Wednesday 4 July 2012

Sengketa Cinta ~ 6


Sekembali daripada Cherating, semakin banyak kerja yang perlu disiapkan.  Aturcara program dan urusan dengan pihak jabatan juga perlu diselesaikan dengan segera.  Mujurlah pihak jabatan tidak cerewet kali ini, semuanya berjalan lancar.  Dana pun telah disalurkan ke dalam akaun Persatuan lebih awal daripada yang dijangkakan.  Pihak Jabatan Penerangan juga sudi menghantar wakil mereka sebagai motivator dan penasihat dalam sesi yang dimasukkan sepanjang acara program berlangsung.  Malah Group Personal Insurans juga sudah diuruskan dengan Zarina, staf di bahagian pemasaran syarikat untuk perlindungan peserta program.  Wah, jangan ingat buat sesuatu program tu sesenang dan semudah yang disangka.  Banyak proses dan prosedur yang harus diikuti, salah satu daripadanya insurans.  Betapa pentingnya ada perlindungan insurans untuk setiap peserta.  Jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada perlindungan yang boleh cover semua kos yang berkaitan.  Mudah-mudahan tiada sebarang musibah melanda program mereka nanti.

            Pihak Jabatan Penerangan juga bermurah hati dengan menaja sebuah bas untuk mereka.  Sekurang-kurangnya sebuah bas sudah mencukupi untuk peserta program dan ahli jawatankuasa boleh sahaja carpool ke sana.  Berita baik itu segera disampaikan kepada Dirah kerana urusan berkaitan pengangkutan semua diuruskan oleh Dirah dan adhoc kebajikan.  Seronok sebenarnya bila aktif berpesatuan ni, macam-macam pengalaman dapat ditimba.

            Peristiwa manis di Kemaman sewaktu lawatan tempoh hari menjadi nadi bagi menjalani kehidupannya seharian.  Setiap hari Azzalea akan menanti panggilan daripada Fayyad biarpun sesibuk mana sekali pun dia, panggilan itu memang dinanti.  Memang dah angau agaknya, sepanjang waktu asyik teringat-ingatkan wajah tampan lelaki itu.  Huh, kadang-kadang tengok dinding pun boleh ternampak-nampak wajah Fayyad.  Hadoii, gila bayang kot!  Fayyad juga semenjak pulang dari Kemaman, semakin mesra dan murah dengan pengucapan sayang.  Semakin kerap mereka keluar bersama, sehingga En. Eshan pun dah menggelarkan mereka belangkas.  Belangkas pun belangkaslah, yang penting cinta harus disulam.  Fayyad pula semakin hari semakin rajin mengirim jambangan bunga kepadanya.  Sudah tak tahu kat mana lagi hendak diletakkan bunga-bungaan itu.  Dirah pun sudah tersenyum manja je melihat jambangan bunga yang memenuhi ruang tamu mereka.  Iyalah, tak payah susah-susah nak hiaskan rumah dengan bunga, dah dapat bunga free dah tentulah save budget.
           
            Kadang-kadang membebel juga Azzalea dengan sikap boros Fayyad tu.  Bukan dia tidak suka tetapi kalau sudah hampir setiap hari mendapat kiriman bunga, kadangkala coklat dan teddybear, mahu pening juga melayannya.  Namun, bebelan Azzalea mudah sahaja ditepis dek Fayyad.

“Saya sayang awak, tak salah saya berikan apa yang awak suka, tak salah saya gembirakan hati awak dan saya akan lakukannya selagi saya mampu.”  Kata-kata itu tak dapat disangkal lagi oleh Azzalea.  Tak dapat dilawan.  Fayyad Iskandar, jika putih katanya, maka putihlah.  Jika hitam katanya, maka hitamlah. 
“Suka hati awaklah, duit awak.  Nanti jangan awak ungkit kata saya perabiskan duit awak ye.. ,” sudahnya itulah sahaja yang dapat Azzalea katakan.

“Saya tak akan pernah sesekali pun cakap macam tu, untuk awak apa pun saya sanggup bagi.  Tapi janganlah awak minta bulan bintang, masak saya nak kena sewa roket nak pergi ambil,” seloroh Fayyad.  Hish, ada hati nak buat lawak pula mamat ni.

