Tuesday 31 July 2012

T-SHIRT BCB --LIMITED EDITION


Salam sayang-sayang Kak Yus,


Pagi ni nak share sesuatu lagi, oleh kerana Biar Cinta Bertaburan ini sangat istimewa di hati Kak Yus, maka Kak Yus juga abadikannya dalam bentuk T-shirt yang dicetak khas seperti dalam gambar ni ye..


Pandangan drp bahagian hadapan...

Pandangan drp bahagian belakang baju..


First batch Kak Yus cetak 10 helai dahulu, untuk kegunaan Kak Yus, suami dan anak-anak.  Cadangnya, baki 4 helai lagi tu nak buat sample, tapi dah kena rembat awal-awal oleh adinda-adinda yang datang daripada jauh pada sesi signing hari tu.

Setelah mendapat feedback n permintaan, so Kak Yus beri peluang untuk sayang-sayang Kak Yus yang berminat untuk dapatkan Limited Edition T-shirt ni.  




HARGA :  RM28 termasuk postage.

Sizes available ----  S, M, L, XL, XXL, XXXL
(children's size also available)




Order ini akan dibuka sehingga 10hb Ogos 2012 beserta bayaran.  Yang dah order tak boleh cancel ye, cos ini melibatkan kos printing, nanti kena pancung Kak Yus dek printing person tu.. hehe.. Yang berminat boleh email Kak Yus ---- >> ayeshatajudin@gmail.com  @ boleh aje PM Kak Yus di FB.  Errr... belum add fren Kak Yus ye??? Pi lah add Kak Yus jadi fren..  YUSNIDA TAJUDIN .. dah jadi fren join sekali group BJB ye.. ada contest tu sekarang ni tengah running.. 


OK.. ni model-model free tengah posing dengan t-shirt BCB ye.. selamat menjamu mata....




Lastly, bagi sayang-sayang yang dah dapat peluk-peluk BCB tu selamat membaca, semoga mendapat sesuatu daripadanya, menghayati cinta Emeer & Ayesha dan paling penting, semoga terhibur.

Sudi-sudilah komen di sini ye...  Terima kasih daun keladi...hehe

Lots of luv
~ Kak Yus ~



Monday 30 July 2012

BIAR CINTA BERTABURAN --- SPECIAL ENTRY!!!

Sedikit 'Halwa Mata' untuk sayang2 Kak Yus di BJB.. Bab 32...

**********************


Melihat Emeer yang didudukkan semula di atas katil membuatkan hatiku sayu.  Tidak sakitkah bakal suamiku ini bergerak ke sana ke sini pagi ini.  Baju Melayu putih yang terletak padan di tubuhnya menaikkan seri wajah tampan itu.  Hari ini, wajah Emeer sangat kemas.  Rambut disikat rapi, songkok putih bertaburan manik-manik kecil menyerlahkan lagi ketampanan lelaki itu. 

“Hensem,” bisikku perlahan. 

“Mestilah, suami siapa,” balasnya juga perlahan.  Alamak, ingatkan dia tidak mendengarnya tadi.  Rupa-rupanya sempat dia menangkap gerak bibirku.  Hish, perasan betul mamat ni.

            Semua orang telah mula berkumpul di bilik kecil itu termasuk Dr. Herda dan suaminya, Abang Hairul, adik-adikku dan beberapa orang saksi serta jurunikah.  Aku didudukkan di sofa apabila Emeer melafazkan akad nikah. 

            “Aku terima nikahnya, Ayesha Sorfina binti Muhamad Tajudin, dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”

            Usai lafaz nikah diucapkan oleh Emeer yang disahkan oleh saksi-saksi yang berada di sebelah kami, imam membacakan doa.  Mengalir air mataku laju ketika mengaminkan doa itu lalu pantas kuseka agar tidak mencacatkan solekan jurusolek yang telah berpenat lelah sebentar tadi.

Tepat jam sebelas pagi, aku sah menjadi seorang isteri kepada lelaki yang bernama Emeer Zafran bin Zainuddin dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai.  Hanya dengan sekali lafaz akad, terpaterilah sebuah hubungan yang direstui oleh Yang Maha Esa.  Aku memanjat doa dan bersyukur kerana Dia telah memudahkan perjalanan kami.

