Wednesday 29 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 25


Salam buat semua kesayangan kak yus di sanggarhati yang tak seberapa ni...

OK.. seperti yang kak yus janjikan... hapdet SC untuk semua, apakah semakin mudah perjalanan Fayyad untuk memenangi semula hati Azzalea.. atau semakin menjauh gadis itu?  Selamat membaca, andai sudi.. titiplah sepatah dua kata sbgai semangat n panduan k.yus untuk terus menulis.. maaf utk ketidaksempurnaan ye..

********@@@@@@@@@*********



         Pagi-pagi lagi suasana di hadapan Tadika amat riuh.  Suara kaum wanita saling bertingkah, diselang seli dengan bunyi periuk belanga dan cawan gelas yang berlaga-laga apabila disusun.  Semacam hendak menyambut keraian sahaja lagaknya.  Azzalea yang seawal subuh telah pun berada di halaman tadika membantu Ibu Zai yang bermalam di rumahnya menyediakan juadah pagi.  Tidak ketinggalan kelihatan Umi Ain sibuk menyinsing lengan baju kurungnya sambil mengacau kuah kari ayam yang akan dipadankan dengan roti jalan yang telah siap dijala oleh Amira Hannan dan Ammar. 

            Sengaja Azzalea import umi dan adik-beradiknya datang ke rumah untuk membantu.  Nasib baik juga Azriel memang bercuti, maka memang sangat cantik dan moleklah dia dapat membawa umi dan adik-adik ke Puncak Alam.  Memanglah pihak Datuk Halim telah pun bersetuju untuk sponsor semua perbelanjaan tetapi bagi Azzalea, melampau sangatlah kalau semuanya hendak diserahkan kepada mereka.  Apatah lagi yuran yang dikutip untuk tujuan aktiviti pun masih ada, dan melalui yuran itulah dialirkan kepada budget persiapan makanan itu.  Ibu Zai juga beria-ia tidak mahu menggunakan khidmat caterer katanya jarang sangat berpuas hati dengan servis mereka.  Ibu Zai ni memang cerewet sedikit dalam hal masak-memasak apatah lagi Umi Ain yang sama naik je dengan Ibu Zai.  Elok sangatlah tu.  Sesampai sahaja Umi Ain petang semalam di rumah Azzalea, tak berhenti-henti berbual tentang makanan dan masakan dengan Ibu Zai. 

            Dalam berborak-borak, siap juga beberapa jenis kuih muih pada sebelah malamnya.  Itu pun Azzalea memang tak membantu kerana sibuk menguruskan hal-hal pentadbiran padang, tetamu dan cenderamata.  Pihak Syarikat Lestari Unggul telah awal-awal menghantar hadiah-hadiah dan cenderamata yang ditaja mereka ke tadika yang menjadi pusat pengumpulan semua barangan yang berkaitan dengan aktiviti itu.

            Kain rentang yang bertulis ‘SUKANEKA TADIKA/TASKA PERMATA HATI – GABUNGAN TADIKA PUNCAK ALAM’ telah digantung di beberapa tempat untuk memudahkan ibu bapa dan jemputan hadir ke majlis itu.  Memang telah ditulis oleh Yang Esa, rezeki Azzalea dan Dirah, padang yang digunakan pun hanya berhadapan dengan Taska sahaja.  Kelebihan padang yang luas dan kawasan yang agak teduh membuatkan kedua-duanya amat berpuas hati.  Kerja-kerja memasang kanopi dan meja tetamu telah selesai dilakukan pada hari sebelumnya.  Azriel dan Ammar banyak membantu.  Wan Aidil pula lebih banyak menguruskan hal-hal jemputan dan PA system.

            Jam menunjukkan hampir tujuh pagi dan kelihatan beberapa orang staff Syarikat Lestari Unggul telah tiba dengan membawa peralatan mereka.  Tiga buah meja telah disediakan seperti yang diminta oleh Cik Camilia.  Hari itu, ibu bapa bukan sahaja dapat berseronok dengan anak-anak dalam acara sukaneka, bahkan mereka juga akan mendapat sedikit ilmu daripada staff yang berada di situ.  Penerangan mengenai pelbagai produk insurans dan simpanan alternatif bagi pendidikan anak-anak.

            Ibu bapa pelajar-pelajar juga telah kelihatan di sekitar halaman tadika dan taska membantu kerja-kerja yang masih belum diselesaikan.

            “Lea, makanan mana yang nak kita susun kat depan tu?”  Soal Puan Rosliza, ibu kepada Aedan salah seorang pelajar tadika.  Puan Rosliza dan suami antara ibu bapa pelajar yang terawal tiba untuk membantu.  Memang selalu pun jika ada aktiviti yang dijalankan, mereka tidak lokek kederat bahkan kadang kala juadah juga turut dihulurkan.

            “Laa, awalnya Kak Liza.”  Terkejut sebenarnya disapa Puan Rosliza yang lebih mesra dipanggil Kak Liza.

            “Awal apanya Lea, kalau ikutkan Aedan tadi, pukul enam dah nak datang.  Tak menyabar nak bersukan katanya.”

            “Hehehe.. budak-budak memanglah macam tu kak.”

            “Itulah, daripada malam tadi lagi dah merengek nak tidur dengan baju sukan.  Suka sangat dengan baju sukan dia tu, sampaikan adiknya nak pegang pun tak dibaginya.”  Pecah ketawa Azzalea mendengarnya.  Aedan, baru sahaja berusia empat tahu namun keletahnya cukup menghiburkan.  Kalau di dalam kelas, memang tak menang tangan dan mulut melayan dia seorang. 

            “Hah, Lea takkan pakai macam ni je.  Tak salin baju ke?”  Mata Puan Rosliza tertancap pada t-shirt putih bercorak bunga-bunga kecil dan seluar putih longgar yang disarung Azzalea.

            “Salin kejap lagi kak, tak sempat lagi ni.  Dok sibuk menyusun makanan ni nak bawa ke padang untuk sarapan nanti.”  Lincah tangan Azzalea menyusun bekas-bekas yang telah ditutup dengan plastic wrapper.

            “Okey, biar Kak Liza lah yang tolong bawakan ke padang tu.  Bagi tau akak apa yang nak dibawa, bolehlah Lea pergi bersiap.”

            “Kalau macam tu, Kak Liza tolong bawa roti jala ni, kuih-muih dalam buffet tray yang ni dan yang depan tu.  Nanti Lea panggil adik Lea, si Ammar tu tolong Kak Liza bawa bihun goreng, nasi himpit, kuah kacang dan kari ayam tu ke depan juga.”

            “Hmm, okey.  Yang ni untuk sarapan kan, so akak susun aje kat meja hidangan tu ye.”

            “Ai, ai kak.  Buatlah macam mana pun yang Kak Liza suka.  Lea okey aje.”

            “Dirah mana, tak nampak pun?”

            “Tadi ada je kak kat sini, dah balik rumah siapkan anak gadis dia la tu.  Abang Wan dah sibuk kat padang tu ha,” terang Azzalea sambil tangan masih lincah mencekuh itu dan ini.

