Tuesday 10 September 2013

Biar Cinta Bertaburan II ~ Ibid 3

            
Assalamualaikum dan selamat pagi buat kesayangan kak yus...

Maaf, maaf dan maaf kerana dah lama sangat tak updates n3 kat sanggar hati kita ni.. kesibukan dan segala makneka yg melanda membuatkan waktu kak yus terbatas amat.  Kak Yus harap n3 kali ni dapat mengubat rindu kesayangan kak yus pada Emeer & Ayesha...

Selamat membaca, semoga terhibur ... 

****************


        Perbincangan panjang di antara Emeer dan beberapa orang pekerja mereka  di dalam bilik mesyuarat yang terletak di tingkat enam di salah satu bangunan pencakar langit yang tumbuh melata di bumi Manila itu membuatkan Ayesha kebosanan.  Ditambah pula dengan suhu penghawa dingin yang dah nak mencecah suhu tahap beku agaknya.  Ayesha menarik selendang panjang tebal yang menutupi tubuhnya lebih rapat ke badan.  Nasib baik tadi suami kesayangannya telah menyarungkan stoking di kakinya, kalau tidak harus membeku juga kakinya itu.  Emeer yang menyedari keadaan Ayesha, segera bangkit lalu membuka jacket yang dipakainya dan disarungkan ke tubuh Ayesha.  Siapa tak sayang isteri oii!!

            Tersenyum dengan keperihatinan si suami, Ayesha bangkit daripada kerusi lalu bergerak perlahan ke arah Emeer yang kembali fokus dengan perbincangan mereka.  Tubuh Emeer ditenung dari belakang.  Sudah hampir sepuluh tahun perkahwinan mereka, tetapi lelaki di hadapannya itu masih tetap tampan dan segak.  Patutlah banyak mata gadis akan terlekat dua kali tika memandangnya.  Tak kisahlah wajah serius yang selalu dipamerkan oleh suaminya itu.  Bahu suaminya ditepuk perlahan, tidak mahu mengganggu konsentrasinya.

            “Abang, Sofi keluar sekejap ye,” bisik Ayesha perlahan.

            “Sayang dah bosan ye?  Okey, sayang jalan-jalan dulu kat dalam ofis ye.  Abang try to make it short and be with you as soon as possible.”  Jemari Ayesha yang terletak kemas di bahu, diraih lalu dibawa ke bibir.  Kucupan lembut hinggap di jari putih mulus isterinya itu. 

            “Abang…”  Cepat-cepat jarinya ditarik.  Malu kepada pekerja yang berada bersama mereka di dalam bilik itu.  Hish, suami aku ni, bukan kira kat mana pun kalau nak berdrama.  Drama king la sangat. 

            Bukan Ayesha tak perasan senyuman di bibir pekerja-pekerja mereka yang turut berada di dalam bilik mesyuarat itu.  Sebelum kebosanan melanda lebih lama, baiklah dia keluar sebentar.  Dapat lepak-lepak sambil menjamu tekak dengan pavlova kiriman Alina tadi pun best juga.  Bukan kecil-kecil pavlova yang Alina kirim, sebesar kek sekilo tu.  Memang haven la dapat makan sorang-sorang, tak payah nak kongsi dengan sesiapa.  Tamak la pulak!  Alah, diorang kat ofis tu dah selalu sangat dapat merasa masakan Alina bahkan boleh dikatakan setiap minggu Alina akan masak dan hantar ke pejabat.  Lagilah kat sana susah nak dapat makanan halal.

            Pavlova yang diletakkan di dalam freezer dikeluarkan dan sepantas kilat tangan Ayesha turut menyambar sudu yang tersimpan di dalam bekas sudu.  Kakinya melangkah ke ruang pejabat yang luas lalu memilih sudut rehat yang memang sengaja di sediakan di situ.  Konsep terbuka dan pejabat rumah diamalkan di pejabat cawangan mereka itu yang mempunyai ruang menunggu untuk tetamu, ruang kerja, dua bilik mesyuarat, ruang rehat yang dilengkapi dengan set sofa dan televisyen serta sebuah dapur kecil.  Di dapur pula dilengkapi dengan peti sejuk, ketuhar mikro dan water dispenser untuk kemudahan pekerja mereka.  Memang selalu sangat pekerja tak balik ke rumah lebih-lebih lagi pekerja lelaki bujang apabila musim perlawanan bolasepak.  Sebentar tadi pun Ayesha terdengar pelawaan Azman kepada Emeer untuk bersama-sama mereka menonton game di pejabat malam itu.  Entah apa-apa nama yang keluar entah.