            Sekali lagi aku tak mampu bertahan, air mata yang bergenang di kolam rasaku mengalir perlahan apabila mendengar bacaan taklik oleh Emeer.  Saat itu, tiada yang terindah bagi seorang wanita melainkan dinaikkan pangkat dan darjat sebagai seorang isteri kepada lelaki yang amat dicintainya.  Mak memimpin tanganku menuju ke arah Emeer yang masih duduk di katilnya untuk upacara membatalkan air sembahyang.  Huluran tanganku disambut oleh Emeer lalu aku mengucup lembut tangannya.  Kucupan pertamaku sebagai seorang isteri buat suami yang tersayang.  Perlahan, aku mendongak lalu sebuah kucupan hingga di dahiku.  Hangat dan mesra bibir itu singgah di bertamu di dahiku.  Jari kasar Emeer menyeka lelehan air mata yang bergenang di tubir mataku.  Sinar dari redup matanya menghantar rasa bahagia di segelinap inci hati ini. 

            Cincin bertatah berlian bermata satu tersarung indah di jari manisku.  Di bahagian bawahnya terukir indah nama aku dan Emeer.  ‘Cinta Kita ~ Sofi & Emeer ~’.  Jurufoto pula berlebih-lebih sibuk mengarahkan Emeer mengucupku lebih lama.  Suasana menjadi sunyi seketika seolah bersatu dengan rasa hati kami.  Walau pun cukup sederhana, tapi mampu menjemput linangan rasa pada setiap pemilik sepasang mata yang menyaksikan majlis kami.  Aku sempat mengerling ke arah mama, mummy dan mak yang sibuk mengelap mata masing-masing.  Aku percaya, air mata yang tumpah itu membawa rasa bahagia melihat kami. 

            “Thank you sayang for being my wife.  I love you so much..” bisik Emeer lembut di telingaku.  Senyuman tak mampu aku usir dari terus menguntum mekar di bibirku ini. 

            “Sofi sayang abang juga.. hingga hujung nafas Sofi,” balasku lembut ketika sengaja buat-buat membetulkan songkoknya yang agak senget.  Takut juga orang lain terperasan dengan peel kami yang sedang melayan jiwa yang menguntum harum setaman ni.

            “Pengantin perempuannya mana, mari sini suapkan sedikit pulut kuning ni untuk suami,” ujar satu suara dari arah sudut bilik. 

            Baru aku perasan, telah siap hidangan pulut kuning bersama rendang daging serta beberapa hidangan makanan di atas meja bulat di sudut bilik itu.  Agaknya, tadi teruja sangat nak diijabkabul sampai dah tak nampak apa-apa pun yang dibawa masuk ke dalam bilik tu.  Wanita yang tidak kukenali itu bergerak ke arahku bersama sepiring pulut kuning dan rendang daging lalu hulurannya kusambut. 

            “Terima kasih kak,” ujarku malu-malu. 

            “Cubalah ko rasa pulut kuning dia.  Aku pagi-pagi dah rembat satu piring tadi, perghhh.. sedap giler,” bisik Hafifah di sebelahku. 

            “Ko memang Pipah, pantang nampak makanan.  Tak boleh blah la ko ni,” balasku.  Tersengih je sahabat aku ni.

Oh, rupanya kakak tadi tu empunya catering service ini lah.  Pelik juga bila terlihat orang yang tak dikenali di kalangan yang hadir.  Setakat yang pakai uniform putih dan uniform doktor tu boleh la akalku terima lagi.  Dah mereka kerja di sini, maka semua pun dijemput. 

            “Abang, bismillah..” lalu kusuapkan secubit pulut dan rendang daging ke mulutnya.  Wah, bukan main melebar senyum di wajah mamat ni bila disuap-suap begini.  Lagi-lagi pula jurufoto dok sibuk mengambil gambar kami daripada berbagai sudut.

            “Sayang pula buka mulut, abang suapkan sikit,” ujarnya.  Aku menggeleng namun jarinya sudah berada hampir di bibirku.

Hendak tak hendak terpaksa jugalah aku menjamah suapannya.  Merah muka aku menahan malu apabila digiat oleh abah.  Hamboi, abah aku ni bukan main lagi seronoknya dapat menantu.  Jarang sangat dapat dengar usikan abah kecuali kalau benar-benar mood abah baik.  Riuh dengan gelak dan tawa tetamu yang ada di bilik itu melihat reaksi kami.  Alahai, malunya!

Seorang demi seorang aku dan Emeer salami.  Kalau ikutkan adat, selepas nikah kami perlu menyalami ibu bapa serta mertua malah para tetamu juga.  Kali ini adat telah bertukar.  Melihatkan keadaan Emeer yang hanya terpaksa duduk di atas katil, maka mereka pula yang datang menyalami kami.  Ucapan demi ucapan kami terima dengan hati yang bahagia.  Sungguh, tiada kata yang mampu merungkaikan rasa hati kami saat itu.

“Hmm.. malam pertama pengantin di hospital ye?  Hebat!” usik Izzul Azri yang berdiri di samping Dr. Herda.

