Monday 16 May 2016

BIAR CINTA TERUS BERKATA ... bab 5 (BCB II)


Assalamualaikum sayang-sayang Kak Yus.
Dah lama tak updates kisah Emeer & Ayesha ni kan.  Lama terhenti.
InsyaAllah, proses menyiapkan kisah ni sedang berjalan dgn gigihnya.
InsyaAllah juga, doakan semoga kita dapat 'dating' dengan Abang Emeer di penghujung Julai nanti.
Buat masa ni.. nah bab 5 untuk kalian yang tersayang.

*************************************************





Beberapa hari berada di Manila memang tak pernah menjemukan.  Ada sahaja aktiviti yang dilakukan walaupun sebenarnya pemergian mereka itu lebih kepada lawatan kerja.  Emeer telah melunaskan janjinya kepada Ayesha dan anak-anak untuk membawa mereka berjalan-jalan di sekitar bandar Manila ditambah pula dengan layanan dan sambutan mesra pekerja mereka yang sudi sahaja menjadi tourguide ketika mereka di sana.

            Meninggalkan Azman, Alina dan anak-anak memang agak sukar kerana mereka telah terlalu baik melayan Emeer anak beranak selama di sana.  Air mata memang mudah sahaja bertandang tanpa dijemput saat Ayesha berpelukan dengan Alina dan anak-anak mereka.  Sempat juga Alina menitipkan bekalan puding karemel kepada Eizleen yang memang menggemarinya.  Sebiji pavlova telah awal-awal dijamu dek Ayesha.

            “Sha jaga diri baik-baik,” pesan Alina sambil mengusap lembut perut yang telah mula memunculkan diri di sebalik helaian baju tebal Ayesha.

            “InsyaAllah.  Terima kasih ye Alin sudi terima kami.  Layanan firstclass lagi untuk kami.”

            “Entah bila dapat bertemu lagi…” Air mata yang deras menyusur pipi diseka perlahan.  Mereka berdakapan lagi.  Kali ini Mak Jah pula mengambil giliran.  Sempat Mak Jah menitip pesan kepada Alina agar menjadi diri dan suami baik-baik di tempat orang.


            Perjalanan pulang di awangan ke Malaysia mengambil masa kira-kira tiga jam empat puluh minit.  Namun perjalanan yang panjang itu tidak akan terasa sangat dengan keselesaan yang mereka nikmati di ruang kelas pertama atau business class yang disediakan.  Eizleen dan Aqyiem telah lama lena dibuai mimpi indah bersama Mak Jah di barisan sebelah.

            “Kenapa sayang?”  Emeer merenung wajah berkerut Ayesha yang nampak tidak selesa.

             “Sejuk.  Perut ni rasa senak sikit,” balas Ayesha manja.
            Pantas Emeer mencapai selimut yang telah dibekalkan oleh petugas kabin sebentar tadi lalu dikibas-kibas.  Selimut itu kemudiannya diselubungkan ke tubuh Ayesha kemas-kemas.  Cekap juga tangan sasa lelaki itu menarik alas kaki supaya Ayesha dapat berlunjur dengan selesa.  Dua biji kusyen kecil yang juga diberikan oleh pekerja kabin tadi diambil.  Satu letakkan di bawah kaki Ayesha manakala satu lagi diletakkan sebagai bantal.  Kasut yang dipakai Ayesha dilucutkan.  Emeer mengeluarkan sepasang sarung kaki yang memang sentiasa dibawa ke mana-mana daripada beg tangan Ayesha lalu disarungkan ke kaki isteri tersayang.  Kedua tapak kaki isterinya itu digosok-gosok perlahan.  Kemudian, selimut kembali dibetulkan.

            “Sayang rasa selesa tak?”  Soal Emeer agak cemas.  Risau jika isterinya tidak selesa sepanjang penerbangan mereka.

            “Okey dah ni.  Tapi perut Sofi ni je, agaknya tadi makan pavlova pagi-pagi kot.”

            “Sayang ni, tak sayang kat abang ye.  Kan doktor dah pesan sayang tak boleh makan makanan manis banyak sangat.  Tadi pun sayang tak sarapan kan, terus je makan pavlova tu.  Sayang nak makan tak?  Abang tanya stewardes ye..”

            “Hmm, tak payahlah dulu bang.  Sofi rasa nak tidur je sekejap.”  Emeer hanya mengangguk-angguk. 