Begitulah hidup Azzalea, sentiasa disinari sinar kasih sayang dan cinta Fayyad yang tak pernah kurang walau sesaat pun.  Sekali pintu hati telah diketuk, sukar untuk memalingkan wajah daripada empunya jari yang mengetuknya.

******************************


            Suasana di hadapan dewan orang ramai di Kampung Benteng itu riuh rendah dengan suara para belia yang sibuk meletakkan beg masing-masing ke dalam perut bas.  Kelihatan beberapa orang ibu juga turut serta mengiringi pemergian anak-anak mereka.  Ada yang menitiskan air mata, seolah-olah hendak berjalan jauh gayanya.  Sesekali hati Azzalea rasa lucu juga melihatkan adegan itu namun jauh di sudut hati, dia cuba menyelaminya.  Iyalah, hati seorang ibu memang mudah terjentik dengan hal-hal yang berkaitan dengan perpisahan.  Walau pun jarak tidak jauh mana, walau pun tempoh tidak selama mana, tetapi selagi mereka bergelar seorang ibu, sesaat pun terasa bagaikan beribu tahun.  Perlahan langkah Azzalea diatur kemas menuju ke arah kelompok ibu-ibu yang berwajah muram melepaskan anak-anak mereka dalam rela.
“Makcik, jangan risau ye kami akan jaga adik-adik ni kat sana,” pujuk Azzalea cuba memujuk hati mereka biar pun dia tahu kata-katanya itu tak mungkin dapat memadam api kesedihan mereka.

“Bukan sedih apa nak, makcik risau juga anak makcik tu bila jauh-jauh nanti tak dengar cakap orang.  Tak ingat pesan makcik.”  Salah seorang daripada mereka bersuara.  Jelas kedengaran getar kerisauan yang sarat dalam pengucapan itu.

“InsyaAllah makcik, tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku.  Semua aktiviti kami buat di resort tu sahaja.  Kami tak ada buat di luar malah pihak Jabatan Belia dan Jabatan Penerangan pun akan turut sama dalam aktiviti kami ni.  Makcik-makcik jangan risau ye.”  Belas juga Azzalea melihat wajah suram mereka.  Kata-kata apa lagi yang dapat mendamaikan hati para ibu ini.  Seketika Azzalea terfikir, mungkin begini jugalah dirinya kelak apabila bergelar seorang ibu.

“Kalau macam tu makcik harap sangat anak dapat tengok-tengokkan mereka ye,”

“InsyaAllah makcik.  Oh ye, nama saya Azzalea, ni kad nama saya bila-bila makcik nak telefon, makcik boleh telefon.  Iyalah, takut kat sana adik-adiknya sibuk dengan aktiviti, nanti makcik telefon tak berjawab, boleh je makcik telefon saya.”  Kad nama diagih-agihkan kepada para ibu yang masih setia berdiri di situ.  Sudah terlihat senyuman kecil tersungging di bibir mereka.  Mungkin hati mereka sedikit terubat mengenangkan janji Azzalea.

“Iyalah makcik, jangan risau.  Saya kan ada, apa-apa hal makcik boleh calling-calling saya je.  Acik Nah dan Acik Ju bukan tak biasa call saya kan,” sampuk Fayyad yang tiba-tiba sahaja tercegat di belakang Azzalea. 

“Aah lah Fayyad.  Lupa pula Acik yang Fayyad pun ikut.  Itulah daripada tadi tak nampak Fayyad, sibuk ye,” celah Acik Ju dengan senyuman yang semakin melebar.

“Okeylah makcik ye, kami dah nak gerak ni.  Adik-adik saya kat dalam bas tu dah tak sabar-sabar nak bertolak, doakan kami selamat pergi dan selamat balik ye makcik,” ujar Fayyad lalu menghulurkan tangan menyalami para ibu itu.  Azzalea juga menuruti jejak langkah Fayyad.  Pilu hati melihat keramahan hati makcik-makcik itu sedangkan mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.  Kepercayaan mereka yang tergalas di bahu Azzalea akan dipikul dengan penuh amanah dan dedikasi.  Keselamatan adik-adik di dalam bas itu harus diutamakan.