            “Dah, dah… Lea pergi balik salin baju.  Biar akak yang uruskan ni.”  Menghalau pun ada bunyi nada suara Puan Rosliza, tapi memang nak suruh Azzalea balik pun.  Kalau tak dihalang dah tentu tak sempat hendak menyalin pakaian. 

            Selesai memberi beberapa pesanan, Azzalea melangkah laju kembali ke rumahnya untuk bersiap.  Iyalah, dah tadi Ibu Zai sound, umi pun dah sound, ni Puan Rosliza pun dah sound juga tentang penampilannya.  Sebelum lebih ramai yang bersungut, baiklah dia segera menyiapkan diri.  Sempat juga dia menjengok ke taska seketika melihatkan kerja-kerja yang sedang dilakukan di situ.  Penyediaan makanan disediakan di tadika, manakala persediaan peralatan dan hadiah semuanya di halaman taska yang betul-betul berhadapan dengan padang besar.  Mudah sikit urusan mereka nanti.  Awal-awal tadi Natasha dan Rizqiyah telah mengangkut kesemua hadiah ke halaman taska.

            Di sekitar jam lapan pagi, suasana di padang besar sudah semakin meriah dengan kehadiran ibu bapa dan jemputan di kalangan penduduk sekitar.  Memang hebat sambutan mereka, malah yang tinggal di fasa satu juga turut hadir memberikan sokongan.  Pihak media pun ada yang turut serta.  Ini sudah tentu diuruskan oleh pihak Syarikat Unggul Lestari. 

            Azzalea dan Dirah serta beberapa orang guru dan pekerja taska yang telah diberi tugasan masing-masing sibuk menjemput tetamu yang hadir bersarapan dengan hidangan yang telah disediakan.  Sebelum ke padang besar itu tadi, sempat Azzalea singgah sebentar ke tadika menjengok Ibu Zai dan umi yang sibuk menanak nasi tomato dan menumis rempah untuk masakan ayam masak merah.  Acar timun telah awal-awal disediakan pada malam semalam.   Tinggal menanti Profesor Khalil dan Puan Saleha sahaja menghantar nasi arab dan kambing lada hitam yang ditempah.  Nampaknya makanan untuk lunch pun tak kurang hebatnya, harap tetamu semua berpuas hatilah nanti.

            “Mia, jangan buat kerja sangat.  Kalau Mia tak nak ke padang, Mia duduk je dengan umi Kak Lea, tak pun duduk jaga hadiah kat taska tu je.  Mia dah tak larat ni,” tegur Azzalea yang terperasan kelibat Mia Zahirah yang ke hulu ke hilir.  Lengan wanita itu diraihnya.

            “Tak apalah Kak Lea, Mia larat je ni.  Bukan buat apa pun.”

            “Hmm, kalau Kak Lea suruh Mia rehat, Mia kena rehat.  Semalam dah seharian decorate kat depan tu, kalau Mia tak sayang badan Mia tak pe, tapi sayang baby kat dalam kandungan tu.  Kan baby, mama baby ni degil tak dengar cakap auntie Lea kan,” tegah Azzalea lagi sambil mengusap perut Mia Zahirah yang semakin jelas kelihatan.  Nak ketawa pun ada apabila mendengar adu Azzalea kepada baby yang tidak tahu apa pun.  Ada aje Kak Lea ni, hish.

            Langkah disusun kemas menuju ke padang yang sudah semakin sesak.  Kelihatan anak-anak yang akan mengambil bahagian telah berada dalam kumpulan masing-masing.  Riuh sekali menghadap sarapan mereka sambil berbual-bual mesra.  Ada di kalangan mereka tidak pernah pun bertemu kerana sukaneka kali ini digabung dengan beberapa buah tadika dan taska yang sudi mengambil bahagian.  Memang betullah, kanak-kanak adalah insan yang paling cepat membuat kawan.  Mereka tak pandang rupa paras, asal boleh berborak, laju sahaja.

            Kesempatan itu diambil Azzalea untuk berbual-bual dengan pemilik dan tenaga pengajar daripada tadika dan taska lain yang turut mengambil bahagian.  Bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini.  Rata-rata menzahirkan rasa kagum dengan keberanian dan kesanggupan Azzalea menganjurkan aktiviti itu.  Iyalah, bukan mudah untuk menguruskan sesuatu program yang agak besar.  Namun Azzalea tetap merendah diri, kerana baginya tanpa sokongan Dirah dan semua yang terlibat, tak mungkin akan tercapai hasrat itu.

**********   

            Setelah mendapatkan tempat parkir yang agak sedikit jauh daripada kawasan padang, cepat-cepat Fayyad melangkah menuju ke arah khemah yang telah mula dibanjiri tetamu.  Walaupun jam di tangan baru menunjukkan angka lapan lima belas minit pagi, tapi Fayyad risau juga kalau-kalau dia terlewat.  Hajat di hati ingin sampai lebih awal agar boleh membantu mana yang patut.  Dari jauh kelihatan kelibat Emeer dan Wan Aidil yang sibuk di bawah khemah pengacara.  Senyuman terukir di wajah tatkala mata tersapa kelibat dua anak kecil yang bergayut di kaki kedua-dua lelaki itu.  Memang ayah mithalilah Emeer dan Wan Aidil ni. 

            “Wooo, lambat sampai bro.  Mana aci, patutnya malam tadi dah berkampung kat sini,” sapa Emeer menepuk bahu Fayyad apabila kehadiran Fayyad disedari.

            “Eleh, orang yang bercakap tu pun apa kurangnya.  Baru je setengah jam sampai.  Patut malam tadi semua berkampung kat sini, baru adil,” celah Wan Aidil tidak puas hati.  Mengata dulang paku serpih!

            Emeer yang disindir terkulat-kulat tersengih.  Aqyem yang masih berlilit di kakinya diangkat lalu didukung.  Mengekek anak kecil itu apabila digeletek Fayyad yang memang suka benar mengusik.  Iman Yasmin yang turut berdiri di sisi papanya menghulurkan tangan menyalami Fayyad.  Anak yang bijak dan dididik dengan baik.

            “Uncle baru sampai ye, dah jumpa ummi Iman?”  Soal anak kecil itu petah.

            “Belum sayang, uncle belum jumpa lagi.  Nanti Iman la tolong tunjukkan uncle ummi Iman tu kat mana.”  Sejurus itu juga, mulut Iman Yasmin memuncung selari dengan jari telunjuk yang dihalakan ke arah deretan bangku yang terletak di bawah kanopi bersebelahan dengan meja hidangan.  Fayyad mengangkat wajah lalu menyorot arah yang dihalakan.


            Wajah Fayyad berubah rona.  Matanya mengecil melihatkan gadis bertudung cream dan berbaju oren yang sedang mesra berbual dengan lelaki bertopi putih itu.  Memang dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini.  Hatinya ditampar rasa cemburu. Hangat.  Wajah yang tadinya ceria telah terpalit dengan warna-warna suram.  Siapakah lelaki yang telah membangkitkan api cemburu di dadanya.  Lebih menyakitkan melihat kemesraan mereka berdua. 

