Monday 6 June 2016

Biar Cinta Terus Berkata... (BCB II) Part 7

Semoga terhibur...


Sudah hampir sebulan tanah Pinoy ditinggalkan. Tugas harian semakin menyesakkan, manakan tidak, selama pemergian mereka hanya urusan biasa sahaja yang diuruskan oleh staf mereka yang berada di pejabat, urusan yang hanya boleh dilakukan oleh Emeer tetap harus menanti kepulangan Emeer. Setiap temujanji yang tertunda selama seminggu itu harus disusun atur semula. Mujur jugalah tugas Ayesha hanya menguruskan jadual Emeer dan apa-apa yang berkaitan dengan management sahaja. Tiada lagi urusan menyediakan minit mesyuarat atau tugasan rutin seperti sebelum bergelar Mrs. Emeer.
Minggu ini sahaja jadual Emeer memang amat padat. Kadang-kadang sempat Ayesha tertidur di atas sofa sementara menanti Emeer untuk pulang. Bukan tidak mahu meminta khidmat Razmi, tetapi dah memang menjadi kebiasaan pergi dan balik bersama tidak kira sesibuk mana pun. Kasihan juga Eizleen dan Aqyiem, kedua-dua beradik itu sering sudah keletihan ketika mereka pulang. Kadang-kadang terpaksa menunaikan maghrib di pejabat dahulu barulah pulang ke rumah. Namun, walau sesibuk mana pun, Ayesha tidak pernah mengabaikan anak-anaknya. Merekalah hartanya dunia dan akhirat.
Jam tangan dibelek lagi. Tersenyum seketika melihatkan jam tangan itu. Pemberian Emeer tiga tahun lepas ketika mereka berdua menyambut ulangtahun perkahwinan di Port Dickson. Terkejut juga apabila dia dibawa ke sana lagi khas untuk menyambut ulangtahun perkahwinan mereka. Peristiwa yang pernah terjadi di antara dia dan suaminya di situ menjadi titik tolak kehidupan mereka hari ini. Dia tidak pernah bangga dengan apa yang mereka pernah lakukan di situ. Dia tahu, tempat itu menjadi saksi noda cinta yang telah mereka lakukan. Dosa yang dilakukan, hanya taubat nasuha yang mampu menebusnya. Sehingga hari ini, dia masih lagi kesal dengan keterlanjuran mereka. Namun dia akur, nasi sudah jadi bubur, tak guna dikenang kerana tak mungkin titik hitam itu dapat diwarnai semula. Apa yang penting, kehidupan harus diteruskan dan menjadi hamba-Nya yang lebih baik.
Sendu yang mula bertamu diusir dengan senyuman yang mengambil tempat di wajah Ayesha. Matanya tertangkap photo mereka sekeluarga yang diambil sekitar raya tahun lepas. Senyuman yang melebar semakin meleret. Hatinya digeletek rasa lucu mengenangkan kisah yang berlaku ketika raya tahun lalu itu.
"Macam mana ni, abang."
"Lorh, sabarlah sayang."
"Macam mana nak sabar. Dah nak maghrib ni bang. Kesian anak-anak dalam kereta tu. Itu lah, dah Sofi cakapkan tadi tak payahlah nak cuba-cuba lalu kat sini. Dah tau tak pernah lalu, saja cari penyakit tau." Membebel lagi. Kali ini sudah masuk sepuluh kali Ayesha membebel yang sama.
"Sayang, rintangan nak datang bukan nak bagitahu kita dulu."
Ayesha mendengus. Itu ajelah yang dijawabnya. Kalau ikut highway MTD tadi dah lama sampai ke rumah abah. Dah tentu sekarang ni sibuk kat dapur menyiapkan hidangan berbuka. Wajah anak-anak yang yang kelelahan ditenung satu persatu.
Ini semua kerana idea gila suaminya yang tercinta tu. Dah bertahun-tahun kahwin dan berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pekan, tiba-tiba kali ini nak gunakan laluan Chenor-Pekan ini pula. Sudahlah tak pernah dilalui, hanya mendengar khabar daripada rakan-rakan sahaja. Kononnyalah hendak menikmati keindahan alam semula jadi. Sudahlah jauh ke dalam, hutan pulak tu. Memanglah ada beberapa buah kampung di sepanjang perjalanan, tetapi bukan semua kampung tu dekat-dekat. Rumah pun tidaklah banyak mana. Sekarang ni dah menjadi satu masalah pula. Kereta pula buat hal. Tak pernah-pernah buat hal, pandai pula memilih masa itu juga nak protes. Sudah hampir dua jam mereka tersadai di tepi jalan yang di sekelilingnya hanya pokok-pokok hutan dan aliran Sungai Pahang di pinggir jalan. Sebuah kenderaan pun tidak melintas langsung. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja diselam-selamnya suaminya itu ke dalam Sungai Pahang yang mengalir tenang. Sakit betul hati.