“Ko kan kalau tak usik aku tak boleh ye,” ujarku pura-pura marah.  Jelinganku dibalas dengan senyuman.

“Oh, malam ni pintu bilik akan ditutup rapat.  Cik-cik nurse semua boleh berehat.  Kalau ada bunyi apa-apa pun buat-buat tak dengar je,” sampuk Emeer.  Spontan tanganku mencubit lengannya.  Gatal.  Terseringai senyuman di wajah mereka mengejekku.  Aku yang sudah termalu sendiri buat-buat tidak endah dengan usikan itu.  Bukan boleh dilayan sangat orang lelaki ni. 

*****************************************

~ Apakah perkahwinan mereka ini melengkapkan diri mereka masing-masing, atau masih adakah ranjau dan onak yang harus diharungi untuk menggapai bahagia?  Sehebat manakah cinta Emeer kepada Ayesha, atau adakah sekadar melepaskan lelah di tangga. Ingin mengetahui kesudahan kisah mereka?  .. dapatkan Biar Cinta Bertaburan yang boleh didapati di kedai2 buku bermula Ogos nanti.. sebuah keluaran Penerbitan Kaki Novel..


Harga :  RM19 (SM) / RM22 (S/S)


DI SEKITAR SESI TANDATANGAN NOVEL BCB DI OFIS KN
28 JULY 2012


Bermula bulan April lalu, pihak KN telah membawa satu lagi idea hebat iaitu Limited Edition yang mempunyai tandatangan penulis bagi 300 pembeli online terawal.  So, pada 28/7 yang lalu, sebagai menyambung tradisi, Kak Yus pun tidak ketinggalan hadir ke KN utk sesi TT novel Biar Cinta Bertaburan.

Paling seronok, ada aktiviti berbuka puasa beramai2 di sana.  Terima kasih tak terhingga untuk semua yang telah hadir memeriahkan suasana pada petang itu.  Walau pun dalam keadaan berpuasa, masih sempat meluangkan masa untuk bersama.  Sokongan padu semua sangat-sangat Kak Yus hargai.

Jom.. kita usyar gambar2 yang sempat dirakam...


Sesi TT bermula.. hehehe.. siap sedia tu sebenarnya...





Supporters Tegar.. hebat mereka ni.. TQ darlings...




Ok.. ini sesi nak berbuka puasa ye.. macam-macam hidangan ada kat atas meja tu, tunggu nak ngap je.. seronok sesekali dpt berjumpa dan berkumpul begini.. 

Doakan moga BCB berjaya dan mendapat sambutan yang baik, dan kak yus suka jika sayang-sayang kak yus yang telah membaca BCB utk memberi sedikit komen.  TQ semua atas kesudian kalian support Kak Yus dan BCB.

SAYANG KAMU SEMUA.. 1000X
~ KAK YUS ~


Monday 23 July 2012

Cerpen : Ajaibnya Puasa!


Salam sayang2 Kak Yus.. jemput layan sebentar Cerpen kak Yus kali ini.. sumbangan penyertaan untuk cerpen bulanan Geng Urban di FB.. 

**********************************************************************



Suluhkan cahaya hati diterang
Tunjukkan jalan
Seandainya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisimu aku berserah
Terimalah aku
Hambamu Allah

Oh ho oh ho
Hambamu Allah..


Berulang kali alunan merdu Akil Hay, Mawi dan imam-imam muda itu berkumandang menghentikan bebelan aku.  Kelihatan senyuman-senyuman di wajah kecil itu menandakan keriangan terlepas daripada azab berada di dalam kelas membaca yang kadang-kadang memang tidak digemari oleh mereka.  Cepat-cepat aku melangkah mendapatkan telefon bimbitku lalu alunan merdu itu aku matikan segera.  Memang sengaja aku tetapkan penggera masa supaya aku tidak terleka meladeni(diperbaiki) telatah anak-anak ini hingga mengorbankan waktu rehat mereka.  Bagi anak-anak kecil ini pula, alunan lagu itu sudah cukup sinonim dengan telinga mereka malah ada yang agak nakal, turut mengalunkannya. 

“Baiklah semua, kamu boleh tutup buku.  Simpan semula di atas rak yang kamu ambil tadi.  Kemas semula pensel dan warna, masukkan kembali ke dalam bakul cikgu di atas meja kamu tu.  Jangan lupa, tolak kerusi ke bawah meja dan kutip sampah yang kamu buat di atas lantai.”  Begitulah hari-hari pesananku tak pernah lekang.  Menguruskan anak-anak kecil begini, memang memerlukan kita sentiasa mengingati mereka.  Maklumlah, kita yang dewasa ini pun sering lupa apatah pula kanak-kanak kecil ini yang sentiasa padat akalnya memikirkan perancangan dan aktiviti yang ingin mereka lakukan.