            Tingkah lelaki itu yang seperti terlalu bebas benar-benar menyakitkan hatinya.  Berbulu mata tika melihatkan tangan lelaki itu sengaja menguis sesuatu di atas tudung Azzalea.  Berderau hatinya, seakan ada lahar yang akan meletus.  Biarpun Azzalea bukan miliknya yang sah, namun dia tidak mampu menahan sakit hati melihat perlakuan lelaki itu.  Sesaat, dia tertangkap aksi lelaki bertopi putih itu mengelap tumpahan air yang di kasut Azzalea.  Ini sudah lebih, suka suki nak pegang sana, kuis sini.  Paras suhu dah hampir meletus.  Serasa seperti dah berapi-api di dalam.  Cemburunya sudah tidak dapat disangkal lagi.

            Hati Fayyad berperang dengan berbagai persoalan.  Apakah kekosongan di hati Azzalea kita telah diisi oleh penggantinya.  Apakah dia terlewat sehingga tidak lagi mampu menagih kasih Azzalea.  Bukankah selama ini dia dikhabarkan Azzalea masih bersendirian.  Tapi hari ini, matanya tidak dapat ditipu dengan kemesraan itu.  Sakit.  Perasaan sakit yang teramat sedang menjalar di setiap urat dan sarafnya.  Dia tidak sanggup melihat Azzalea diambil pergi.  Memang silapnya dahulu, tapi dia sudah cukup bersedia untuk menebus kembali kesilapannya.

            Fighting! Fighting!  Jangan cepat mengalah Fayyad.  Seakan ada suara kecil yang membisik di telinganya.  Ya, aku tak akan mengalah.  Giginya diketap-ketap geram.

            “Tenung apa tu bro.  Jangan ditenung-tenung, pergilah berkenal-kenalan.”  Tersentak dengan teguran Emeer, Fayyad segera memalingkan wajah.  Ketara sangat ke?

            “Err…”

            “Jom, aku kenalkan,” ujar Emeer lagi lalu mengorak langkah mendahului Fayyad ke arah kanopi itu. 

            Sebenarnya tingkah Fayyad telah lama diperhatikan Emeer.  Sengaja dia mendiamkan diri ingin melihat sejauh mana perasaan lelaki itu.  Memang jelas terpamer riak marah dan cemburu di wajah tampan itu. 

            Kehadiran Emeer di hadapan Azzalea disambut dengan senyuman oleh kedua-duanya.  Namun, senyuman yang cantik terukir di bibir Azzalea seketika tadi hilang apabila menyedari kelibat Fayyad yang menuruti langkah Emeer.  Haish, potong betullah mamat ni.  Baru je nak suka-suka hati, dah dia datang pula.

           
            “Abang Meer dah makan ke?”  Soal Azzalea membiarkan sahaja pandangan Fayyad.  Jelas riak kurang senang di wajah lelaki itu.

            “Dah tadi awal-awal abang dah makan dengan Kak Sha.”

            “Lorh, baru je ingat nak ajak Abang Meer makan sama,”  ujar pula si lelaki bertopi putih yang turut bangun berdiri menyambut kehadiran Emeer dan Fayyad.

“Kak Ya, Kak Dirah panggil.  Datuk Halim dan Datin dah sampai,” jerit seorang gadis yang termengah-mengah berlari mendapatkan Azzalea.  Seraya itu Azzalea terus berpusing dan beredar.

            Tidak sempat hendak diperkenalkan kepada lelaki yang berada di samping Azzalea, mata Fayyad hanya memerhati langkah Azzalea yang beriringan dengan lelaki itu.  Pelik pula, itu pun lelaki tu nak follow.  Tak boleh jadi ni, harus dia ikut sama.  Segera Fayyad melangkah mendahului Emeer yang seronok menjadi pemerhati.  Lepas ni bagi report kat Ayesha tentu seronok ni, bisik Emeer jahat.  Seronok juga kan dera perasaan orang. 

            Di hujung padang, kelihatan Datuk Halim dan Datin Norseha menuju kea rah Azzalea dan Dirah yang telah menanti kehadiran mereka.  Kehadiran Datuk Halim dan Datin Norseha disambut meriah oleh semua hadirin yang memenuhi padang pagi itu.  Semua hadirin telah dimaklumkan akan kehadiran tetamu VIP itu.  Malah kelihatan beberapa orang tetamu turut mengiringi Datuk Halim dan Datin Norseha.  Kedua-dua tetamu kehormat itu dijemput ke khemah VIP yang telah disediakan. 

            “Selamat datang Datuk, Datin,” ucap Azzalea lalu bersalaman dengan Datin Norseha.

            “Inilah Azzalea, yang sebelah tu Dirah.”  Datuk Halim memperkenalkan Azzalea dan Dirah kepada isterinya. 

Senyuman terukir di wajah Datin Norseha.  Memang comel.  Cantik dan lembut sahaja, patutlah anak lelakinya terpikat sehingga tak boleh hendak terima orang lain pun.  Tangan lembut Datin Norseha mengelus lembut pipi Azzalea sehinggakan gadis itu terkesima seketika.  Tidak menyangka tindakan wanita anggun yang berdiri di hadapannya itu akan melakukan sebegitu.

“Datuk, ini Emeer Zafran, merangkap abang ipar Lea.”  Azzalea memperkenalkan Emeer.

“I dah kenal Emeer ni, siapa tak kenal our Best CEO in Insurance industry.  Tak sangka pula berkait dengan Lea ye.”  Datuk Halim dan Emeer saling berdakapan.  Memang Datuk Halim antara ejen rasmi produk syarikat Emeer.  Tak hairanlah jika mereka saling kenal mengenali.  Kecik je dunia ni pun.

“Mana ada ‘the best’nya Datuk, kita orang biasa-biasa aje.”  Seperti biasa, itulah ayat skema Emeer jika dipuji. 

“Ni yang hensem di sebelah Lea ni tak nak kenalkan pada auntie ke?”  Gelaran Datin dibuang jauh demi untuk lebih memesrakan hubungan mereka.

“Oh, hensen la sangat.  Ini Azriel… adik Lea auntie.”  Agak tergagap juga untuk membahasakan auntie dengan Datin Norseha.  Kalau berdatin juga takut dikata tak berbahasa pula.  Orang dah merendahkan darjat mereka, haruslah kita hargainya.  

Wajah Fayyad yang cemberut sebentar tadi terus diterpa rona merah.  Puih! Adik dia rupanya.  Adeh, penat je cemburu bagai sampai tak menang kaki asyik nak mengekor.  Adik dia…. Haish!!!!


            Dari ekor mata Emeer sempat mengerling perubahan wajah Fayyad.  Sakit perut menahan tawa.  Hendak dihamburkan takut pula akan menimbulkan persoalan oleh semua yang ada di situ, tapi memang tak boleh menahan melihat reaksi Fayyad sebaik mengetahui Azriel itu adik Azzalea.  Seakan terlepas daripada hukuman gantung mandatori sahaja lagaknya.  Adehh, teruk betul orang bercinta ni!