Lengan kanannya merangkul kemas bahu Ayesha dan jari jemarinya mengusap lembut kepala Ayesha yang dibaluti tudung.  Manakala tangan kirinya lembut mengusap perut Ayesha yang semakin ketara.  Sekejapan terdengar nafas kecil Ayesha yang terlena.  Memang mudah sangat isterinya itu terlena setiap kali dalam dakapannya.  Emeer tersenyum sendirian dan akhirnya dia juga turut sama terlena dibuat mimpi indah di awangan.

Suasana hingar bingar di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menyambut kepulangan Emeer sekeluarga.  Setelah menanti lima belas minit untuk mendapatkan bagasi, mereka akhirnya menyorong troli bagasi meredah deretan manusia yang masih memenuhi ruang pengambilan bagasi.  Ayesha sudah awal-awal mengasingkan diri.  Bukan tidak suka suasana riuh rendah, atau terlalu cerewet, tetapi keadaan perutnya yang semakin tidak enak menyebabkan dia mengambil keputusan untuk beredar ke ruang menunggu.  Tak mampu hendak berdiri lelama bersama Emeer dan anak-anak.  Mak Jah juga dikerah Emeer agar membuntuti Ayesha.  Risau juga kalau-kalau isterinya itu tiba-tiba jatuh sakit.  Wajah pucat Ayesha sejak menaiki pesawat tadi pun sudah cukup merisaukan.

Berlainan pula dengan Eizleen dan Aqyiem yang seronok sakan membelek setiap bagasi yang beredar di atas rel berputar itu.  Setiap kali ada sahaja bagasi yang melintasi mereka pasti kedua-duanya bersorak.  Bagaikan sebuah permainan pula bagi mereka.  Emeer hanya menggeleng kepala melihat buah hati pengarang jantungnya itu.  Iyalah, budak-budak, kat mana-mana pun tetap ingat main sahaja.

Setelah mendapatkan bagasi, Emeer, Ayesha, Mak Jah dan anak-anak bergegas menuju ke arah surau yang disediakan.  Zohor masih berbaki setengah jam.  Kalau hendak tunggu sampai ke rumah baru ditunaikan, jawabnya memang akan tertinggal waktulah nanti. 

Kepulangan mereka telah dinanti oleh Razmi, pemandu peribadi yang baru sahaja berusia dua puluh tujuh tahun.  Masih bujang tetapi mempunyai keperibadian yang cukup baik dan menyenangkan.  Razmi ditugaskan untuk menghantar dan mengambil Eizleen dan Aqyiem, menggantikan Pak Mat yang telahpun bersara. 

“Abang…” Emeer berpaling.  Wajah Ayesha yang masih pucat ditenung.  Manja sungguh kedengaran suara isterinya itu.

“Abang, kalau kita singgah Kajang sekejap boleh tak?” Soal Ayesha saat terpandang kening Emeer yang terjongket apabila diserunya tadi.

“Kajang?”  Pelik.  Nak buat apa pula kat Kajang tu.  Tadi kata sakit perut.  Emeer memang telah merancang untuk terus ke klinik sebaik sahaja pulang ke rumah.

“Sayang teringin la nak makan sate King.”  Emeer menghentikan langkah lalu berdiri menghadap Ayesha.  Wajah polos isterinya itu ditenung lama.  Senyuman terukir di bibirnya seketika kemudian.  Tubuh Ayesha dipaut lalu dipeluk erat.  Tidak kisah di tengah-tengah ruang manapun, hati menjadi amat belas mendengar permintaan si isteri.  Dikucupnya kepala Ayesha penuh belas dan kasih.  Biarpun dia menyedari banyak mata yang memandang, dibiarkan sahaja.  Ada aku kesah, bini aku, suka hati aku la wei, desisnya nakal.
“Kesiannya sayang abang ni, agaknya perut tak sedap tu sebab nak makan sate kot,” bisiknya lembut.  “Anak ayah nak makan sate ya, kenapa buat ibu macam tu.  Kesian ibu tau, ibu kan penat.  Okey, nanti ayah bawa anak ayah dan ibu pergi makan sate,” sambungnya lagi setelah meleraikan pelukan.  Tangannya diletakkan di perut Ayesha lalu diusap-usapnya lembut.

“Kenapa pula ni Meer?” Tegur Mak Jah yang terperasan Emeer dan Ayesha tidak berada bersama mereka.  Langkah wanita tua itu perlahan merapati mereka.

“Sofi ni Mak Jah, teringin nak makan sate King.”  Mak Jah menggeleng kepala.  Hah sudah, buat perangai lagi Ayesha ni.  Kat Manila pun semacam aje mengidamnya, balik Malaysia lagi banyak la kot.  Pembawakan budak kali ni memang macam-macam.  Haish, nasib baiklah si Emeer ni rajin melayan.