"Dah la Yang, janganlah masam macam tu. Sayang tak kesian kat abang ke. Tengok ni, dah hilang hensem dah," pujuk Emeer mengendeng di sebelah Ayesha. Dia tahu isterinya itu sedang membara. Namun masih juga ingin memujuk isteri tersayang dan memancing simpati dengan kecomotannya. Baju yang tadinya bukan main kemas telah dicalit dengan hitam minyak kereta.
"Padanlah dengan muka tu. Siapa yang suruh."
"Amboi, tak sayang abang tu."
"Sayang mak yang. Dalam hutan ni sayang-sayang tak main. Tu fikir macam mana nak balik ni. Dah la line telefon pun tak ada." Wah, ini dah tak boleh nak dipujuk lagi ni.
"Ala sayang..."
"Malas nak bersayang-sayang dengan abang ni. Baik Sofi tengok apa yang ada untuk anak-anak berbuka. Nasib baik singgah beli kuih tadi."
Emeer tersenyum. Semenjak menjadi ibu kepada dua orang anak ni, isteri kesayangannya tu sudah mempunyai hobi baru. Hobi yang memang sinonim dengan wanita yang bergelar ibu. Apa lagi kalau bukan membebel. Sesetengah lelaki tidak suka mendengar bebelan si isteri, bosan dan ada kala boleh menaikkan amarah mereka. Tetapi berlainan pula dengan Emeer. Bebelan itulah yang sering dirinduinya sepanjang masa. Hobi baru Ayesha itu memang mendapat approvalnya seratus peratus. Semakin Ayesha kerap membebel semakin comel pula kelihatan isterinya itu. Apa ke pelik, tapi memang itu hakikatnya. Mulut kecil milik Ayesha yang tersenget, herot dan memuncung setiap kali membebel itu kelihatan comel je. Kadang-kadang sedang isterinya itu mengomel, ciuman nakal akan hinggap di bibir itu. Geram.
"Yang...." Panggil Emeer memancing simpati. Ayesha melempar pandang ke wajah suaminya itu. Adalah tu...
"You look gorgeous when you get angry. Even prettier when you sulk."
"Heh, tak jalan der dengan pujian abang tu," balas Ayesha spontan. Sengaja berlagak jual mahal sedangkan hati di dalam sudah kembang bertaman-taman. Suka sebenarnya dipujuk dan dipuji.
"Olorh sayang..."
"Tak payah nak puji-puji Sofi. Kalau dengan pujian abang tu kereta boleh jalan tak apalah juga. Ni tengok anak-anak dah berpeluh kepanasan."
"Hmmm, kalau macam tu sayang tinggal dengan anak-anak kat sini biar abang jalan kaki ke depan sana kot-kot ada kampung yang berhampiran."
"Hah, tinggal sini? Hmmmmm...."
"Kenapa.. takut?" usik Emeer.
"Bukanlah takut tapi tak berani je. Tak ada option lain ke bang?"
Emeer tergelak besar. Berlagak! Dah pucat muka tu apabila dengar kata nak kena tinggal, lagi nak cover. Tubuh isterinya yang agak sedikit berisi itu ditarik lalu dipeluk. Tawanya masih bersisa.
"Abang... kotorlah baju Sofi." Rengek Ayesha langsung tidak berkesan malah semakin kejap pelukannya.
"Ayah, puasalah. Mana boleh peluk-peluk." Teguran Eizleen menambahkan galak tawa Emeer. Namun pelukan dirungkaikan perlahan.
"Iyalah kan ayah ni. Dalam hutan pun nak peluk-peluk ibu," tokok Ayesha menyokong teguran anak gadisnya.
"Siapa cakap kat kakak puasa tak boleh peluk?" soal Emeer masih lagi dalam mood mengusik. Kali ini mangsanya si Eizleen.
"Errr...boleh ke?" Eizleen pula mempamerkan wajah blur dengan soalan ayahnya itu. Iyalah, kan banyak benda yang tak boleh dilakukan ketika berpuasa.
Melihatkan riak wajah Eizleen, Ayesha dan Emeer tertawa besar. Pepandai aje anak gadis mereka menjatuhkan hukum. Adoiii!! Anak siapalah tu.
Aqyeem dan Eizleen yang kepanasan kini sudah turut serta berdiri di pinggir jalan. Pemandangan indah Sungai Pahang yang mengalir tenang menggamit minat mereka. Budak berdua tu memang dah sebati sangat dengan keindahan Sungai Pahang apatah lagi jikalau pulang ke kampung Aki dan Maktok, memang akan sama-sama terjun ke sungailah. Itu pun kalau air cetek, kalau paras air naik memang tak ada harapanlah.