            Enak sungguh bersenang-senang sambil menikmati pavlova daripada chef paling handal bagi Ayesha.  Biarlah Emeer nak bermesyuarat lama lagi pun tak apa.  Tanpa sedar, sudah separuh pavlova dimakannya.  Mata mula layu-layuan.  Dalam sedar dan tak, semakin sayup-sayup suara kedengaran di telinganya.

            “Jom sayang..”  Sapaan lembut Emeer mengejutkan Ayesha yang sudah terlena di atas sofa.  Jemari suaminya yang terletak di atas bahu disentuh manakan sebelah tangan lagi sempat menggosok matanya.

            “Lorh, sayang tertidur kat sini ke?”  Senyum.

            “Dah settle ke bang?”  Anggukan Emeer membuahkan senyuman di bibir Ayesha.  Emeer yang sudahpun melabuhkan punggung di sebelah memeluk erat bahunya. 

            “Sorry ye sayang, sampai tertidur tunggu abang.”

            “Ermm, tak apalah.  Lagi pun kerja Sofi kan dah siap tadi, duduk kat sini layan pavlova ni pun best juga.”

            “Ya Allah, sayang makan sorang ke ni.  Banyaknya sayang makan pavlova ni, tak takut gula tinggi ke sayang.”  Semakin melebar sengihan Ayesha.  Tahu sangat, memang nak kena lecture la tu. 

            “Mana ada banyak, separuh je.  Lagi pun buah strawberi tu dah cukup masam untuk lawan balik semua yang manis-manis tu.”  Alahai, ada je jawapan.  Lantaklah, fakta ke auta, yang penting coverline.

Setiap kali hamil, memang Emeer akan memantau pemakanan Ayesha.  Tidak mahu isterinya itu mengidap sebarang penyakit bawaan ketika berbadan dua.  Tak sanggup melihat si isteri dimasukkan ke hospital.  Pengalaman dua kali menyaksikan betapa sukarnya Ayesha melahirkan kedua-dua cahaya matanya dahulu pun sudah cukup buatkan Emeer rasa serik dan insaf.  Kalau diikutkan hatinya, tidak mahu mengizinkan Ayesha melaluinya lagi namun dia tahu, itulah satu-satunya impian setiap wanita selagi ada kudrat.  Melahirkan hamba Allah di muka bumi ini, meramaikan umat Muhammad merupakan amalan yang dijanjikan syurga oleh-Nya.

Emeer menarik lembut tangan Ayesha untuk bangkit berdiri.  Uniform yang dipakai dibetulkan perlahan-lahan.  Errrkk…uniform!  Itulah gelaran Ayesha untuk pakaian ibu mengandung yang mula dikenakan di tubuhnya sejak menginjak tiga bulan kehamilan.

“Okey Man, aku jalan dulu.  Nanti esok kita bincang lagi yang tadi tu.  Ko make sure all details are ready and accurate.  Baru aku boleh estimate budget.”  Pesanan Emeer diambil perhatian oleh Azman dan pekerja-pekerja yang turut berada di situ. 

“Err, ko jadi tak join kitorang malam ni?”

“Tak sure lagilah.  Tengok keadaan Ayesha dulu macam mana, lagi pun nanti dia charge aku tak pedulikan dia pula dah datang jauh-jauh ni.”  Elok je habis berkata-kata, Emeer mengaduh kecil.  Mana tidaknya, sepit ketam dah melekat kat lengan.

“Kita pula dapat nama,” bisik Ayesha perlahan. 

“Iyalah, kalau abang kata ye nanti sayang kata abang tinggalkan sayang.  Lagi parah kalau sayang merajuk.”  Wajah Ayesha dielus lembut.

