungguh-sungguh suara itu.

            “Suka hati awaklah, nak sambut hari-hari pun tak apa awak.  Saya lagi suka,” balas Azzalea lalu satu senyuman terlukis di bibir nipis jejaka idaman Malaya di hadapannya itu. 

            Mereka memilih gerai terakhir yang agak ramai pengunjungnya di medan makan yang terdapat di bandar itu.  Ketika melabuhkan duduk di sudut itu sebentar tadi, Azzalea tertangkap dua tiga pasang mata gadis-gadis yang berada di situ yang mengerling ke arah Fayyad.  Malah semasa menyusuri Bandar Chukai petang tadi pun dia perasan akan mata-mata yang memandang kea rah Fayyad.  Susah sungguh berkawan dengan jejaka hensem ni.  Kadang-kadang hati dicuit juga rasa cemburu.  Iskhh.. belum apa-apa dah cemburu bagai.

            “Happy birthday, Amira Qaireen Azzalea.  Sudi tak awak menjadi insan teristimewa dalam hati saya?”

            Azzalea terpaku saat kata-kata manis itu terluncur laju dari mulut Fayyad.   Bagaikan tidak percaya apa yang didengarinya. Tangan kiri Fayyad memegang jari jemari Azzalea  yang sudah terasa sejuk.  Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya lalu menghulurkannya kepada Azzalea.  Perlahan Azzalea menyambutnya.  Sebentuk cincin emas putih berbentuk hati bertahta cantik di dalam bekas merah itu.  Azzalea tidak dapat mengelakkan daripada terus merenung mata Fayyad yang dalam, pandangan mereka bersabung seketika.  Saat itu, Azzalea seperti tidak dapat meneka perasaannya sendiri.  Dia melamar akukah?  Dia inginkan aku menjadi surinyakah?  Oh, jantung rasa bagaikan hendak tercabut.  Azzalea bermain dengan perasaan hati sendiri.

            Cincin putih itu dikeluarkan dari tempat bersemayamnya lalu jari-jemari Azzalea ditarik lembut.  Cantik!  Tersarung kemas di jari halusnya.

            “Awak, saya tak tahu nak cakap apa..” ayatnya mati di situ apabila pelayan kedai tiba dengan hidangan yang dipesan.  Suasana sepi seketika. 

            “Kalau cinta, tak perlu kata apa-apa.  Kalau sayang, sediakan saja ruang di sudut hati awak untuk saya,” balasnya.  Mendengar ucapan yang telus daripadanya menjadikan wajah Azzalea merona merah.  Eii.. dia tahu sangat ke aku sayang kat dia, bisik hati gadisnya. 
            Beginikah rasanya dilamun cinta, hingga tidak keruan perasaan dan hati.  Kadang-kadang hati kata begini, akal kata begitu.  Haishhh, susah juga namun orang kata, bila cinta apa pun indah sahaja.


(Aku Jatuh Hati -- Asmarindah)


Seiring waktu yang tlah ku jalani bersamamu
Ku selalu merasakan rasa bahagia denganmu
Setiap hari kau temani aku dengan senyummu
Dan hanya dirimu yang membuatku semakin cinta

Aku jatuh hati, jatuh hati padamu
Aku jatuh cinta, jatuh cinta padamu
Aku pun melayang, melayang di angkasa
Karena ku tlah dapatkan, mendapatkan hatimu
Setiap hari kau temani aku dengan senyummu
Dan hanya dirimu yang membuatku semakin cinta

Aku jatuh hati, jatuh hati padamu
Aku jatuh cinta, jatuh cinta padamu
Aku pun melayang, melayang di angkasa
Karena ku tlah dapatkan, mendapatkan hatimu

Kau membuat hatiku berbunga
Dengan semua cinta yang kau beri
Kau membuat aku terbang

Aku jatuh hati, jatuh hati padamu
Aku jatuh cinta, jatuh cinta padamu

(Aku jatuh hati, jatuh hati padamu
aku jatuh cinta, jatuh cinta padamu)
Aku pun melayang, melayang di angkasa
Karena ku tlah dapatkan, mendapatkan hatimu


*********************

Okey sayang2 Kak Yus, moga n3 ni bawa bunga-bunga di hati kalian ye, maaf utk segala kekurangan.. sudi2 drop komen utk kak yus.. 

Lots of luv from Kak Yus and the geng (Emeer & Ayesha, Acam & Dzil)



 

Blog Template by YummyLolly.com