“Dah siap cikgu,”  balas mereka serentak.

“Okey, kamu boleh turun ke bawah dan makan.  Ingat pesan cikgu, basuh tangan, baca doa sebelum makan dan selepas makan dan jangan berlari.  Cikgu tunggu kamu di sini,” pesanku lagi.

“Cikgu tak makan ke?” terdengar suara halus berani melontarkan soalan kepadaku.

“Tak, cikgu puasa hari ni,”

“Tapikan cikgu, mama kata puasa lambat lagi,” seorang lagi mula bersuara.  Masing-masing terdiam menantikan jawapanku.  Alahai anak kecil ini, harus bagaimanakah aku hendak menerangkan kepada mereka? 

“Hmm.. cikgu puasa sunat,”

“Sunat?  Bukan orang lelaki ke yang bersunat cikgu, macam abang saya.  Puasa pun ada sunat ye cikgu.” Terbatuk-batuk kecil aku mendengar soalan yang cukup bijak keluar daripada bibir nipis milik pelajar lelaki yang memang terkenal dengan kepetahannya berkata-kata.  Alahai, Zarul, macam manalah cikgu hendak menerangkan kepada kamu.

“Macam nilah, semua hendak tahu kenapa cikgu puasa kan?  Okey, kamu turun makan dahulu, selepas rehat nanti kamu naik ke kelas, cikgu akan ceritakan kepada kamu.  Boleh?” Minta-mintalah pujukan aku ini berjaya.  Sekurang-kurangnya boleh juga aku mempersiapkan diri dengan fakta-fakta dan kata-kata menyelamatkan diri apabila diserang hendap nanti.  Walau pun anak-anak ini berusia enam tahun, tetapi kadang-kadang kepintaran akal mereka mampu membuatkan kita kehilangan kata-kata.

Masing-masing mengangguk tanda bersetuju dengan  sarananku, lalu setelah memberi salam, anak-anak kecil itu berjalan menuruni tangga dalam satu barisan.  Inilah hasil didikan aku dan rakan-rakan sekerja yang lain.  Mendidik anak-anak kecil ini dengan ilmu dunia dan dalam waktu yang sama menerapkan nilai-nilai adap kesopanan dan kesusilaan ke dalam diri mereka tanpa mengenepikan didikan agama. 

Kadang-kadang aku agak kecewa dengan pandangan masyarakat terhadap golongan kami, guru-guru tadika yang nampak kerdil di mata mereka.  Mereka memandang guru-guru tadika seperti kami sebagai golongan bawahan yang hanya mampu mengajar a, b, c dan 1, 2 , 3 sahaja.  Hakikatnya, antara kami terdiri daripada lulusan Diploma, Sarjana Muda malah Sarjana juga.  Kami tidak pernah meletakkan sekeping kertas yang tertulis perkataan-perkataan itu sebagai pengukur khidmat kami kepada masyarakat.   Apa yang penting, hati kami ikhlas dalam melakarkan corak ke atas  kain putih  yang diberikan kepada kami agar tugas mencoraknya tidak seratus peratus terbeban di bahu ibu bapa.

Sebagai guru senior dan merangkap pengetua di tadika ini, aku memastikan setiap guru mengingati tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kecil yang menjadi amanah kami.  Apa yang kami lakukan, itulah yang akan menjadi turutan dan ikutan.  Setiap kata haruslah beralas, setiap tingkah laku haruslah berpada. 

Tidak sampai setengah jam, riuh rendah di bahagian bawah tadika sudah kembali tenang.  Kedengaran derap tapak kaki memanjat anak tangga semakin jelas.  Suara-suara halus juga mula kedengaran.  Ada kala diselang dengan tawa ria mereka.  Aku tersenyum sendiri.  Sudah tentu anak-anak ini yang menuju ke kelas kembali menuntut janjiku kepada mereka.   Entah kenapa, hati aku tenang apabila bersama mereka walau pun kerenah(diperbaiki) mereka kekadang mampu membuatkan kita hilang pertimbangan.

Kedengaran salam diberikan hampir serentak.  Kemudian, bunyi keriut kerusi ditarik memenuhi ruang kecil yang mampu menempatkan dua puluh orang pelajar genit itu.  Buku Rekod Pelajar yang ada di hadapanku(diperbaiki) perlahan kututup.  Cermin mata yang terletak elok di atas hidungku yang tidak terlalu mancung ini kutarik dan kuletakkan di atas buku itu.  Begitulah selalunya aku, hanya mengenakan cermin mata itu ketika membaca sahaja, seiringlah dengan usiaku yang sudah mula menjemput rerambut putih bertamu.