“Uit, anak nak masuk tiga tak habis lagi bercinta ke bro?” Sempat Azman mengusik rakannya itu.  Bukan cemburu bahkan seronok melihat keintiman dan kemesraan kedua-duanya.  Dia sendiri pun tak sehebat Emeer dan Ayesha.  Malah Alina sendiri pernah mengadu kenapa dia tidak seromantik Emeer.  Apa nak kata, lain orang lain cara dalam menunjukkan kasih dan sayang.

“Jomlah gerak bang, dah lama anak-anak tunggu kita tu,” ujar Ayesha perlahan.  Tidak mahu lebih lama di situ.  Bukan apa, perasaan segan sudah mula menular sehingga merah pipinya diusik begitu.  Lagi pun si Emeer ni bukan kira kat mana-mana pun, nak mengusik ada je.  Sampaikan staf tempatan pun dah tersenyum-senyum tengok mereka walau pun tak faham butir bicara.  Bahasa Melayu dengan Bahasa Tagalog jauh beza bunyinya.

Lambaian tangan dua tiga orang pekerja yang agak rapat dengan Ayesha disambut lalu pasangan itu bergerak meninggalkan mereka. 

Sangkaan Ayesha mereka akan menyertai Eizleen dan Aqyiem ternyata jauh meleset.  Teksi yang mereka naiki berhenti di hadapan SM Mall yang terletak di Manila Bay.  Khabarnya SM Mall tu antara pusat membeli belah yang termashur di Manila.  Memang kagum Ayesha dibuatnya.  Beberapa peso dihulurkan kepada pemandu teksi yang segera berlalu meninggalkan mereka di situ.

“Abang, ni kan SM Mall?  Bukan kita patut jumpa anak-anak ke?” Wajah yang berkerut ketara mempamerkan rasa cuak.

“Abang dah telefon anak-anak tadi.  Eizleen dan Aqyiem kata diorang dah nak balik hotel, nak rehat sebab dah penat sangat.  Lagi pun dah petang sangat ni sayang, so abang nak bawa sayang jalan-jalan dengan abang je lah.  Ganti balik semua masa yang abang kena habiskan kat office tadi.”  Pantas sahaja pinggang Ayesha yang semakin mengembang dipaut.  Iskh, selamba aje mamat seorang ni, tak kisah pun tak mana dia berada.

“Habis tu nanti, anak-anak dan Mak Jah nak makan apa bang.  Dah la kat sini susah nak cari makanan halal.”  Masih tidak puas hati.  Ayesha memang sentiasa mengambil berat tentang makanan mereka sejak mula menjejakkan kaki ke Manila.  Sebelum tiba ke sana, dia telah banyak mencari maklumat tentang Manila.  Bukan apa, mudah untuk membuat persiapan. 

“Azman dah aturkan makan malam anak-anak dan Mak Jah.  Nanti ada staf yang akan hantar makanan ke bilik,” ujar Emeer cuba menenangkan perasaan Ayesha.  Faham dengan kerisauan si isteri yang sentiasa menjaga kebajikan anak-anak dan pembantu rumah mereka sebaiknya.

Di Manila ni memang sukar nak mencari makanan halal.  Kalau berjalan di sekitar bandar Manila memang mata mudah sahaja menangkap gambar-gambar makanan tidak halal kerana penduduk beragama Islam sangatlah minority.  Malah di restoran makanan segera pun tidak mendapat sijil halal.

Berpuas hati dengan penjelasan Emeer, Ayesha mengatur langkah mengikuti lelaki itu yang masih erat memaut pinggangnya.  Perasaan malu yang menampar hati pada awalnya mula hilang diganti dengan rasa selesa diperlakukan begitu.  Dia rasa lebih selamat apatah lagi berada di tempat yang cukup asing baginya.  Deretan kedai yang menjual berbagai aneka perhiasan dan cenderahati menarik minat Ayesha.  Setiap permintaan Ayesha dilayan sepenuhnya oleh suami tersayang.  Dah diberi peluang, tangkap ajelah apa yang dihajati.  Boleh tahan juga barangan yang dijual di dalam kompleks membeli belah itu.

Penat menyusuri deretan kedai di dalam bangunan pusat membeli belah yang terbesar di Asia itu membuatkan Ayesha meminta untuk berehat sebentar di atas bangku yang disediakan di siar kaki.  Seronok melihat gelagat manusia yang memenuhi bangunan itu.  Kakinya yang agak lenguh dipicit-picit perlahan.