            Setelah bas bergerak, Fayyad terus memecut kereta laju membelah kesunyian pagi lebuh raya.  Sengaja membiarkan bas yang membawa peserta-peserta program mendahului mereka supaya mudah jika terdapat sebarang masalah.  Ahli Jawatan Kuasa yang lainnya telah terlebih dahulu bergerak awal pagi agar mereka dapat berada di sana ketika para peserta tiba nanti.  Kelihatan dua buah lagi kenderaan mengekori mereka.  Dirah pun antara salah seorang penumpang kenderaan tersebut. 

            Dingin pagi menerobos ke ruang udara menggigit kulit halus Azzalea sehingga sesekali Azzalea seakan menggigil kesejukan. 

“Sejuk?”  Hanya anggukan kecil Azzalea yang menjawab soalan Fayyad.

“Hmmm, itulah yang dok pakai shirt lengan pendek pagi-pagi ni buat apa,” bebel Fayyad perlahan.  Risau juga buah hati pengarang jantungnya itu tersentap hati.  Iskhh, padah dibuatnya.

“Tadi ada bawa sweater tapi dah terlipat dalam beglah,”

“Ambil sweater saya ni pakai,” ujar Fayyad lalu sebelah tangannya tergapai-gapai mencapai sweater yang tersangkut di kerusi pemandu.  Memerhatikan keadaan itu, Azzalea cepat-cepat mencapainya, khuatir perbuatan Fayyad itu mengganggu pemanduannya.

“Awak tak nak pakai?”  Iskh, soalan bodoh pula terkeluar daripada mulutnya.  Dah tentulah dia tak nak pakai, kalau tidak takkanlah dia suruh aku pakai, bisik Azzalea kesal.  Kadang-kadang soalan tak berapa nak cerdik asyik laju je melompat daripada mulutnya dan yang pasti bila terjadi, semestilah ketika dia bersama Fayyad.  Nasib kaulah Fayyad, dapat buah hati yang tak berapa nak center, gelak Azzalea sendiri. 

“Hah, termenung pula.  Orang suruh pakai sweater, dia entah dah sampai mana,” sakat Fayyad yang menyedari kesenyapan Azzalea itu.  Memang minah seorang ni suka berangan.  Entahlah, peel orang perempuan kot.

            Cemberut Azzalea disakat sebegitu mengundang tawa halus Fayyad.  Tercuit hati melihat wajah polos gadis di sebelahnya itu.  Cantik walau pun hari ini tanpa secalitkan warna-warna asing menghiasi wajah comel itu.  Sesuai dengan t-shirt merah jambu lengan pendek dan jeans biru yang dikenakan.  Rambut yang diikat longgar itu menampakkan lagi wajah keanak-anakan Azzalea.  Silap hari bulan mesti orang ingat minah ni baru berusia lapan belas tahun.  Hish, kena ikat cepat-cepat ni nanti disambar orang pula.  Bukan boleh kira, detik hati Fayyad. 

“Awak, kalau saya tanya sikit boleh tak?”   Pandangan mata Fayyad terarah kepada Azzalea yang kini telah memusingkan sedikit badannya menghadap Fayyad.  Sengaja Azzalea berbuat demikian agar mudah dia berbual dengan lelaki itu.  Fayyad hanya mengangkat kening.

“Kenapa awak serius dengan budak-budak belia kat kampung tu ye?  Maksud saya, awak dan kampung tu macam susahlah saya nak kaitkan,”  Tu dia, soalan cepumas yang cukup bijak dan cerdik yang telah lama dipendamkan oleh Azzalea kini tersembur juga.  Biarlah mamat ni nak kata kepochi ke apa, yang penting dia hendak tahu juga.  Tak suka perasaan pelik itu melingkari fikirannya terus-terusan.

