Friday 19 April 2013

MENGINTAI BAHAGIA ~~ AkhIrnYa..

Salam sayang-sayang Kak Yus....

Sepuluh jari kak yus susun mohon maaf cos dah lama sungguh tak updates 'sanggar hati' kita ni .. nak kata busy sesangat tu tak la juga, tapi keadaan sekeliling memang banyak menyumbang kepada kegagalan berjejak di sini...

Hari ni, sesaja gatal tangan nak mengkhabarkan, manuskrip Mengintai Bahagia telah pun sampai ke garisan penamat... setelah hampir 2 bulan dok menyerabutkan minda k.yus, menyesakkan nafas utk cari pengakhirannya.. Alhamdulillah... selamat juga akhirnya.  




... hmm.. ni kaver hasil tangan Ayman Heyqal .. yang comel tu, suka plak k.yus tengoknya...



Sikit jer ye...



            “Eii.. awak ni tak ada kerja ke malam-malam ni.  Orang dah nak membuta la,” omel Acam.  Tahu sangat dia suara itu.  Kalau bukan Dzil, siapalah lagi.

            “Itulah, membuta je kerja awak.  Siang malam, nanti besar badan tu baru tahu,” sindir Dzil.  Suka menyakat si Acam ni.  Kalau tak dapat bercakap sehari, rasa macam seminggu.  Menggunung rasa rindu di hati.

            “Kenapa awak nak susah hati pula kalau besar badan saya?  Saya suruh awak dukung ke?” pintas Acam tak puas hati. 

            “Kalau tak suruh pun saya sanggup.”

            Iskh, tak boleh dilayan sangat mamat ni, bisik Acam.  Tapi hatinya gembira dapat mendengar suara lelaki itu.  Ada satu rasa yang sukar ditafsirkan sedang melanda hatinya kita.  Hendak tersenyum pun tidak, hendak menangis pun tidak, tapi yang pasti dia rasa tenang saat itu.

            “Okeylah awak, ada apa telefon orang malam-malam ni.  Cepat sikit, saya nak tidurlah,” gesa Acam.  Bimbang pula terdengar dek ayah.

            “Saja je nak dengar suara awak.  Okeylah, selamat malam sleeping beauty.  Mimpikan saya ye,” lembut suara Dzil kedengaran.



~ ~ ~



Seleranya mati tiba-tiba.  Perut yang lapar terasa penuh walau pun baru tiga sudu bihun yang masuk ke mulutnya.  Bihun yang tadinya terasa enak kini mula tawar.  Bihun yang tadinya terasa lembut kini mula terasa keras dan kesat dek tekaknya.  Air silap laici yang masih berbaki dihirup.  Kemanisannya telah hilang.  Seleranya turut mati bersama rasa yang sedang menular saat itu. Hatinya retak menanti belah.  Ini merupakan kali kedua dia melihat lelaki itu berdua-duaan dengan gadis berbaju biru yang pernah dilihatnya dulu.  Hatinya tiba-tiba ditampar rasa sebak. 

            Mengapa, satu saat kau berikan aku harapan.  Satu saat kau bagaikan memberi aku hatimu tapi dalam satu saat yang lain kau hancurkan semuanya begitu mudah.  Kenapa?  Hati Acam bermain teka-teki sendiri.  Matanya sudah mula berkaca-kaca.  Segera beg sandang yang diletakkan di sebelahnya dicapai.  Acam bangun dan melangkah pergi dengan rasa hancur di hati gadisnya.  Terluka.  Sakit bagaikan tertoreh sembilu.  Beginikah akhirnya?  Atau adakah hanya aku yang berperasaan begini sedangkan dia hanya ingin mempermainkan hati kecilku ini? 


************************

“Manja la ko ni.  Pedas sikit pun tak tahan,” usik Qaid.  Kuew Tiaw Kungfunya sudah tinggal separuh.  Laju gila mamat ni makan.

            “Huh, ni bukan pedas sikit.  Ni dah macam lori cili api tumpah.  Ke ko saja nak kenakan aku ye,” tempelak Acam geram.  Rasa macam berasap je hidung dan telinga menahan pedas.
            “Eh, mana pula.  Aku order je ikut ko suruh.  Agaknya makcik tu ada kebun cili api kot,” bela Qaid.  Seronok bukan kepalang hatinya malam itu dapat melayan Acam.  Menyakat Acam tanpa ada gangguan, memang boleh simpan jadi memori indah ni.

            “Esok kalau aku tak datang, ko jawab dengan bos eh.”