PSSTTT...  SUKAKAH ANDA KALAU AZZALEA DERA FAYYAD LAGI ..DAN LAGI.. DAN LAGI.. ATAU ADAKAH ANDA RASA .. AZZALEA PERLU BAGI FAYYAD PELUANG SEKALI LAGI .. JUST BEGITU SAHAJA?? KAK YUS SUKA HENDAK MENDENGAR.. APA KATA ANDA... JOM.. CORAT CORET DI RUANGAN KOMEN YE..

***********************************
SEMOGA TERHIBUR...
SALAM SAYANG SELALU
KAK YUS

Monday 27 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 24

Salam dan selamat tgh hari...

N3 kali ini agak pendek sedikit.. tidak  banyak mengenai Azzalea, tp mungkin ini akan membuatkan semangat Fayyad memenangi semula hati Azzalea semakin membara... maaf ye kalau tidak memuaskan hati.. maaf juga utk ketidaksempurnaan... selamat membaca, semoga terhibur...

******************************************************




           Hampir sejam Datin Norseha menjadi pemerhati gelagat anak bujangnya yang seorang.  Sudah dua tiga kali juga dia keluar masuk ke ruang tamu namun anak bujangnya masuk tersandar di sofa tidak bergerak-gerak.  Tangan memegang akhbar harian tapi mata seperti jauh menembusi dada akhbar.  Bibir pula terkuntum senyuman lebar seolah-olah sudah melayang jauh.  Apa kena agaknya dengan anak bujang yang seorang tu.  Lagak dan gayanya macam orang tengah angau, bercinta semulakah.  Hish, kalau betul biarlah kali ni melekat.

            Punggung dilabuhkan di atas sofa berhadapan dengan Fayyad.  Sekilas, masih lagi menjeling anak bujang itu namun tiada sedikit pun beriak.  Seakan tidak menyedari kehadirannya di situ.

            “Ehem, berita apa agaknya yang seronok sangat tu Ayyad?” 

            “Eh, apa mama?”  Tersentak.  Tak perasan kehadiran mamanya lalu Fayyad membetulkan duduk dan berpura-pura fokus pada pembacaannya.

            “Mama tanya, berita apa yang Ayyad baca sampai tersengih sakan tu?”  Ulang Datin Norseha.

            “Err, err..” Sudahnya tergagap-gagap hendak menjawab soalan Datin Norseha.  Kantoi sudah!

            “Mana tak senyum melebar mamanya, dok teringatkan buah hati pengarang jantungnya la tu,” celah Datuk Halim yang baru sahaja menyertai mereka setelah selesai solat Asar.  Nampaknya hari itu kedua-dua anak dan ayah pulang agak awal ke rumah tidak seperti kebiasaan.  Fayyad pun sudah dua hari bermalam di rumah Datuk Halim.  Selalunya dia lebih selesa tinggal sendirian di kondo yang dibelinya di pinggir bandaraya.

            “Oh, mana you tau dia teringatkan buah hati Bi?”  Datin Norseha seakan tidak percaya kata-kata suaminya. 

            “I dah jumpa tadi, itulah agaknya yang tersengih sampai dalam tidur karang tu.” 

            Kali ini Datin Norseha memang betul-betul berminat untuk mengorek cerita selanjutnya.  Duduknya dikalihkan rapat dengan Datuk Halim yang hanya berkain pelikat. 

            “Serius Bi, you dah jumpa budak tu?  Ceritalah sikit kat I orangnya macam mana.”

            “Macam perempuan lain la juga.  Kalau you tanya muka tu tak adalah versi supermodel, tapi kalau keperibadian yang I nampak dan raut wajah tu memang boleh dibuat menantu,” jawab Datuk Halim bersahaja. 

            Fayyad yang hanya memasang telinga sudah menggelegak hatinya.  Papa dah mula membuka cerita, harus selepas ini mama pula sibuk akan mengorek lebih lanjut.  Selama ini memang dia tidak pernah menceritakan apa-apa tentang Azzalea tapi rasanya kali ini dia harus memperkenalkan gadis itu kepada keluarganya.  Fayyad tidak mahu pisang berbuah dua kali, walau pun kalau diikutkan untunglah pisang berbuah dua kali tu, mana nak cari. 

            Datuk Halim menceritakan tentang pertemuannya dengan Azzalea dan urusan yang melibatkan Tadika/Taska milik Azzalea dan Syarikat Lestari Unggul.  Datin Norseha mendengar dengan tekun dan amat teruja.  Tak sangka suaminya sanggup melakukan semua itu demi menebus kesilapan mereka terhadap anak bujang mereka itu.  Kehilangan Fayyad beberapa tahun yang lalu memberi impak yang besar dalam kehidupan mereka.  Sejak itulah mereka bertekad tidak akan memaksa Fayyad apatah lagi mencampuri hal-hal peribadi Fayyad.  Siapa pun pilihan Fayyad, itulah pilihan mereka juga.

            “Ni buatkan mama nak jumpa sangat dengan Azzalea tu Ayyad, bawalah mama jumpa dia.”

            “Mama, Ayyad ni dalam proses nak tackle semula Lea tu.  Hati dia dah pernah Ayyad kecewakan, bukan mudah nak direbut kembali.  Lea tu kalau boleh, muka Ayyad pun tak mahu dipandangnya,”  luah Fayyad lemah.  Memang itulah kebenarannya.

            “Hmm, iyalah, kalau mama pun memang mama tak nak jumpa lagi orang yang kecewakan mama.  Hati mana yang tak sakit bila dikecewakan.  Kesian anak mama, tapi mama tahu Ayyad mesti kuatkan.  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih orang kata.  Kita sama-sama usaha, mama backup Ayyad tiga ratus percent.”

            “Hamboi, you pula yang terlebih semangat,” celah Datuk Halim menepuk paha isterinya.  Tersungging senyuman di wajah mereka.

            “Anak I punya pasal, mestilah.”

            Perbualan hangat mereka terhenti apabila Kak Ton, pembantu rumah mereka tiba dengan sedulang makanan untuk minum petang.  Cawan dan piring disusun rapi di atas meja.  Kak Ton yang telah berkhidmat lebih daripada dua puluh tahun di rumah agam itu sangat memahami fiil Datin Norseha yang agak cerewet.  Kemas dan kemas.  Jangan nak berselerak sana sini, sehinggakan hidangan di atas meja pun mesti teratur.  Iyalah, orang belum ada cucu.  Kalau dah bercucu nanti tahulah kena pejamkan mata dengan keletah cucu-cucu.

            “Lim, Seha, Yad, jom minum petang dulu,” panggil Kak Ton yang sedari dulu memang membiasakan panggilan nama sahaja. 

            “Hmm.. perut saya pun dah berbunyi-bunyi ni Kak Ton.  Lagi pun teringin nak makan puding karemel yang saya bawa balik tadi.”  Datuk Halim segera bangkit lalu menuju ke meja makan.