“Alorhh, itu je ke.  Ingatkan awak nak tanya saya bila saya nak hantar rombongan meminang awak,” balas Fayyad selamba lalu diikuti dengan gelak besarnya.  Sekali lagi wajah Azzalea memerah, menahan geram dengan perangai tiga suku Fayyad.  Hatinya sebal tak terkira.  Entah kenapalah semenjak dua menjak ini Fayyad selalu sangat suka menyakatnya.  Ada-ada sahaja idea di kepalanya untuk memusingkan ayat-ayat atau persoalan yang diajukan Azzalea.  Satu cubitan hinggap di lengan Fayyad yang putih menampakkan kesan kemerah-merahan.

“Ouch! Habislah kena love bit lengan saya ni.”  Usiknya lagi, tetapi kali ini Fayyad terus menyambung kata bimbang akan dikutil lagi. “Okey..okey.. sebenarnya saya berasal dari kampung tu.”

“Iya meh?”

“Iya, tak tipu pun.  Saya dilahir dan dibesarkan di kampung tu untuk beberapa tahun. Datuk Halim tu bukan bapa kandung saya tapi bapa angkat saya.  Dulu arwah ayah saya bekerja dengan Datuk sebagai pemandu peribadi Datuk.  Datuk dan Datin pula dikurniakan seorang anak lelaki tapi umur tak panjang, meninggal dunia kerana kompilasi jantung sewaktu berusia lapan tahun.  Waktu tu saya baru je berumur lima tahun.  Ketika arwah emak saya mengandung anak kedua, emak saya turun darah dan arwah ayah bawa emak ke hospital.  Tapi sayangnya, kereta arwah ayah dilanggar oleh lori yang dipandu laju.  Arwah ayah dan mak tak dapat diselamatkan.  Bermula daripada itulah Datuk Halim menjaga saya seperti anaknya sendiri.  Takkan awak tak perasan nama saya bukan berbinkan Datuk Halim.”  Azzalea menganggukkan kepala.

“Aah, saya perasan juga tapi takut nak tanya.  Iyalahkan, itu hak peribadi awak,” balasnya lembut. 

Sekarang baru dia tahu kenapa Fayyad bersungguh-sungguh cuba membantu para remaja di kampung itu sehinggakan sanggup berhabisan wang membina gelanggang takraw, membaiki dewan orang ramai dan kemudiannya membayar upah jurulatih silat untuk mengajar para remaja yang dianggapnya sebagai adik-adiknya.  Susah hendak mencari orang yang tidak lupa asal usulnya.  Selalunya yang ada bagai kacang lupakan kulit sahaja.  Nak mengaku pun malu apatah lagi hendak berhabisan sebegitu.

*************************

            Perjalanan program yang diatur sungguh lancar dengan komitmen dan kerjasama yang baik daripada para peserta serta pihak Jabatan Penerangan serta Jabatan Belia yang turut menghantar wakil mereka.  Berbagai acara diadakan sehinggakan tidak sedikit pun masa dibazirkan begitu sahaja.  Walau pun padat dengan aturcara yang telah disusun, rata-rata di wajah para peserta kelihatan gembira dan puas hati.  Kredit juga harus diberi kepada resort yang menyediakan penginapan mereka kerana perkhidmatan yang disediakan sangat memuaskan hati malah berlebihan pula rasanya.  Dewan yang digunakan dihias secantiknya oleh pekerja resort walau pun tanpa diminta oleh pihak persatuan.  Kedatangan mereka sangat dialu-alukan di sana.  Azzalea merasa puas dengan apa yang dilihatnya di sana, berbaloilah dengan penat jerihnya berkejar tak tentu masa menyediakan kertas kerja, mendapatkan dana dan kerjasama pihak yang terlibat.  Dia tahu, jika berbuat sesuatu dengan nawaitu dan hati yang ikhlas, memang akan mendapat kepausan yang berlebihan.

            Semua peserta telah dikumpulkan di dalam dewan besar milik resort itu untuk slot motivasi oleh pihak Jabatan Belia.  Seorang pakar motivasi telah dihantar oleh pihak Jabatan Belia untuk sesi malam tersebut.  Memang sengaja mereka meminta slot motivasi itu diadakan pada malam terakhir kerana impaknya lebih berkesan dan akan dikenang lebih lama.  Semua Ahli Jawatan Kuasa juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan itu untuk bersama-sama para peserta mengikuti slot tersebut.  Program malam itu diselia dan diuruskan oleh Biro Kebajikan yang diketuai oleh Dirah.