“Hmm.. jauh ke Kajang tu.  Mak Jah dah tak larat ni, rasa nak balik rumah je.  Rindu pada katil Mak Jah.”  Sejurus mendengar kata-kata Mak Jah, Emeer dan Ayesha tertawa lepas.  Alahai Mak Jah, baru beberapa hari tinggalkan rumah, katil dan bantal itu jugalah dirinduinya.

Emeer faham kepenatan yang Mak Jah rasakan.  Usia sudah lanjut, haruslah mudah rasa lelah apabila berjalan jauh, apatah lagi duduk dalam pesawat hampir empat jam.  Emeer melempar pandang kepada Eizleen dan Aqyiem yang turut sama kelihatan sangat mengantuk.

“Eizleen dan Aqyiem nak ikut tak ayah nak bawa ibu makan sate King?” Kedua-dua anak kecil itu menggeleng kepala.

“Kakak dan adik nak balik ikut Mak Jah dan abang Mi ajelah ayah.  Penatlah,” rengek Eizleen menolak.  Memang ketara wajah keletihan mereka.

“Okeylah, kalau macam tu Mi bawa balik Mak Jah dan anak-anak.  Saya ambil teksi aje ke Kajang.” 

“Encik Emeer nak balik nanti macam mana?” Soal Razmi agak bimbang.  Iyalah, kalau naik KLIA Limo atau teksi pun hanya sehala je.  Nanti nak balik ke rumah jenuh pula mencari teksi lain.

“Awak boleh ke ambil kami kat sana?  Tak penat ke nak pusing-pusing semula?”

“Eh, boleh aje bos.  Berehhhh…”balas Razmi pantas.  Dah tugas dia pun.  Lagi pun sejak Emeer sekeluarga bercuti, dia memang tak ada kerja langsung. 

Masuk pejabat pun sekadar tunjuk muka.  Nak buat kerja apa, semua kerja dah ada yang punya.  Sudahnya, dia hanya menjadi penjaga pejabat kecil Ayesha. Tapi seronok juga, dapat usyar awek comel yang membantu Ayesha di pejabatnya. 

“Hmm, kalau macam tu nanti saya belanja awak sate jugaklah,” tawar Emeer sambil mengunjukkan beg kecilnya kepada Razmi.

“Wah, kalau itu lagi berehhh bos.”

“Kamu ni Mi, kalau bab makan hish, tak boleh lawan,” seloroh Mak Jah. 

Walaupun tidaklah lama sangat Razmi bersama keluarga Emeer ini, tetapi sikap ramah dan hormat kepada orang tua membuatkan semua ahli keluarga Emeer mesra dengannya.  Paling memeranjatkan, Razmi ni anak kelahiran Kuala Lumpur.  Dibesarkan juga di tengah bandaraya yang terkenal dengan sikap nafsi-nafsi dan kurang tatasusila di kalangan anak muda.  Siapa kata tak ada orang yang beradab sopan dan baik budi pekerti lahir di bandaraya sesak ni.  Tak semua yang jahat itu lahir di kota, dan tak semua yang baik itu berasal dari luar kota.  Yang penting didikan ibu bapa dan pembawaan dalam diri sendiri.

Kedua-dua tangan Emeer dan Ayesha disalami Eizleen dan Aqyiem.  Sempat Ayesha menitip ciuman sayang ke wajah kesayangannya itu.  Setelah kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan luar Balai Ketibaan, Emeer dan Ayesha melangkah semula ke ruang dalam balai ketibaan menuju ke kaunter perkhidmatan teksi. 

“Abang, boleh tak kita singgah kat kedai coklat depan tu sekejap.  Sayang teringin nak beli coklat Daim la,” pinta Ayesha memaut lengan Emeer yang sedang melihat-lihat papan kenyataan di situ.

“Lorh, sayang nak coklat ke?  Sayang nak tunggu kat sini, biar abang pergi beli ke atau sayang nak ikut sekali?”  Soalnya kembali.  Prihatin.

“Nak ikut abanglah.”

“Sayang okey ke, tak penat ke nak jalan lagi.  Jauh juga ke depan kedai tu.”  Risau.  Anggukan Ayesha menyenangkan hati Emeer.  Tahu sangat suaminya itu bukan boleh dibiarkan, ada yang berdukung kat situ nanti.  Gempar satu KLIA karang.  Silap hari bulan masuk surat khabar, entry muka depan lagi.  Harus glamour satu Malaya

Beriringan sambil berpegangan tangan, mereka menyusuri laluan yang semakin sibuk dengan tetamu-tetamu asing ke tanah Malaysia.  Seharusnyalah sekarang ini pula kerajaan sedang sibuk mempromosikan Cuti-Cuti Malaysia dan semakin banyak tempat-tempat menarik dikomersialkan untuk menarik perhatian pelancong asing. 