            “Bi, bila you bawa balik puding?”  Terus Datin Norseha juga turut mengikut langkah suaminya ke meja makan.  Sesuatu yang asing baginya, mana pernah suaminya itu bawa balik makanan ke rumah.  Kalau pergi makan kat luar adalah.

            “Kan tadi I pergi jumpa Lea tu, helper Lea kat Tadika tu rajin memasak, masa kitorang sampai tadi dia tengah kukus kuih talam ubi.  Dapatlah kitorang merasa, memang sedap betul.  Puding ni dia buat untuk Lea, tapi diberinya sebagai bekalan untuk kita.”  Datuk Halim sudah pun mengambil tempat duduk dan segera hidangan di hadapannya dijamah.  Memang sedap, terasa lengkap segalanya.  Memang dipuji sungguh kehandalan Ibu Zai ni memasak.

            “Err.. siapa nama helper Lea tu ye Yad?” soal Datuk Halim cuba mengingati nama Ibu Zai.

            “Ibu Zai, papa.”

            “Hmm.. Kak Ton, rasalah ni.  Memang sedap dia masak Kak Ton, nanti bolehlah Kak Ton masak macam ni ye.  Tak pun nanti saya minta Lea bawa Ibu Zai datang sini bila-bila.” 

            Melihatkan Datuk Halim yang berselera sungguh menghadap puding yang telah dua kali bersalin ke piringnya, Datin Nurseha juga tidak mahu mengalah.  Hatinya memuji keenakan masakan Ibu Zai itu.  Kak Ton juga turut dihulurkan sepiring.  Bukanlah Kak Ton tidak pandai memasak, tapi bab-bab kuih muih ni Kak Ton agak jarang sedikit memasaknya.  Lagi pun tak banyak masa nak mempraktikkan di rumah itu, iyalah, bukan ada sesiapa yang nak makan sangat pun.  Sesekali kalau ada tetamu sahaja barulah sibuk nak masak beraneka macam.

            “Hmm.. sedapkan Kak Ton,” usik Fayyad sambil mencucuk pinggan Kak Ton yang duduk di sebelahnya.

            “Oh kau, cantik tak Kak Ton…”

            Apa lagi berderailah tawa ketiga-tiga beranak tu mendengar latah Kak Ton.  Hampir tersembur makanan yang berada di dalam mulut Datin Norseha.  Lengan
Fayyad dicubitnya perlahan, geram dengan perangai anak lelaki yang seorang ni.  Tak ada kerja, nak mengacau Kak Ton je.  Kesian pula tengok Kak Ton yang terlatah-latah diusik sebegitu. 
            “Mak Ton cantik,” usik Fayyad lagi.

            “Hish kamu ni Ayyad, dah melalut Mak Ton ni,” bebel Mak Ton geram.  Namun Kak Ton gembira kerana rumah besar itu kembali ceria dengan kepulangan Fayyad.

Kak Ton ni pun bukan orang lain dengan Datin Norseha, saudara mara juga.  Bau-bau kuini orang kata.  Sejak arwah suaminya meninggal dalam kemalangan di kilang papan tempatnya bekerja, Kak Ton membawa diri dan bekerja di rumah agam itu.  Dia tidak mahu kenangan pahit kehilangan suami yang dicintainya menghantuinya saban hari.  Datin Norseha mengajaknya tinggal bersama di rumah itu namun Kak Ton menolak melainkan jika dia dibenarkan bekerja untuk mereka.  Pada awalnya Datin Norseha menawarkan Kak Ton kerja di Syarikat Lestari Unggul, sebagai pembantu am, bolehlah tolong-tolong itu dah ini.  Iyalah, pendidikan tak tinggi mana kalau diberi jawatan yang penting nanti takut tak mampu pula dilaksanakan. 

Namun Kak Ton menolak mentah-mentah tawaran Datin Norseha yang ketika itu masih belum mendapat gelaran Datin lagi.  Malah Kak Ton memohon agar dia diberikan kerja sebagai pembantu rumah sahaja.  Alasan Kak Ton, dia tak sanggup meninggalkan dua orang anaknya yang baru meningkat remaja.  Alhamdulillah, kini kedua-duanya telah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai kerjaya yang baik.  Kak Ton pula sudah terlalu selesa di rumah itu sehingga dia pernah berkata, biarlah dia pejamkan mata di situ. 

Fayyad tersenyum sendirian tatkala melihat reaksi mama dan papanya yang seolah-olah menerima pilihan hatinya kini.  Reaksi positif papa dan komen papa tentang Azzalea sewaktu pulang selepas pertemuan mereka tadi pun nampak seperti Azzalea sudah mula mendapat tempat di hati papanya itu.  Rasanya mungkin dengan cara sponsorship ini juga dapat membantu Fayyad memenangi semula hati Azzalea walaupun dia tahu ia bukan satu jalan yang mudah.

            “Dah tak payah nak senyum-senyum, nanti bawa mama jumpa gadis idaman hati jejaka idaman Malaya mama ni,” usik Datin Norseha yang sedari tadi hanya memerhatikan Fayyad.

            Tersipu apabila perlakuannya menjadi perhatian, sengihan semakin melebar.  Kepala yang tidak gatal digaru-garu.

            “Hmm, kalau mama nak join aktiviti sukaneka tadika tu nanti, bolehlah Fayyad bawa mama sama.”

            “Wah, itu dah bagus tu.  Mama pun dah lama tak join aktiviti-aktiviti luar macam ni.  Asyik sibuk dengan aktiviti persatuan je, nak juga mama sama-sama berpanas tengok riuh budak-budak kecil.  Nak harapkan cucu, entah bila la tu.” 

            “Mama doakan Ayyad banyak-banyak.  Doa seorang ibukan dimakbulkan Allah,” bisik Fayyad perlahan.


            Datin Norseha menggangguk perlahan.  Dia amat faham perasaan anaknya itu.  Walaupun dia bukan ibu kandung Fayyad, tapi dia percaya Allah tak akan meminggirkan doa yang dipanjatkan untuk anaknya itu setiap waktu.  Setiap amalan yang dilakukannya, diiringi doa agar andai ada pahala untuk setiap amalan itu dititipkan untuk kebahagiaan anaknya yang seorang.  Kasih sayang Datin Norseha tumpah sepenuhnya untuk Fayyad Iskandar, walaupun bukan darah dagingnya tapi anak itulah yang membawa seribu kebahagiaan buat dirinya.  




************************
Salam penuh kasih sayang...

Kak Yus..

Monday 20 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 23


            
Assalamualaikum dan selamat pagi...

Jom pagi ni kita bersarapan dengan Azzalea dan Fayyad sekejap.. mungkinkah ini permulaan bagi Fayyad untuk mendapatkan semula tempat di hati Azzalea?? Apakah masih ada ruang di hati gadis itu untuk insan yang pernah merobek hatinya?  Jika kalian di tempat Azzalea, apa yang kalian akan lakukan?  Terima Fayyad?  Tendang Fayyad hidup-hidup? atau Usir Fayyad jauh-jauh daripada hidup kalian?  Ce cerita sikit kat ruangan komen kat bawah tu.. mana tau kot2 boleh bagi Kak Yus idea kan... >__*

Ok, selamat membaca... semoga terhibur dengan n3 ni dan mohon k.yus kemaafan atas ketidaksempurnaan ye...




