Tuesday 30 October 2012

Sengketa Cinta ~ 10


           
 Fayyad mengetuk-ngetuk meja tanpa rentak.  Serabut!  Rasa seperti hendak menjerit sahaja meluahkan apa yang terbuku di hati.  Gilalah kau Fayyad, nak menjerit kat office ni.  Nak biar semua orang tahu yang engkau sekarang dalam dilemma. 

            Hendak diluah mati emak, hendak ditelan mati bapa.  Kalau luah tak boleh, telan pun tak boleh, takkan lah nak dikemam sahaja.  Lama-lama kematu juga kalau terus-terusan berkeadaan macam ni. 

“Mama rasa dah sampai masa Ayyad terima cadangan mama tu.  Lagi pun mama memang berkenan sangat dengan anak Datin Seri Maimun tu, baik orangnya, lemah lembut, berbudi bahasa, malah cukup serba segalalah bak kata orang.  Jodoh macam mana lagi yang Fayyad nak cari?”  Kata-kata mama malam tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Ligat berputar-putar seakan roda berpusing yang melekat terus di ingatan. Lebih memedihkan papa juga keras menyokong hasrat mama.  Memang semuanya salah dia sendiri. 

We’ve given you two years to find a wife yourself but until now, you didn’t find even a girl at all.  It’s time for us to fix for you. You’re not getting younger anymore Ayyad, so do us.”

“Mama pun dah bincang hal ni dengan Datin Seri Maimun, insyaAllah, hujung minggu ni kita akan ke sana merisik Nurul Hanina untuk Ayyad. Mama dan Aunt Maimun kamu dah siapkan semua urusan merisik, papa pun dah setuju.  Lagi pun Nina tu baik budaknya. Ayyad pun kenal dia kan, kawan daripada kecil.  Mama dah tak boleh tunggu lagi Ayyad, mama dah semakin tua.  Rumah kita ni sunyi sepi.”  Bagaikan gendang dipalu kata-kata mama bergema di telinganya. 

“Aduh!  Semua ni salah aku, kalau aku cepat-cepat bawa Azzalea jumpa mama dan papa tentu semua ni tak akan jadi macam ni,”  keluh Fayyad. 

Keluhan tinggal sekadar keluhan.  Bukan Fayyad tidak ingat janji yang diberikan kepada mama dan papa sebelum ini cuma dia agak terleka dengan dunia percintaan yang sungguh mengasyikkan.  Dia sepatutnya membawa Azzalea bertemu mama dan papa terlebih dahulu.  Sudah hampir tujuh bulan dia mengenali Azzalea malah telah meluahkan rasa hatinya kepada gadis itu.  Bukan tidak pernah ingin mempertemukan mereka, tapi dia ingin mencari waktu yang sesuai sehingga dia terlupa tempoh yang diberikan oleh mama dan papa sudah jauh meninggalkannya.  Sekarang, semuanya sudah tunggang langgang.

Hatinya ingin sekali membangkang kata-kata mama dan papa malah ingin sahaja dia membawa Azzalae bertemu mereka segera.  Namun, memikirkan akan nama baik dan maruah mereka, dia jadi terkedu. Mama telah memanjangkan niatnya kepada Aunt Maimun, itu yang menjadi masalahnya.  Jika hanya baru berada di dalam perbincangan antara mereka bertiga sahaja masih boleh dipinda.  Mana mungkin dia bisa menghancurkan hati insan yang telah mengutip dirinya yang yatim piatu itu, membesarkannya dengan penuh kasih sayang sehingga mampu berdiri sama tinggi dan setaraf dengan mereka.  Tidak pernah sekali pun keluarga Datuk Halim meletakkan batas pergaulan atau mengungkit kisah-kisah silam antara mereka.  Hadirnya dalam hidup Datuk Halim dan Datin Ezalinda bagaikan sinar yang membawa kebahagiaan untuk mereka.  Hadirnya sebagai pengganti zuriat mereka yang lebih disayangi oleh Ilahi bagaikan menatang minyak yang penuh. 

Apa lagi yang hendak dia lakukan?  Dia sendiri pun sudah kebingungan!


******************************

            Semenjak dua menjak ini, Azzalea terperasan perubahan dalam perhubungan mereka.  Jika selalu, Fayyad akan menghubunginya berkali-kali dalam sehari namun setelah beberapa minggu pulang dari Cherating, panggilan-panggilan daripada lelaki itu semakin berkurangan.  Sesekali hatinya dijentik rasa pilu yang datang menyapa tanpa sedar.  Apakah sekadar mainan perasaan atau adakah sesuatu yang tersirat tanpa disedarinya.