Paling seronok ikut Aki menarik jala ikan patin di dalam sangkar. Melihat liuk lentuk ikan patin menggelepar dalam jala memang seronok. Kalau ada Pak Ngah Adib bertambah-tambah lagi keseronokan tu. Selepas tengok Aki, terus ikut Pak Ngah pergi ke kebun. Kat kebun di belakang rumah tu bukan setakat pohon buah-buahan je yang ditanam, ayam, itik dan arnab pun turut diternak. Aki memang suka berbudi pada tanah. Malah tangan Aki sejuk kata Maktok sebab kalau bertanam memang menjadi sahaja tanaman. Menternak pun begitu juga. Daripada dua tiga ekor arnab dah semakin banyak membiak. Ada di antara arnab itu kadang-kadang terlepas berkeliaran di celah pohon bunga Tok Su. Memang seronoklah Aqyiem bermain kejar-kejar.
"Abang, ada kereta," ujar Ayesha menarik sedikit baju Emeer yang masih membongkok menghadap enjin kereta.
Segera Emeer menghampiri jalan raya lalu menahan kereta Iswara biru muda yang melintasi mereka. Pemandunya seorang lelaki tua berkopiah putih menghentikan kenderaan lalu keluar dan menghampiri Emeer.
"Assalamualaikum." Lelaki tua itu memberi salam mendahului Emeer lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
"Waalaikumsalam pakcik." Salam bersambut.
"Kenapa kereta tu, rosak?"
"Aah pakcik. Entah apa yang rosak pun saya tak tahu. Nak telefon tak ada line pula."
"Kat sini memang susah nak dapat line. Kena ke depan sana lebih kurang lima puluh meter, baru boleh dapat. Dah lama ke kat sini?"
"Lama juga dah pakcik..."
"Hmmm.. macam ni ajelah. Kalau nak tunggu orang lalu masa macam ni memang tak ramailah. Dah nak maghrib ni pun. Apa kata kita ke rumah pakcik je. Nanti lepas berbuka biar pakcik cari Abu Pomen kat seberang tu. Itu pun rasanya esok pagi la tu baru boleh dia tengok, dah malam payah la sikit."
Emeer berfikir sejenak. Betul juga tu.
"Err, nama pakcik, Azlan. Tapi orang panggil Pak Lan aje. Anak ni siapa nama?"
"Astaghfirullahal azim. Asyik berbual lupa saya nak perkenalkan diri. Saya Emeer, Pak Lan panggil Meer aje. Ini isteri saya Ayesha. Yang berdua tu pula anak-anak saya, Eizleen dan Aqyiem. Kami ni dalam perjalanan nak balik ke Pekan, rumah mertua saya. Kawan-kawan saya cerita lalu kat sini seronok, itu yang saya nak cuba. Tak sangka pula kereta ni boleh buat hal," terang Emeer sambil menggamit anak-anaknya agar bersalaman dengan Pak Lan.
Kepala kedua-dua anak kecil itu diusap lembut oleh Pak Lan ketika mereka bersalaman. Orang tua-tua selalu berpesan, usaplah kepala anak ketika bersalaman atau berpisah sambil berdoa untuk kesejahteraan mereka.
"Marilah, dah petang sangat ni. Eloklah kita bergerak sekarang. Meer bolehlah ambil barang-barang yang perlu dan kunci kereta elok-elok. Kita berbuka di rumah pakcik ajelah," ujar Pak Lan, "jom kita ke rumah Atuk ye," sambungnya lagi mengajak anak-anak Emeer bersama.
Akur dan sangat berbesar hati dengan pelawaan serta bantuan Pak Lan, Emeer dan Ayesha segera berkemas ala kadar dengan membawa beg pakaian serta kuih muih yang dibeli di perjalanan tadi. Syukur kerana di waktu begitu Allah telah membantu mereka melalui Pak Lan.
Perjalanan ke rumah Pak Lan hanya sekitar sepuluh minit sahaja. Kalau nak berjalan kaki, memang agak jauh juga. Rumah kampung yang agak besar itu kelihatan sunyi.
"Uwannya..." laung Pak Lan setelah member salam.
Seketika pintu terkuak lebar. Muncul seorang wanita yang berusia sekitar enam puluhan tersenyum menyambut kepulangan suaminya. Agak terkejut melihatkan tetamu yang tidak dikenali turut serta namun senyuman manis tetap dilemparkan.
Berbuka puasa bersama Pak Lan dan Makcik Senah memang menyeronokkan. Walaupun hanya lauk biasa-biasa, namun cukup menyelerakan. Ikan lampan goreng menjadi rezeki mereka malam itu ditambah pula dengan gulai asam batang keladi yang tumbuh subur di belakang rumah. Mujurlah sempat lagi untuk menyiapkan juadah berbuka.