            Langkah dipercepatkan menuju ke Taska.  Dah tiga empat kali si Dirah tu dok mesej ke handphonenya suruh datang cepat ke Taska.  Katanya funder nak datang jengok-jengok Taska dan Tadika hari ni.  Iskh, kalau nak datang pun datanglah petang-petang sikit, tak adalah orang nak kelam kabut bagai.  Dah tu suka suki je tak nak buat appointment.  Haish, nak merungut pun tak boleh juga sebab dah memang hendakkan sangat bantuan insan yang pemurah tu.  Kalau tidak mana lagi nak diredah mencari sponsors bagi semua aktiviti Tadika dan Taska.  Kalau setakat duit yuran yang dibayar oleh ibu bapa tu, tak besar dan banyak mana pun dapat dilakukan aktiviti untuk anak-anak kecil tu.  Kalau boleh, Azzalea mahu melihat anak-anak di bawah peliharaan dan didikannya gembira bersamanya.  Biarlah penat sedikit tapi hati puas dengan keriangan di wajah anak-anak kecil itu.

            Azzalea disambut oleh Mia, salah seorang pekerja taskanya.  Matanya menyorot pandang pada Mia yang sudah agak sarat.  Masih rajin Mia ni, dah masuk enam bulan usia kandungan pun masih sibuk nak buat kerja-kerja di luar.

            “Mia, kalau tak larat tu tak payah la nak buat.  Duduk kat dalam dengan budak-budak ajelah,” tegur Azzalea melihatkan Mia yang sibuk menyidai kain tuala anak-anak taska yang sudah digunakan.  Memang macam tulah selalunya, kebersihan dan kesihatan anak-anak asuhan mereka diutamakan di situ.

            “Alah, sikit je ni Kak Lea.  Kejap lagi siaplah ni.  Kak Lea tu dah makan ke belum?”

            “Hish, patutnya Kak Lea yang tanya mak buyung, ni dia pula yang tanya Kak Lea.” 

            “Iyalah, orang tahu sangat perangai Kak Lea tu.  Bukannya rajin sangat nak sarapan.  Kat dalam hari ni Kak Dirah masak lasagna, sedap kak.”

            “Hmmm.. apa mimpi makcik tu masak-masak bagai ni.  Tadi Kak Lea dah makan kat Tadika.  Ibu Zai pun siap masak nasi himpit pagi ni, kekenyangan dah Kak Lea sampai tak boleh nak buat kerja.  Gemuk la akak macam ni.”

            “Kak Lea dan perkataan gemuk tu macam tak tally  je kak.  Tak pernah nampak Kak Lea gemuk sikit pun,” sungut Mia.  

           Iyalah, dah berbulan-bulan dia di situ, walaupun makan sedap pun, tak penah nampak Azzalea naik badan.  Agaknya lemak-lemak tu susah nak bertandang kot.  Lainlah Mia, baru enam bulan mengandung dah naik hampir enam kilogram.  Kalau nak cecah sembilan bulan, tak taulah berapa kilo lagi nak naik tu.

            “Dah siap?  Jom kita masuk.” 

Rupa-rupanya Azzalea sengaja menunggu kerja-kerja Mia selesai barulah melangkah masuk ke dalam Taska.  Sememangnya, hati Azzalea amat tersentuh setiap kali melihat Mia Zahirah.  Gadis bertubuh kecil yang semakin mengembang seiring dengan usia kandungannya.  Gadis malang yang perlu dibantu olehnya.

“Wei, lambatlah ko datang,” sergah Dirah yang muncul tiba-tiba.

“Kot ya pun jawablah salam dulu Ah So!” 

“Iyalah, waalaikumussalam.  Ko jelah Leng Loinya, aku semedang Ah So.”  Muncung Dirah sudah hampir sedepa.  Suka suki je nak panggil orang Ah So.  Ala, marah-marah manja je pun.  

Mia Zahirah, Natasha dan Rizqiyah hanya tersenyum melihat gelagat dua orang majikan mereka.  Memang kalau berjumpa tak kering gusi ketawa, ada aje yang digaduhkan.  Gaduh tapi lawak.  Setiap hari bertemu pun masih ada perkara yang hendak digaduhkan.  Ada sahaja topik baru bagi kedua-dua wanita ini.  Tapi bagi pekerja-pekerja Taska itu, kedua-dua wanita yang sedang berbual di hadapan mereka itu sangat dikagumi apatah lagi Azzalea yang sentiasa nampak tenang dan kuat dalam menghadapi karenah ibubapa dan anak-anak asuhan.  Itu belum lagi dengan perangai pekerja-pekerja.

“Yang ko beria-ia suruh aku cepat-cepat datang ke sini tu apahal?  Dah sampai ke funder ko tu?”  Bebel Azzalea tak puas hati. 

Iyalah, tadi kemain lagi beria-ia suruh cepat sehinggakan dia tidak sempat nak berbual-bual dengan pelajar-pelajar di tadikanya.  Selalunya sebelum pulang, pelajar-pelajar tadika akan berkumpul di ruang bawah yang dijadikan ruang untuk makan dan berehat.  Mereka akan mendengar cerita atau pun melakukan aktiviti ringan sebelum pulang.  Azzalea lebih gemar menggunakan waktu itu bertanya tentang pelajaran yang telah mereka pelajari setiap hari.  Daripada sesi itulah Azzalea dapat menilai sejauh mana ilmu yang dititip dalam diserap oleh anak-anak kecil itu.

“Tadi diorang kata dah on the way, lagi lima belas minit sampai la kot,” jawab Dirah bersahaja. 

Tangannya lincah memotong lasagna dan memindahkan kepingan-kepingan tersebut ke dalam pinggan.  Cukuplah untuk hidangan tetamu yang datang bersama kopi tenom yang dibawa pulang oleh suaminya.  Mesti sedap tu.  Rizqiyah pula tadi telah membancuh satu jag air oren untuk dihidangkan sekali, manalah tahu kalau-kalau tetamu tu nanti minta air sejuk.  Tak payah nak bancuh bagai, lagi pun anak-anak transit yang akan pulang nanti memang gemar pun minum air sejuk-sejuk ni.  Cuma kena dipantau sahajalah supaya jangan kerap sangat.

Bunyi hon kereta di hadapan pagar Taska mengundang rasa debar di hati Azzalea.  Wajah Dirah yang tersenyum girang dikerling sekilas.  Amboi, bukan main lagi seronoknya nak jumpa funder.  Entah banyak manalah funder tu nak pamkan duit ke dalam tabung mereka.  Minta-mintanya banyaklah yang dapat disumbangkan kepada mereka.

Natasha yang sedari tadi asyik terjengok-jengok ke luar jendela Taska sudahpun membuka pintu dan mempersilakan tetamu masuk.  Segera tetamu disambut oleh Azzalea dan Dirah.  Huh, bagaikan hendak terkeluar jantung daripada kantungnya apabila terpandang wajah Fayyad yang turut menyertai mereka.  Seorang wanita berambut paras bahu dan seorang lagi lelaki agak sebaya dengan Pak Long Tajudin mengekori langkah Fayyad. 