“Ah, aku yang perasan sorang kot.  Mesti mamat tu sibuk,” bisiknya perlahan memujuk hati sendiri.

            Kadang-kadang penat menanti panggilan daripada Fayyad, dia sendiri menghubungi Fayyad namun ketara sekali, perbualan mereka hambar malah hanya untuk seketika cuma.  Tiada lagi rentetan gelak ketawa dan kata-kata manis bergula yang boleh menyebabkan tidur malam tak lena daripada bibir jejaka itu.

            Tidak mahu diri dihantui dengan perasaan-perasaan aneh yang boleh menyebabkan jiwa kacau, Azzalea menyibukkan diri dengan kerja-kerjanya.  Iskh, time hati dilanda jiwa kacau macam ni lah pulak Encik Eshan nak bercuti lama-lama.  Dua minggu bercuti di Amsterdam bersama anak dan isterinya.  Dengan ketiadaan Encik Eshan maka tidak banyaklah tugas-tugas Azzalea, hanya memantau dan menguruskan rutin hariannya sahaja.

            Baru dua hari Encik Eshan bercuti, sudah tiga buah novel habis dikhatamnya di pejabat.  Sudahnya Azzalea mencari pula majalah-majalah yang bergantungan di kedai Uncle Muthu, pengedar akhbar di sebelah bangunan pejabatnya.  Haru, naik juling mata menghadap aturan huruf-huruf di dada majalah tu.  Jam dinding dikerling sekilas.  Awal lagi kalau nak keluar lunch pun, dah lah seorang pula tu.  Tiba-tiba Azzalea tersenyum.  Ligat jari-jemarinya menekan punat nombor-nombor yang tertera di atas telefon.

“Selamat Pagi,  LHDN, boleh saya bantu,” sambut suara merdu di hujung talian penuh tertib.

“Selamat Pagi, boleh sambungkan saya sambungan 224.”

“Sebentar, saya sambungkan.”

“Terima kasih,” ucap Azzalea lalu menanti dengan sabar panggilannya disambungkan seperti yang diminta.  Mujurlah kali ini penantian Azzalea tidak lama.  Iyalah, kalau berurusan dengan jabatan kerajaan ni kadang-kadang naik hangin juga menanti untuk panggilan dijawab.

“Selamat pagi, Cawangan Pungutan,”

“Selamat pagi, boleh saya bercakap dengan Cik Nur Nadhirah?”

“Iya, saya bercakap.  Boleh saya bantu.”  Alahai, sopan santun sungguh.  Anak siapalah ni. 

Err, macam ni Cik Nur Nadhirah, saya ni buat panggilan wakil anak bujang saya nak minta maaf pasal kejadian hari tu …,”

“Hoi, ko jangan mengada-ngada nak mengayat aku ye.  Ko ingat aku tak tau ke suara ko.  Hampeh punya kawan,” sergah Dirah memotong kata-kata Azzalea.  Terletus tawa antara mereka.

“Apa mimpi ko telefon aku ni?”

Jom lunch dengan aku hari ni, bosanlah.”

“Hai, encik abang kesayangan ko tak ajak lunch ke?”

“Hmmm.. dia sibuk kot.  Dah banyak hari tak call aku, bila aku call pun cakap sekejap je.  Tak mo lah kacau dia.  Jom arr, kau lunch dengan aku hari ni.  Aku belanja nasi beriani Bilal, lepas tu kita usyar handbag kat SOGO jap.  Ada Membercard Day la hari ni.”

“Wei, makcik.. ko ingat ini office bapa angkat aku ke sesenang je nak keluar lunch berjam-jam,” tukas Dirah pantas.  Iyalah, sesuka hati je nak shopping pula kat SOGO.  Entahnya kalau dah menyinggah kat SOGO tu mahu sejam dua bertapa kat situ sedangkan waktu makan hanya satu jam sahaja.

“Alah, ko adjust la ngan member ko kejap.  Katalah ada hal minta time off dua jam ke, macam tak biasa.”

“Okeylah, habis tu nak suruh aku drive ambik ko ke?”

“Tak payah drive la, lambat nak cari parking dah la susah kat situ.  Ko ambil teksi je, terus ambil aku.  Aku bayar la.”

“Yang tu aku suka dengar.  Okey ko tunggu aku kat lobby.”