“Cikgu, cepatlah cerita,” laung Hanis yang agak manja.  Wajah manis itu kurenung lalu sebuah senyuman aku hadiahkan kepadanya.

“Baiklah, cikgu akan cerita.  Semua dah ada di sini?”

“Dah cikgu, Fuad yang akhir sekali masuk kelas,” jawab Ridzuan yang dilantik sebagai ketua kelas.  Memang selayaknyalah tugas itu dengannya.  Amanah dan rajin.

“Sebelum tu, cikgu nak tanya dahulu.  Kamu makan apa tadi?”

“French Toast dengan karipap cikgu,” serentak lagi jawapan yang aku terima.
Wah, memang bagus betul asuhan kami!  Kalau begini, mudahlah kerja untuk melatih mereka choral speaking mahu pun choir (diperbaiki) sebagai persembahan pada akhir tahun nanti.

“Siapa tahu kenapa kita berpuasa?”  Sengaja aku mengutarakan soalan itu sebelum aku bercerita lebih lanjut mengenai puasa.  Anak-anak kecil ini suka sebenarnya menjawab soalan, berebut-rebut hendak menjawab.

“Sebab rukun Islam cikgu.”

“Sebab mama saya kata kalau tak puasa tak boleh raya.”

“err.. sebab nak lawan dengan syaitan cikgu.”

            Maka bermacam-macam jenis jawabanlah yang aku terima pagi itu.  Sudahnya, aku tidak mampu lagi menahan gelak lalu tersenyum melayani petah mulut kecil mereka.

“Baiklah, sebenarnya apa itu puasa?  Puasa ialah kita menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.  Siapa tahu kenapa kita puasa?”  Tidak mahu bercakap sendirian terus, aku mengutarakan lagi soalan.  Wajah-wajah comel itu termenung memandang ke arahku.  Segera aku menyambung, mematikan persoalan yang cuba aku hadirkan dalam minda mereka. “Kita puasa untuk menunaikan tanggungjawab dan mencari pahala.”

“Oh, kalau puasa kita dapat pahala ye cikgu?”  Ada juga yang bijak inginkan lebih penjelasan.

“Iya, mestilah mendapat pahala.  Ingat tak cikgu ada bagi tahu ada dua penjaga yang selalu menulis markah kita?  Satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan.  Ha, kalau kita puasa, penjaga di sebelah kanan akan gembira dan memberi kita markah banyak-banyak, lagi-lagi kalau kamu semua rajin bantu cikgu, bantu ibu bapa di rumah dan berbuat baik.” 

“Sebenarnya, puasa ini ada 3 jenis, satu puasa wajib di bulan Ramadhan.  Puasa inilah yang selalu kita buat sebelum kita sambut Hari Raya Aidil Fitri. Kalau dilakukan mendapat banyak pahala tetapi kalau tidak dilakukan akan mendatangkan dosa. Satu lagi puasa wajib juga iaitu puasa ganti dan puasa nazar.  Puasa ganti ni dilakukan oleh orang yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit atau uzur.  Puasa nazar pula ialah puasa yang kita lakukan apabila kita berniat sesuatu.”

            Aku merenung wajah-wajah comel itu seketika.  Masing-masing sedang leka mendengar apa yang aku perkatakan.  Ajaibnya, hari ini masing-masing seperti terlalu ingin mengetahui apa itu puasa dan kenapa aku berpuasa.  Selalunya, jarang sesi informatif begini ditekuni oleh anak-anak sebaya mereka.  Melihatkan minat mereka, aku meneruskan lagi.

“Puasa seterusnya ialah puasa sunat.  Puasa sunat ni kalau dilakukan akan dapat banyak pahala, kalau tidak dilakukan tidak berdosa. Puasa sunat ni boleh dilakukan bila-bila sahaja mengikut hari-hari tertentu dan bulan-bulan Islam yang tertentu.  Kamu ingat lagi tak bulan-bulan Islam yang kita pelajari? Jom kita sebut satu persatu”

“Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah,” serentak mereka melagukan nama-nama bulan Islam yang telah dipelajari.  Sebagai seorang guru, bangga menghiasi segenap sudut hati dengan ingatan mereka.  Moga ingatan itu akan terus bersama mereka sehingga mereka meninggalkan kami di ruang kecil ini.

“Sekarang ni bulan Rejab kan cikgu, jadi sekarang ni cikgu puasa sunatlah?” Suara Hanis tiba-tiba memecah kesunyian setelah nyanyian mereka tamat.  Hanis ini memang bijak, petah dan agak matang berbeza dengan rakan-rakan sebaya yang lain.  Mungkin di rumahnya, ibu dan bapa sering mendedahkan dia dengan ajaran-ajaran agama yang lebih mendalam.  Banyak ilmu yang diketahuinya dan sering juga dia membicarakan tentang apa yang diketahuinya di ruang kecil kami ini.