“Selamat datang Encik Fayyad, Cik…” sambut Dirah ramah.

“Cik Camillia, PR Syarikat Lestari Unggul.”  Wanita itu memperkenalkan diri lalu berjabat salam dengan Azzalea dan Dirah.  Ramah.

“Ini papa I, Datuk Halim.  Papa, ini owner Taska dan Tadika ni, Puan Nadhirah dan Cik Azzalea.”  Fayyad memperkenalkan Datuk Halim kepada Azzalea dan Dirah.  Kedua-dua wanita itu mengangguk tanda hormat. 

“Apa khabar Datuk?  Gembira dapat bertemu Datuk.  Panggil saya Lea je, sahabat baik saya ni Dirah je.”  Azzalea memperkenalkan diri.

Datuk Halim pegun seketika.  Kedua-dua wanita itu menarik minatnya, bukan kerana rupa paras tetapi sikap dan pegangan agama yang cukup baik.  Jarang sekali jika dilihat pada zaman serba canggih ini, wanita-wanita yang berkerjaya tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram apabila menjalankan urusniaga.  Kadang-kadang terpaksa pun ada, tapi kedua-dua wanita di hadapannya ini memang cukup tegas dengan pegangan diri.  Mata Datuk Halim mengerling kepada Azzalea yang sedari tadi hanya tertunduk diam.  Comel.

Ketiga-tiga tetamu dibawa ke bilik tamu yang telah terletak di hujung pejabat.  Memang di Taska itu telah dibina khas sebuah bilik tamu untuk tetamu datang berkunjung.  Kadang-kadang pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bomba juga turut datang membuat pemeriksaan dan di situlah mereka ditempatkan. 

Benci, benci, benci!  Jerit Azzalea namun hanya sekadar di dalam hati sahajalah.  Menyampah dan benci saling berkait apabila melihat senyuman di bibir Fayyad ketika memandang kepadanya.  Malah Datuk Halim pun sesekali bagaikan sengaja meminta dia menerangkan semula apa yang telah dibentangkan oleh Dirah.  Haish, anak beranak sama je.  Menyampah betul!  Lagi mendatangkan rasa sebal di hati apabila digiat oleh Dirah tentang pakaian mereka.  Kebetulan, Azzalea dan Fayyad sama-sama mengenakan tema warna ungu hari itu.  Memang kebetulan yang tak disangkakan.  Lagilah menyampah Azzalea dibuatnya.

Sepanjang perbincangan, Azzalea seboleh-bolehnya memberikan fokus hanya kepada perkara yang dibincangkan.  Semua perasaannya dipinggirkan seketika.

“So Datuk, kita akan sponsor semua perbelanjaan aktiviti sukan ni dan hadiahnya sekalikan?” Soal Cik Camillia meminta pengesahan majikannya.

“Ya, semua kita tanggung.  Even kita boleh setkan satu dana untuk aktiviti-aktiviti lain yang akan diadakan oleh Tadika dan Taska Cik Lea dan Puan Dirah ni,” ujar Datuk Halim sambil membelek-belek kertas cadangan yang disertakan semasa perbincangan.

“Err, Datuk, maaf ye saya bertanya sedikit.  Semua sponsorship ni terlalu banyak sebenarnya.  Apa yang pihak kami dapat lakukan in return?”  Azzalea mengemukakan persoalan yang bermain di benaknya.  Iyalah, takkanlah beri sahaja tanpa ada pulangan. 

“Hmm.. pihak Lestari Unggul tak terfikir pula apa-apa pulangan daripada pihak Cik Lea.”  Fayyad bersuara. 

“Tapi tak seronok pula bagi pihak kami.  Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dapat kami lakukan sebagai balasan budi baik pihak Lestari Unggul.”

“Macam nilah Datuk, Cik Azzalea.  Saya rasa pada hari aktiviti tu nanti mungkin pihak Cik Azzalea boleh bagi kami satu ruang untuk kami buka satu kaunter penerangan tentang produk-produk kami.  Sebenarnya tak ramai ibu bapa yang tahu kepentingan mengambil insurans untuk keluarga dan pendidikan anak-anak.  Saya percaya, mungkin dalam masa aktiviti tu berjalan staff syarikat boleh mendekati ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan sedikit ilmu,” terang Cik Camillia.  Azzalea merenung wanita yang anggun di hadapannya itu dengan rasa kagum.  Bijak sungguh wanita ini.  Kelihatan Datuk Halim juga mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan saranan PRnya.

“Kalau macam tu, kecik tapak tangan, stadium Bukit Jalil tu kami tadahkan,” gurau Dirah diikuti tawa mereka.

Perbincangan berakhir dengan jayanya.  Masing-masing sangat berpuas hati malah hidangan lasagna hasil air tangan Dirah turut dipuji oleh Datuk Halim. 

“Hmm, Lea boleh bawa papa saya melawat Tadika sekejap.  Tadi papa kata nak tengok Tadika.”  Suara Fayyad perlahan di sebelah Azzalea membuatkan jantung gadis itu berdegup kencang.  Mengapa masih ada degup sebegini setiap kali berada di sisi lelaki itu.  Mengapa hati dan jiwanya tak seirama setiap kali bersama lelaki yang dia ingin sangat membencinya.

Azzalea mengangguk dalam terpaksa dan cepat-cepat mendapatkan Datuk Halim dan Cik Camillia.  Tadika dan taska bukannya jauh sangat, hanya dipisahkan oleh sederet pagar kecil.  Iyalah, dah rezeki mereka dapat dua buah rumah berkembar semi-D untuk dijadikan Taska dan Tadika.  Azzalea mempersilakan Datuk Halim dan Cik Camillia memasuki kawasan tadika setelah pintu pagar kecil dibuka.  Ketika itu terdengar kelentung kelentang di bahagian dapur tadika.  Mesti Ibu Zai belum pulang.  Memang selalulah Ibu Zai pulang lewat daripada Tadika, kadang-kadang hampir petang baru pulang.  Katanya seronok buat kerja sorang-sorang. 



Bau harum masakan menusuk-nusuk hidung membuatkan Cik Camillia mengangkat kening.

“Sedapnya bau Cik Lea, daripada mana datang bau ni?”

“Oh, tu mesti Ibu Zai, tukang masak superb kami sedang memasak kat dapur tu.  Yang bunyi kelantang kelentung tadi tu dialah,” terang Azzalea.  Bangga sebenarnya apabila ada yang memuji pekerjanya.  Iyalah, tak secara formal tu dalam samar-samar dikira juga.

Datuk Halim dan Fayyad berjalan-jalan melihat beberapa alatan permainan yang terdapat di halaman Tadika.  Dibelek-beleknya buaian dan set gelonsor yang terdapat di situ.  Kemudian Datuk Halim tersenyum kepada Azzalea yang ralit memerhatikannya.