*************************


            Perjalanan ke Jalan Tunku Abdul Rahman tidaklah seteruk yang disangka.  Selalunya kalau masa makan tengah hari macam ni mesti padat dan sesak lalu lintas lebih-lebih lagi di jalan yang memang terkenal sangat tu.  Walau pun agak tersangkut sedikit dalam kesesakan di hadapan Chow Kit, namun lalu lintas kembali tenang setelah memasuki area Maju Junction. 

“Wei, terjenguk-jenguk makanan tu wat apa?  Pilihlah cepat, kang tak sempat nak menapak ke SOGO,” sergah Azzalea perlahan.  Suara kena control babe, takut nanti kantoi terdengar dek pelanggan-pelanggan lain.  Jatuh nilai saham!

“Aku tengah pilihlah ni, dah terlanjur ko nak belanja bolehlah aku ketuk ko lebih-lebih sikit kan,” selamba jawab Dirah lalu menceduk gulai kari kambing serta mengambil beberapa ketul telur ikan goreng yang sudah semestinya menjadi kegemarannya sejak azali.  Tak banyak pun beza gadis berdua tu, sama spesis je kalau bab makan.  Mesti tak lari daripada gulai kari kambing, telur ikan goreng, ayam tandori dan sambal udang galah.

            Lauk pauk yang dipilih memang tidak mengecewakan.  Restoran Bilal memang terkenal dengan nasi beriani mereka bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur.  Boleh dikatakan setiap hari restoran itu mesti penuh dengan pelanggan yang menjadi penggemar hidangan mereka. 

            Setelah menyelesaikan pembayaran bil makanan, Azzalea dan Dirah bergegas menapak ke arah Pasaraya SOGO yang terletak kira-kira seratus meter sahaja daripada Restoran Bilal.  Sempat lagi mereka menjamu mata seketika di Euromoda yang sudah semestinya terkenal dengan kualiti kain ela yang berjenama dan import.  Kalau leka, mahu juga tersangkut di situ berjam-jam. 

            Suasana di dalam SOGO agak sesak walau pun itu merupakan hari Membercard Day, iaitu hari premier untuk ahli SOGO sahaja.  Memang banyak sungguh duit rakyat Malaysia ni, asal ada sales sahaja, berderu-deru diserangnya.  Ruangan lobi yang selalunya menempatkan barang-barang promosi dipenuhi dengan handbag perlbagai jenama.  Kalau nak kata diskaun, jangan dikira.  Ada yang sehingga lapan puluh peratus potongan yang sudah semestinya memancing mata dan hati para pembeli.  Jangan kata nak datang usyar sahaja, sah-sah satu atau dua barang mesti diangkut pulang.

            Leka dan ralit kedua-dua gadis itu membelek satu persatu barangan yang dipamerkan.  Selesai satu tingkat, mereka beralih ke tingkat yang lain pula.  Inilah masa nak perhabiskan duit.  Alah, sekali dua kala sahaja pun, bukan hari-hari. 

*************************************************************************
Dah agak lama tak updates blog ni, harap n3 SC kali ini dpt menghiburkan.  Maaf untuk segala kekurangan, sudi-sudilah drop komen untuk kak yus ye..

Salam teramat sayang
~ Kak Yus ~

3 comments:

  1. alahai!cian nyer kat azzalea,nape fayyad tak cerita yang sebenar kat azzalea...wat layan tak layan cam tu tak gentle lah bro!!!come on fayyad wake up before u regrats...

    ReplyDelete
  2. Kak Yus...rinduuu dengan akak. How r u..?

    ReplyDelete
  3. Norihan ~ hmm, Fayyad rasa bersalah tu, tak tau nak cakap camner kat Azzalea (this thing really happens sometimes.. bila dlm dilemma, org jd speechless n tak tau nak buat apa) akhirnya, mengecewakan diri sendiri n org yg tersayang..


    Aziela ~ rinduuuuuuuuuu sgt dgn Aziela n semua. Alhamdulillah, semakin pulih drp demam n batuk teruk -- 2 minggu tak boleh tidur, tak boleh makan, tak boleh minum byk, tak boleh hadap PC, -- sgt2 tersiksa jiwa n raga.. dok layan ubat kahak (doc kata flame byk takut effect paru2) sampai naik lemau badan asyik tido je.. InsyaAllah.. kak Yus akan sambung menulis semula bila dah semakin ok ni.. on de way utk Acam lak.. hehehe

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com