“Betul tu Hanis, hari ni hari ketiga cikgu berpuasa sunat.  Tahu tak, puasa sunat di bulan Rejab ini banyak kelebihan dia?”  Masing-masing menggelengkan kepala dan masih memberi tumpuan kepadaku.  Mengharapkan aku menyambung kembali perbualan kami.

“Puasa sunat di bulan Rejab kita akan mendapat pahala yang banyak antaranya, mendapat syurga Firdaus, menjauhkan kita daripada neraka, menjauhkan kita daripada bala dan penyakit, azab kubur, dan siapa yang berpuasa di bulan Rejab selama lima belas hari, maka Allah akan ampunkan semua dosa kita.”

“Wah, bestnya cikgu,” sampuk Tariq yang mula bersuara.  Sedari tadi dia hanya berteleku di hujung meja dengan mata bulatnya hanya memerhatikan setiap gerak bibirku. 

“Bulan Rejab sahaja ke cikgu kita boleh puasa sunat?”

“Bulan Syaaban pun boleh juga, banyak pahala juga kita boleh dapati dalam bulan Syaaban seperti ganjaran pahala, dimasukkan ke syurga dan yang lebih baik, Allah akan ampunkan dosa kedua ibu bapa kita jika kita berpuasa selama lima belas hari dalam bulan syaaban.  Tapi kena ingat, selapas lima belas syaaban, tidak dibenarkan puasa sunat malainkan jika puasa wajib sahaja,”  terangku panjang lebar. 

            Sessi perbualan kami terhenti di situ apabila penggera masaku sekali lagi berbunyi dengan irama lagu yang sama.  Anak-anak kecil ini sudah terlalu faham dengan bunyi itu lalu mereka segera mengemas kembali barang-barang mereka, menolak kerusi dan beratur di muka pintu. 

“Cikgu, esok boleh tak kita bercerita lagi tentang puasa dan hari raya?”  soal Maisarah yang manis bertocang dua.

“Boleh, esok selepas kita belajar membaca kita boleh bercerita lagi, tapi dengan syarat kamu semua mesti dapat membaca dengan lancar.  Boleh?” soalku membalas soalan Mairasah sebentar tadi. 

“Boleh cikgu,” serentak jawaban mereka mengundang rasa senang di hatiku.

            Setelah mengucapkan salam dan masing-masing menyalamiku, anak-anak kecil ini aku lepaskan pulang dengan mengiringi mereka sehingga ke pintu pagar.  Keselamatan mereka bukan mainan bagi kami, malah setiap guru telah kupesan agar sentiasa menitikberatkan hal-hal keselamatan mereka.  Nyawa tiada galang ganti, walau pun mereka bukan darah daging kami, tetapi mereka tetap dekat di hati kami.  Amanah yang diberi harus dipikul sebaik-baiknya.

            Aku merenung kelam malam yang semakin dingin.  Kesuraman lampu neon yang menyinari lorong-lorong kecil di hadapan rumahku sudah cukup membantu berpasang-pasang mata melalui lorong itu.  Indah malam ini, lebih indah apabila memunggah kembali kenangan bersama si anak-anak kecil pagi tadi.  Aku puas.  Puas kerana sedikit ilmu telah dapat aku berikan kepada mereka.  Biarlah mereka terlalu kecil untuk memahami semuanya, namun aku berdoa agar ada sedikit daripada ilmu itu mampu meresap jauh ke tangkai hati mereka.  Senyuman kecil mula tersungging di bibir apabila mengenangkan keletah bijak mulut mereka membalas setiap persoalan yang aku lontarkan.  Tidak pernah jemu bertanya dan menjawab.

            Lamunanku terhenti apabila menyedari sepasang tangan terletak kemas di bahuku.  Ubun-ubunku dikucup lembut.  Seketika, empunya sepasang tangan itu telah pun melabuhkan punggung di sisiku di atas bangku kecil ini. 
“Jauh sayang termenung, kenangkan siapa agaknya,” bisik sang suami yang aku tinggalkan seketika sebentar tadi.  Setelah menunaikan solat isyak berjemaah, suamiku menyambung semula tugasnya yang belum selesai lalu aku membawa diri menikmati angin malam yang indah di laman kecil kami.

            Aku mula bercerita tentang perbualan aku dan anak-anak kecil di tadika pagi tadi.  Bercerita tentang penerimaan mereka, tentang keletah mereka dan pastinya tentang rasa hatiku yang terlalu gembira dengan setiap pengisian yang aku berikan.  Terdambar sinar kagum di wajah suamiku mendengarnya, lalu tanganku diraih lembut.