“Kenapa sayang, dah penat?”

“Kaki Sofi lenguh sikit la bang, tak pe, kejap lagi okeylah ni.”

“Hmm.. okey, kita rehat sekejap kat sini.  Rasanya hari ni dah cukup kot kita shopping kat sini, esok abang bawa sayang dan anak-anak ke satu lagi tempat yang sayang mesti suka nak shopping.  Tapi tempat tu tak adalah macam kat Mall ni, tempat tu macam Petaling Street kita je, tapi memang syok.”  Wajah lembut Ayesha ditatap lama.  Cuba mencari riak si isteri terhadap cadangannya.

“Ye ke, bestnya.  Sofi tak kisah pun, yang penting dapat jalan-jalan dan pengalaman yang seronok.  Errr, tapi kan Sofi peliklah, macam mana abang boleh tahu banyak sangat pasal tempat-tempat kat sini?  Ke abang ada…”

“Hah, mulalah tu.  Tak baik tau buruk sangka dengan abang.  Takkanlah abang nak buat bukan-bukan belakang sayang.  Abang ni suami solehah,” sampuk Emeer tanpa membenarkan Ayesha menghabiskan kata-katanya.

“Lorhh, Sofi tak cakap macam tu pun.”  Hampir nak tergelak Ayesha dibuatnya namun ditahankan sahaja.  Memang betul pun tadi dia hendak menembak suaminya dengan soalan sebegitu.

“Alah, tak payah sayang cakap pun abang dah tahu sangat apa yang sayang nak cakap.  Tengok, muka sayang pun dah cuak semacam.”

Memang tak dapat nak menahan gelak melihatkan riak suaminya lalu akhirnya mereka melepaskan gelak bersama.  Lepas bebas tanpa menghiraukan sesiapa pun.  Emeer menggenggam erat jari jemari Ayesha lantas dibawa ke bibirnya.  Kucupan penuh kasih tertumpah di situ.

“Sayang, walau apa sekali pun yang datang, walau secantik Miss Universe ke Miss World ke, abang tetap tak akan berpaling daripada sayang selagi abang dalam sedar.  Sayang jangan sesekali curiga dengan kasih abang.”  Lembut sekali nada suara itu menusuk tangkai hati Ayesha. 

Jemari yang masih bebas daripada genggaman Emeer dibawa ke bibirnya lantas jemari itu juga dilekapkan ke bibir Emeer.  “I love you too, sehingga hujung nafas,” bisiknya lembut namun cukup jelas di pendengaran.
Jeda.

“Abang, lapar....”  Manja sahaja rengek Ayesha mengusap perutnya. 

“Kaki sayang dah okey? Jom kita makan, tapi jangan lupa niat jamak solat Maghrib ye sayang, kat sini tak ada surau nak solat.”

Berjalan pun berjalan juga, shopping pun shopping juga, tapi ibadah yang utama itu tidak sesekali harus dilupakan.  Memandangkan mereka masih di dalam kategori musafir, maka amat mudah untuk tidak meninggalkan ibadat solat itu kerana agama memberi keringanan dalam mengerjakannya melalui jamak dan qasar.

Emeer dan Ayesha masih beriringan tangan melangkah ke restoran Harbour View yang terletak di bahagian belakang SM Mall.  Restoran ini menghidangkan makanan laut yang segar-segar dan lebih istimewa ia juga mensajikan pemandangan harbour yang indah.  Sengaja Emeer memilih meja yang paling dekat dengan bay yang membolehkan pemandangan indah matahari terbenam dapat dinikmati di situ.


Menikmati hidangan makanan laut segar yang dibakar dan disajikan keindahan matahari tenggelam yang cukup indah bersama insan tersayang adalah hadiah paling istimewa buat Ayesha.  Syukur dipanjat ke hadrat Yang Esa kerana memberinya begitu banyak kasih sayang melalui suami yang tercinta dan anak-anak yang dikasihi.  




******************************************

Terima kasih ... harap terhibur dengan kisah mereka berdua.. 

Salam kasih sayang berpanjangan daripada
Kak Yus.
 

Blog Template by YummyLolly.com