Emeer menggelengkan kepala saat beberapa bungkus coklat dilambakkan ke atas meja kaunter bayaran.  Ingatkan tadi nak beli coklat Daim je, tetiba dah jadi berjenis-jenis coklat pula.  Ayesha pula hanya memandang Emeer dengan mata yang berkerdip-kerdip.  Alah, comel la sangat buat muka macam tu.

“Abang ingat tadi nak satu coklat aje,” bisik Emeer.  Dompet dikeluarkan lalu harga barang dibayar.

“Satu tu untuk sayang, yang lain-lain tu untuk anak-anak.” 

Alasan.  Dah biasa dengar tu.  Emeer hanya tersenyum melayan kerenah isteri tercinta.

Gadis manis bertudung biru yang berada di belakang meja cashier hanya tersenyum manis melihat tingkah pasangan di hadapannya.  Alahai, sweetnya.  Manakan tidak, si isteri manja-manja sahaja mengkerdipkan mata dan si suami pula dengan selamba memaut bahu isteri sambil berbisik.  Kena cari juga stok macam ni juga buat suami. Tapi nak cari kat mana ya, sekarang ni stok-stok buaya dan naga lebih ramai.

Teksi Airport atau lebih tepat dikenali sebagai Airport Limo berhenti betul-betul di hadapan gerai makan sate King yang terletak di Jalan Sungai Kantan.  Agak sukar juga hendak mencari gerai Sate King ni kalau tidak tahu.  Memandangkan sudah beberapa kali Emeer anak beranak ke sini, maka senang sahaja memberi tunjuk arah kepada pemandu limo.  Sempat juga Emeer mempelawa pakcik pemandu limo makan bersamanya.  Pada awalnya lelaki tua itu menolak pelawaan Emeer, namun setelah berkali-kali diajak dan diracuni fikirannya dengan keenakan sate itu, akhirnya lelaki tua itu mengalah.  Segan juga, kenal pun hanya di dalam teksinya sahaja sebagai penumpang tetapi dah terima pelawaan orang.  Namun, sikap kedua-dua suami isteri yang peramah dan mesra itu membuatkan lelaki tua itu rasa seperti sudah lama mengenali mereka.

Seperti yang sudah dijangka, memang sukar mendapatkan tempat kerana setiap hari gerai sate King itu akan sentiasa dipenuhi pelanggan.  Mujurlah Emeer telah awal-awal menelefon pemilik gerai untuk menempah meja mereka.  Itulah kelebihan apabila telah menjadi pelanggan tetap. 

“Terima kasih abang, sayang abang ketat-ketat,” bisik Ayesha perlahan.  Sudah habis sepuluh cucuk sate dijamunya.

“Dapat makan sate sayang abang ketat-ketatlah ya.  Kalau tak dapat, macam mana pula?” Sengaja, suka mengusik isteri kesayangannya itu.

“Sayang juga, tapi kurang sikitlah ketatnya tu.”

“Hamboi, ada pula kurang ketat.  Abang ingat yang ketat-ketat tu….”

“Hah, jangan nak lari topik menyimpang ke lain pula ye.  Ada yang makan lidi sate ni nanti,” bidas Ayesha masih memperlahankan suara.  Takut didengari oleh pakcik pemandu limo dan Razmi yang telah sampai dan menyertai mereka.  Nasib baik lelaki berdua tu sedang rancak bercerita.  Entah apa topik pun tak tahu.

“Mana ada, sayang je yang anggap macam tu,” nafi Emeer masih lagi tersengih lebar.

“Encik Emeer Zafran, untuk pengetahuan you, bahu you tu berkalih je I dah tahu apa yang terlintas di fikiran you tau.  So predictable la encik suami sayang oii.”  Serentak itu, tawa Emeer bergema sehingga perbualan rancak pakcik limo dan Razmi turut tergendala.


Haish, apa-apa ajelah dua pasangan sejoli ni.  Lantaklah, asalkan bahagia!


**********************************************************

So macam mana Abang Emeer kita?
Agak-agak masih maintain macam dulu juga ke?
Jom komen sikit...

Sayang kamu-kamu sokmo;
Kak Yus
9.45a.m. 17/5/16

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com