“Sayang pernah bertanya pada abang, kenapa abang pilih sayang sebagai suri hidup abang.  Ingat tak?”  Aku hanya mengangguk dan masih aku ingat pada persoalan yang pernah aku lontarkan pada malam pertama perkahwinan kami setahun nan lalu.  Namun persoalan itu tidak pernah berjawab.

“Malam ini abang jawab soalan sayang tu.  Abang tertarik pada sayang kerana sayang rajin berpuasa.  Orang yang berpuasa sunat dan mencari keredhaan Allah untuk diri sendiri dan ibu bapanya adalah amat tinggi darjatnya.  Tidak rugi disunting menjadi isteri kerana setiap amalan isteri yang soleh itu, maka suami juga akan mendapat ganjarannya.  Abang percaya, abang adalah orang yang terpilih yang Allah berikan peluang untuk mendapat seorang isteri sebaik sayang.”

            Betapa aku terpaku mendengar jawapan tulus yang lahir daripada seorang suami yang aku hormati.  Ajaibnya Ya Allah, terlalu kecil ibadahku kepadaMu, tetapi terlalu besar ganjaran yang Kau berikan untukku.  Terima kasih Allah, kerana menjadikan aku seorang aku yang terlalu menyangiMu.  Moga hidup kami sentiasa di bawah restuMu.   Amin.

**************************************

Terima kasih sudi singgah di sini, maaf untuk segala kekurangan lebih-lebih lagi typo error.. mengejar masa sehingga tidak sempat untuk melakukan segalanya.. terima kasih daun keladi, kalau sudi singgahlah lagi..

Salam kasih sayang
~Kak Yus ~

Segment Ilmu : Kata Sendi Nama -- Dari & Daripada




Assalamualaikum dan salam pagi Selasa untuk semua sayang-sayang Kak Yus.  Pertamanya, terima kasih kerana telah sudi mengikuti perjalanan blog Kak Yus ini dari masa ke semasa.  Terima kasih juga untuk kesabaran menanti setiap ‘entry’ yang sememangnya seperti siput yang sedang bergerak, menyusur denai dan semak untuk sampai ke destinasi.  Begitulah Kak Yus, masa membataskan perjalanan aktiviti seharian.

Panjang pula mukadimah pagi ni.  Baiklah, hari ini dalam perkongsian ilmu kita kali ini, Kak Yus akan membicarakan mengenai satu lagi Kata Sendi Nama yang sering menjadi masalah dalam penulisan kita iaitu penggunaan perkataan;

DARI    dan    DARIPADA

Kalau dilihat daripada mata kasar, tidak adalah jauh perbezaan kedua-dua perkataan tersebut.  Tetapi, jika dilihat daripada sudut dan aspek bahasa, memang ketara perbezaan penggunaan kedua-duanya.


DARI

Kata Sendi Nama dari digunakan untuk menyatakan Arah yang dituju, Tempat yang dituju dan Masa serta waktu.   Formula mudah :  ATM – Arah, Tempat, Masa.


Contoh:

1.    Azzalea berasal dari Pahang tetapi telah lama bermastautin di Sabak Bernam. (Tempat)

2.    Nurul Nadiah mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai ke sini dari situ.  (Arah)

3.    Rupa-rupanya, budak itu telah lama menanti kehadiran kami dari pagi lagi. (Masa)


DARIPADA

Kata Sendi Nama daripada digunakan untuk menunjukkan asal atau punca kejadian, membuat perbandingan dan orang/kata nama.

Contoh:

1.    Fayyad boleh dikategorikan sebagai anak yang lebih baik daripada abang-abangnya. (perbandingan)

2.    Hasil pameran itu telah dibuat daripada bahan buangan. (asal kejadian)

3.    Kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu bas tersebut yang telah mengantuk sewaktu memandu.  (punca kejadian)

4.    Nora menerima sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya itu daripada kakaknya. (orang)


Hmmm,  agak-agaknya boleh tak faham huraian ringkas Kak Yus kali ini?  Moga sedikit penerangan ini dapat membantu kita dalam penulisan dan penghasilan karya yang baik daripada aspek tatabahasa. 

Andainya terdapat kesilapan dalam huraian ini, sila-silalah tegur Kak Yus ye. 
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu datangnya daripada Kak Yus sendiri.  Selamat berpuasa dan Ramadhan Al-Mubarak untuk semua...

Salam penuh kasih sayang..
~ Kak Yus ~

Saturday 21 July 2012

NOVEL BIAR CINTA BERTABURAN PERCUMA..???


Salam untuk sayang2 Kak Yus ….