“Pandai Lea jaga Tadika ni.  Tak rasa nak tambah permainan ni untuk anak-anak murid?”  Pujian dan soalan yang membawa senyuman ke wajah Azzalea.  Alahai, malu seketika apabila terpandang renungan Fayyad yang mati di wajahnya.

“Err, niat tu ada juga Datuk, tapi buat masa ni budget belum mengizinkan.  Lea setkan dulu budget untuk aktiviti-aktiviti tahunan pelajar dan insyaAllah kalau ada rezeki, Lea akan tambah mana-mana yang perlu.”  Rendah diri dan sopan santun.  Itulah penilaian pertama Datuk Halim terhadap Azzalea.

“Jemput masuk Datuk, Cik Camillia, Encik Fayyad..”

Setiap ruang dan bilik diziarahi mereka diikuti dengan penerangan lengkap Azzalea.  Malah, tetamu kehormat itu juga diberi penerangan tentang silibus dan skop pendidikan yang diajar di Tadika itu.  Setiap hasil kerja pelajar yang disimpan dan dipamerkan menjadi santapan mata mereka.  Terpukau dengan hasil kreativi anak-anak sekecil usia empat tahun di situ yang begitu berbakat dan kreatif.  Ibu Zai yang sibuk mengukus kuih talam ubi di dapur turut diperkenalkan kepada tetamu Azzalea. 

“Lea, jemput tetamu Lea rasa kuih talam Ibu yang dah siap ni, tapi panas la sikit,” bisik Ibu Zai menggamit Azzalea.  Sepiring kuih yang telah cantik disusun diunjukkan lalu disambut Azzalea.  Kuih talam diletakkan pula di atas meja kopi di ruang tamu dan seterusnya sedulang minuman menyusul.

“Datuk, Cik Camillia, Encik Fayyad, jemput minum.  Rasa air tangan Ibu Zai, bukan Lea nak masuk bakul angkat sendiri, tapi memang masakan Ibu Zai ni sedap,” jemput Azzalea.

“Oh, baru tadi dijamu lasagna, ni kuih talam pula ye.  Sedapnya.”

“Memang Ibu Zai selalu masak-masak macam ni ke kat sini, Lea?” Soal Datuk Halim lalu memasukkan sepotong kuih talam ke dalam mulutnya.  Sedap.  Memang sedap.  Sepotong lagi dicapai.  Bukan senang nak dapat makanan sesedap ni apatah lagi freshly baked, panas-panas daripada periuk kukus.

“Ibu Zai ni waktu kerjanya sampai jam satu je Datuk, tapi selalu balik lambat kalau nak masak kuih-muih.  Selalunya bila dah masak nanti simpan je dalam peti sejuk.  Esok senang nak siapkan untuk minum pagi pelajar.  Waktu rehat selalunya kami sediakan makanan yang agak berat lagi pun budak-budak memang suka makan kat sini Datuk.  Sampai ada ibu bapa yang datang bagi tahu kami anak-anak mereka nak makan kat Tadika je pagi-pagi, kat rumah tak nak makan.”  Seronok Azzalea bercerita, terpamer di wajahnya kegirangan apabila melihat tetamu menikmati kuih hasil tangan Ibu Zai dengan penuh selera.

“Memang sedap Cik Lea, ini pertama kali saya makan kuih talam ubi ni,” puji Cik Camillia pula.

“Hmm, pasal barang mainan kat luar tu, nanti Lea senaraikan permainan apa yang Lea rasa nak beli kemudian serahkan kepada Fayyad.  Nanti pihak Syarikat akan tengok-tengokkan apa yang dapat kami bantu,” kata Datuk Halim bersandar kekenyangan.  Tiga potong kuih talam dan secawan teh pekat sudah cukup membuatkan perutnya penuh.  Huh, kalau macam ni kena datang sini selalulah dapat makan sedap macam ni.

“Err, tak apalah Datuk.  Lea dah cukup malu dah ni Datuk dah setuju nak sponsor semua aktiviti kami, ni nak tambah lagi dengan macam-macam benda.  Tak payahlah.”  Memang Azzalea berasa agak segan dengan pelawaan Datuk Halim itu.  Tidak mahu nanti dikata orang, sudah diberi betis nak paha pula.

“Tak apa, Lea senaraikan aje.”

Sepanjang perbualan, Fayyad hanya banyak mendiamkan diri.  Sekali sekala sahaja dia menyampuk apabila ditanya oleh Datuk Halim.  Matanya lebih terarah dan terpaku pada wajah Azzalea.  Sehinggalah waktu hendak pulang, matanya masih lagi terlekat pada wajah tenang Azzalea.  Ya Allah, sungguh aku semakin merindui wajah ini!

“Datuk, ini Ibu ada masakkan puding karemel untuk Lea tadi.  Tapi rasanya tak seronok pula Datuk balik tangan kosong, jadi Ibu bekalkan puding ni kepada Datuk.”  Ibu Zai berdiri di hadapan pintu sambil menghulurkan sebekas titipan untuk Datuk Halim.  Segera bekalan disambut Fayyad.

“Laa, tak apalah Ibu, dapat makan kuih tadi pun dah cukup.  Lagi pun Ibu masak untuk Lea  kan.”  Lembut Fayyad membalas kata-kata Ibu Zai.

“Tak apa Encik Fayyad, Lea tu duk kat sini je.  Kejap lagi Ibu kukuskan semula, bukan susah pun.  Yang ni pula untuk Cik Camillia, kuih talam tadi Ibu bekalkan.  Nanti kalau nak datang sini bagi taulah Ibu, boleh Ibu masakkan apa-apa,” celah Ibu Zai turut menghulurkan titipan kepada Cik Camillia.

Azzalea tersenyum melihat tetamu-tetamunya yang saling berpandangan dengan wajah kagum.  Memang inilah Ibu Zai, seorang yang sentiasa menghormati tetamu.  Tidak kira di Tadika atau di rumah sendiri, sentiasa beramah mesra dan menghormati orang lain.  Sifat dan keperibadian Ibu Zai juga banyak membantu Azzalea membina keyakinan dalam dirinya.

Setelah menghantar tetamu-tetamunya sehingga ke pintu pagar ditemani Dirah, Azzalea terus mendapatkan Ibu Zai yang masih sibuk di dapur mengukus semula kuih talam dan puding karemel untuknya.  Pipi wanita tua itu dikucupnya lembut seperti mengucup pipi ibu sendiri.  Segera tubuh kecilnya diraih dan dipeluk erat.

“Semoga rezeki sentiasa berpihak pada Lea,” bisik wanita itu tatkala pelukan dirungkai.

“Ala, kat Dirah tak ada ke?”  Dirah bersuara dengan nada rajuk yang disengajakan.

“Olololo.. dia pun nak juga.  Mari Ibu peluk.  Semoga rezeki Dirah pun melimpah-limpah.  Kalau dah melimpah nanti masukkan sikit dalam periuk Ibu tau,” ucap Ibu Zai diikuti tawa mereka bertiga.




**********************************

Salam Kasih Sayang...
Kak Yus..


 

Blog Template by YummyLolly.com