            “Alah, aku ingat ko ganas.  Makan cili sikit dah tak datang kerja.”

            “Yang ganas muka aku, bukan perut aku.”

            Terlerai tawa daripada mereka.  Berpasang mata yang berada di sekeliling turut terarah kepada mereka.  Pelik agaknya, melihat mereka yang ketawa bagai nak rak.  Jangan-jangan dikata orang skru longgar.  Lantaklah!


***************************



            “Kakak pening ni.  Kakak tak tahu nak pilih siapa.” Terluah juga permasalahan yang melanda dirinya selama ini.

            “Lorhh, masalah boyfriend ke,” ujar Puan Radziah lantas tersenyum.

            “Ibu, janganlah senyum.  Orang cakap betul-betul ni, kang orang tak nak cerita dengan ibu baru padan muka orang,” rungut Acam lagi.  Senyuman Puan Radziah tu macam perli pun ada di mata Acam. 

            “Mana ada ibu senyum, hah, tak ada, tak ada,” balas Puan Radziah dengan gaya mengzipkan mulut.  Hadoi, mak siapalah tu!

            Acam merenung tajam Puan Radziah dengan wajah tidak puas hati.  Orang dah lah lemas dengan macam-macam yang hendak difikirkan, lagi nak bagi orang hangin satu badan. Baru sahaja Acam acah-acah hendak bangun, tangannya terasa dipegang dan ditarik lembut.  Berani nak takut! Hehehe.. tawa Acam tapi dalam hati ajelah pun. 

            “Kenapa? Kakak ada masalah dengan Qaid dan Dzil ke?” soal Puan Radziah semula.

            “Hmm.. kakak rasa tersepit la ibu.  Kedua-duanya pun dah mula minta perhatian dan kata putus daripada kakak.  Dzil advance sikit, dia memang ada luahkan sendiri tapi dia tetap bagi masa lah kat kakak untuk berfikir.”

            “Okey, seorang lagi pula?”

            “Qaid pula tak cakap sendiri tapi kakak tahu dia pun tersepit antara nak luahkan atau tak nak.  Tapi mama dan kaklong Qaid dah suruh Qaid approach kakak, yang tu kakak dengar sendiri masa kat rumah kaklong hari tu,” balas Acam lalu menceritakan perbualan antara Puan Sahara dan Kak Long di dapur rumah mereka dahulu.  Setiap satu tidak tertinggal.

            Puan Radziah yang mendengar keluhan hati anaknya tersandar di kerusi.  Tiada lagi riak gurau terpamer di wajahnya.  Memang berat pun masalah yang ditanggung oleh anaknya itu.

            “Kakak, ibu hanya boleh nasihatkan kakak pilihlah yang terbaik.  Nilai kebaikan dan keburukan kedua-duanya.  Kakak kena fikir panjang, jangan fikir untuk hari ini dan esok sahaja tapi fikirkan untuk sepuluh tahun akan datang.”


 ***********************************


Saat mereka bertanya.. ada apa pada dia sehingga dia menjadi sangat istimewa di mataku, saat itu aku tahu, hanya aku yang diberi anugerah untuk menilai segala keindahan ciptaan-Nya pada dia... ~ Dzil.



Antara kita tidak pernah ada sepatah ungkapan yang bisa merantai hati kau dan aku, namun sejauh mana aku berlari, sejauh mana aku sembunyi .. kau juga tetap di hati ini... ~ Acam.




Dari mata turun ke hati, dari hati mengalir ke bibir... mungkin pencarianku selama ini telah kutemui dalam dirimu. Seperti ada sesuatu yang kuat menarikku padamu...~ Qaid.




Apakah kesudahan mereka... siapa yang tersenyum, siapa yang terluka.. dalam laluan Mengintai Bahagia.. ♥



............................

Terima kasih untuk semua yang telah mendoakan kak yus, kita nantikan andai ada jodoh dan rezeki kita dgn Mengintai Bahagia ini, akan dapat kita temui ia nanti dalam sesi cetak... InsyaAllah.


Salam Kasih sayang..

Kak Yus.




2 comments:

  1. alhamdulillah, akhirnya muncul jua versi cetak.. acam, ko tetap cun dimindaku.. dzil, ko balak terhangat kot??!! qaid, jgn risau.. imej ko tetap taiko.. #xsabo.. xsabo..

    ReplyDelete
  2. Amiin......Ya Allah. Best2.... Saya yakin akan menyusul BCB. Tahniah Kak Yus...!

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com