Usai mengerjakan solat maghrib berjemaah, Ayesha membantu Makcik Senah mengemas dan membersihkan pinggan mangkuk yang digunakan. Emeer sempat menghubungi ayah mertuanya mengkhabarkan tentang mereka yang terkandas di situ. Mujurlah Adib dan abah memang biasa dengan laluan itu dan akan datang menjemput mereka selepas solat tarawikh.
Malam itu, pertama kali dalam hidup Emeer dan Ayesha juga anak-anaknya, mengerjakan solat tarawikh di tempat yang agak asing bagi mereka. Mengikuti Pak Lan dan Makcik Senah ke masjid yang berhampiran memang mengujakan. Kawasan masjid yang dipenuhi dengan jemaah amat meriah apatah lagi kelihatan kanak-kanak kecil berlarian di laman masjid. Iyalah kan, tentu sekali seronok kanak-kanak itu bermain sementara menanti solat isyak. Nak takutkan apa, kan syaitan semua diikat dalam bulan Ramadhan.
Alunan bacaan Surah Al-Takathur yang dibaca oleh imam solat tarawikh itu sungguh merdu menusuk jiwa. Ayesha terpegun seketika. Khabarnya tadi imam mereka malam itu adalah pemuda yang berusia belasan tahun, seorang pelajar tahfiz yang telah menyudahkan hafazan 30 juzuk Al-Quran. Beliau anak kepada salah seorang penduduk di situ. Memang selalu diberi peluang menjadi imam jika beliau pulang bercuti ke kampung. Subhanallah, sungguh bertuah ibu dah ayahnya.
"Sayang, seronokkan," ujar Emeer memecah kesunyian malam ketika mereka berdua duduk di pangkin luar.
"Hmmm.."
"Hmmm.. aje?"
"Seronok tu memanglah, tapi rumah orang bukan rumah kita."
"Baik betul Pak Lan suami isteri ni. Nak menolong kita orang yang tak dikenali. Kalau setengah orang tu, dibiarkan aje tepi jalan tu."
"Itulah bezanya orang kampung dengan orang bandar abang. Orang kampung ni walau macam mana tak kenal pun, paling tidak mesti akan berhenti dan bertanya khabar jika nampak dalam kesusahan."
Emeer menggangguk setuju. Matanya memerhati gelagat anak-anak yang mengekor Pak Lan memasang pelita buluh di sekitar halaman rumah. Cahaya daripada pelita buluh itu menyinari halaman. Cantik.
"Abang, imam tarawikh kita tadi tu, hensem tak?"
"Erkkk..." Pandangan Emeer segera kembali terarah ke wajah Ayesha. Ada ke tanya handsome ke tidak. Alahai isteri siapalah ni. Menyedari tingkah Emeer itu, Ayesha tertawa lepas. Pipinya dicubit.
"Nakal isteri abang ni ye. Ada ke tanya handsome ke tidak. Mana ada orang lagi handsome daripada abang kan."
"Eiii.. perasan." Lidah dijelir mengejek.
"Jelir la lidah tu. Nanti abang gigit lidah tu baru tau!"
"Takutlah sangat." Ayesha membuat muka, "alah, Sofi tanya comel ke tak budak tu. Sedap betul suara dia, lancar je bacaan dia. Boleh buat menantu tu," sambung Ayesha.
"Hai, sayang dah nak bermenantu sangat ke?"
"Lorh, chop la dulu."
Emeer menggeleng kepala dengan keletah isterinya. Sempat pula nak chop anak orang buat menantu. Tapi memang dia pun berkenan dengan pemuda tadi tu. Baik budi bahasa, selari dengan gelaran Al-hafiz yang disandangnya. Sejuk sungguh mata memandang. Seketika, Emeer merenung diri sendiri. Terlalu jauh beza dia dan pemuda itu.
"Nak kata handsome tu, tak adalah wajah supermodel tapi memang berseri-seri wajahnya. Wajah seorang Huffaz kan." Ayesha memandang wajah suaminya dengan pandangan teruja.
"Iya. Seronoknya kalau ada antara anak-anak kita nanti yang nak jadi macam tu kan abang."
"InsyaAllah sayang. Kita didik mereka sebaik-baiknya dan doakan mereka dipermudahkan."
Emeer, Ayesha dan anak-anak mereka meninggalkan rumah Pak Lan dan Mak Senah hampir jam sebelas malam setelah Adib dan abah tiba. Dengan ucapan ribuan terima kasih atas jasa baik keduanya, Emeer dan Ayesha berjanji akan ke rumah mereka keesokan harinya. Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dikenang selamanya.
 

Blog Template by YummyLolly.com