Seperti yang kita semua sedia maklum (ahakss.. terasa cam wat syarahan lak..hik3), Ayesha & Emeer akan bersama kita tidak lama lagi.   InsyaAllah, awal bulan Ogos sudah boleh mula mendapatkan Biar Cinta Bertaburan kita tu di kedai-kedai buku.  Mungkin di bandar2 besar cepat sikit kot, di pekan2 kecil ambil masa agaknya.. 

Bagi sayang2 yang selalu on9, boleh je beli terus daripada KakiNovel  dengan harga RM19  (SM)/RM22 (S/S) senaskah.  Untuk yang telah menjadi ahli KN, harga hanya RM15 (SM)/ RM18 (S/S)  senaskah.  Kalau mahukan cenderahati, boleh order direct dengan Kak Yus.


Inilah keychain & Sticker specially design utk sayang2 yg order BCB direct dgn Kak Yus..


Hmmm.. itu cenderahati.. ini pula satu lagi peluang untuk dapatkan Novel BCB secara percuma bersama cenderahati dan hadiah2 lain (hadiah Kak Yus belum putuskan ye, sedang mencari sesuatu yang special untuk diberi bersama novel2 tu..).  Caranya, jom join KUIZ MONOLOG EMEER & AYESHA..

Kuiz ini memerlukan sayang2 menjadi ahli group Biar Jemari Berbicara di FB, kemudian cipta monolog antara Emeer dan Ayesha.  Monolog tak kisah nak panjang mana pun tapi janganlah pula buat satu cerpen @ enovel lak..hehehe……Ok.. ni contohnya ye:



Hah.. dah dapat idea nak buat camner??  Lepas buat tu post kat group BJB (FB).  Cuba dapatkan rakan2 untuk 'like' penyertaan yang dibuat, lagi ramai lagi bagus cos 'like' tu membawa 40% drp markah keseluruhan.  Penyertaan dinilai daripada kreativiti dan persembahan..  panel juri adalah rahsia..hahaha..  


Okey.. syarat2 semua ada kat gambar atas ni ye.. boleh usyar2 dulu... 

Seterusnya......................................

 Pemandangan bahagian depan...


bahagian belakang..

Err.. okey tak t-shirt ni?  Yang atas tu bahagian depan, yg bawah pula bahagian belakang.. ini dalam perancangan dan dalam proses printing utk first batch .. mungkin t-shirt ini juga boleh jadi milik sayang2 dengan menyertai KUIZ MONOLOG BCB..

InsyaAllah, kalau t-shirt ni ok, Kak Yus akan buka order untuk sayang2 dah telah bertanya pada Kak Yus.  Yang berminat pun boleh order kalau nak..

Hmmm.. dah panjang membebel ni.. apa pun .. selamat berjaya untuk yang ingin mencuba join kuiz tu.  

Lots of luv
~Kak Yus ~










Tuesday 17 July 2012

Biar Cinta Bertaburan

Salam sayang2 Kak Yus..


Debaran dalam menanti akhirnya terlerai hari ini.  Nak senyum pun salah, nak nangis pun salah, nak buat apa2 pun rasa serba salah.. pasalnya .. tengok mende ni..




Syukur kak Yus akhirnya BCB akan bertemu dengan semua pd penghujung bulan ini.. Pihak Penerbitan Kaki Novel akan membuka order on9 tidak lama lagi.  Bagi ahli2 KN, bolehlah tunggu ye kalau sudi.. 


Dalam menyiapkan BCB ini, macam2 yang bermain di minda Kak Yus.. risau jika ia tak dapat diterima oleh masyarakat sedangkan niat Kak Yus ingin berkongsi cerita, berkongsi kisah dan pengalaman (walau pun tak semuanya benar2 berlaku .. tp still yang indah2 dalam hidup Kak Yus, diabadikan di sini).  Sebahagian daripada jiwa dah diri Kak Yus terlakar di atas helaian kertas2 ini.


Ribuan terima kasih Kak Yus ucapkan untuk sayang2 kak Yus yang sudi menyokong Kak Yus daripada awal sehinggalah hari ini.. Jasa, masa dan kesudian sayang2 semua tak terbalas dek Kak Yus.


Bagi sayang2 yang nak order direct drp Kak Yus, bolehlah PM Kak Yus di fb (Yusnida Tajudin) @ email Kak Yus di ayeshatajudin@gmail.com.


Ni dua mender ni buah tangan Kak Yus utk mereka yang sudi order dgn Kak Yus;

Keychain BCB



Sticker Biar Jemari Berbicara Group






Terima kasih daun keladi .. sudi2lah singgah di sini lagi...


** harga novel akan kak yus beritahu kelak apabila sayang2 order.


Lots of luv
~ Kak Yus ~

 

Blog Template by YummyLolly.com