            Oleh kerana agak terlewat kerana terpaksa menjawab beberapa panggilan telefon daripada Encik Ehsan, Azzalea terpaksa mengambil tempat duduk yang berhampiran dengan pintu belakang.  Itu sahajalah yang kosong pun.  Ceramah yang pada awalnya gamat dengan gelak ketawa bertukar menjadi sayu pada penghujungnya.  Pandai sungguh motivator yang berpengalaman itu tackle pendengar sehingga setiap patah perkataan yang terzahir daripada mulutnya mampu menusuk tangkai hati.  Sudah terdengar esak kecil daripada peserta perempuan dan bukan sekadar mereka, malah Azzalea sendiri pun sudah tidak mampu berada lama di situ.  Air mata yang bertakung di kolam rasa serasa akan gugur bila-bila masa.  Cepat-cepat Azzalea mengangkat punggung lalu meninggalkan dewan senyap-senyap tanpa di sedari oleh sesiapa.  Namun kelibat Azzalea sempat tertangkap dek Fayyad yang sesekali melempar renung ke arahnya.  Iyalah, sehari kalau tak dapat merenung wajah comel tu, memang tak akan lelaplah tidur pun.  Hati Fayyad terdetak, apakah yang membuatkan Azzalea tersentuh sehingga tidak mampu berada di situ.  Fayyad diam-diam juga mengikuti jejak langkah Azzalea meninggalkan dewan lagi pun slot itu bukan di bawah kelolaannya.  Tidak menjadi masalah jika dia tidak turut serta sehingga ke akhir pun.

            Dalam samar malam yang diterangi lampu neon, Fayyad memerhati daripada kejauhan kelibat Azzalea yang duduk di bangku kecil sambil membuang pandang ke dada pantai.  Entah apa agaknya yang menyentuh hati gadis kesayangannya itu.  Fayyad tahu, ada sesuatu yang disimpan rapi oleh gadis itu yang membawa sendu sehingga sanggup bersendirian dalam samar malam itu.  Hati Fayyad juga tersentuh dan perlahan langkah diatur.  Akan disingkap apa yang tersirat dan andai kesedihan yang ditemui, dia sanggup berkongsi rasa dengan gadis itu. 


**************************************************************

Maaf ye sayang2 Kak Yus.. lewat pula update n3.. banyak sangat kekangannya sekarang ni..  kesihatan yg kurang memuaskan (asyik sakit je lately.. mungkin antibodi dah tak kuat kan..almaklumlah, dah semakin tua..) dan pelajaran anak2 yang harus dititikberatkan esp Bella yg nak UPSR dah tak lama lagi.. Kak Yus harap sayang2 Kak Yus terhibur dgn Fayyad n Azzalea .. maaf untuk typo error n segala kekurangan ye.. Luv u ols most..

~ Kak Yus ~

6 comments:

  1. Alahai...kesiannya. Kak Yus jaga kesihatan yer. Yer lah, bila anak nak exam, kita yang runsing kan. Tak per, kami semua setia di sini.

    ReplyDelete
  2. alolololo... shomelnya azzalea.. hehehe

    ReplyDelete
  3. TQ Aziela.. being there utk k.yus.. lebiu so much.

    Ayumi dear ~ ehehehee.. gambar tu mcm budak2 kan..

    ReplyDelete
  4. Moga puan penulis sihat sejahtera dan dapat meneruskan karya...

    ReplyDelete
  5. apa agaknya yg azzalea pendam tu?,hhmm..kak Yus,leh bg ternag ckit x tulisan?poning ckit nak membaca ni..he3x..thks.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih cik Anonymous.. Kak Yus aminkan doa tu.. n terima kasih doakan k.yus ye..

    Alina dear.. dah gelapkan..ok tak.. hmmm pasal Azzalea tu, next n3 kita cerita kay..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com